YDPA buat keputusan tepat – Amzad

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim. Sumber Foto: Facebook Ahmad Amzad Hashim

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyambut baik dan akan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah pada Istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat, hari ini

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim berkata titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertua Agong menunjukkan betapa baginda prihatin terhadap keadaan negara meliputi ekonomi, agama dan kesusahan rakyat.

Katanya, kerajaan akan berusaha untuk membantu rakyat yang kini dalam kesusahan berikutan wabak Covid-19 serta terdapat sektor-sektor seperti perniagaan yang terjejas.

Advertisement

Menurutnya, kerajaan setakat ini membantu melalui pengumuman dari semasa ke semasa bagi meringankan beban rakyat.

Sementara itu, katanya pembukaan Dewan Rakyat hari ini juga menutup dakwaan kononnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.

“Dakwaan kononnya PH (Pakatan Nasional) mempunyai bilangan majoriti, sebenarnya hari ini kebenaran telah terserlah apabila bilangan menyokong kerajaan ada 114 kerusi lebih daripada majoriti yang diperlukan untuk membentuk kerajaan.

“Manakala sebelah PH hanya 107 kerusi dan satu kerusi Bebas. Jadi, ini menunjukkan bahawa Yang Di-Pertuan Agong telah membuat keputusan yang tepat.

“Selain itu, desas desus berhubung undi tidak percaya telah disambut oleh Ahli Parlimen PN dengan tenang kerana maklum bilangan kita,” katanya menerusi video yang dimuat naik dalam Facebooknya hari ini.

Tambah Amzad lagi, melihat kepada trend politik semasa yang berlaku di beberapa buah negeri seperti Johor, Kedah, Melaka serta Negeri Sembilan beliau yakin ia akan menjadi mesej yang jelas kepada sokongan rakyat terhadap kerajaan.

Dalam masa yang sama, beliau yakin tidak susah untuk menjangkakan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini yang akan berlangsung pada 4 Jun ini.

“Tunggu keputusan PRK Chini bulan Jun dan sidang Parlimen Julai ini. Saya percaya insya-Allah rakyat akan sama-sama menyatakan sokongan kepada kerajaan dalam usaha besar untuk memperkukuhan kembali negara.

“Di samping merancakkan lagi agenda permuafakatan ummah demi agama, bangsa dan negara,” ujarnya.- HARAKAHDAILY 18/5/2020