Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajal akhir zaman (59)

FIRMAN Allah S.W.T:

Advertisement

قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُم بِالْأَخْسَرِينَ أَعْمَالًا

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah Kami khabarkan kamu mengenai orang-orang yang paling rugi amal-amal mereka?

الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا

“(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan.”

أُولَـٰئِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِ رَبِّهِمْ وَلِقَائِهِ فَحَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فَلَا نُقِيمُ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَزْنًا

“Merekalah orang-orang yang kufur akan ayat-ayat Tuhan mereka dan pertemuan denganNya. Oleh itu gugurlah amal-amal mereka. Kami tidak akan mempertimbangkan amal mereka kiamat kelak.”

ذَٰلِكَ جَزَاؤُهُمْ جَهَنَّمُ بِمَا كَفَرُوا وَاتَّخَذُوا آيَاتِي وَرُسُلِي هُزُوًا

“Balasan demikian adalah neraka Jahannam atas kekufuran mereka serta menjadikan ayat-ayat dan Rasul-rasulKu sebagai ejekan.”

Ibrah akhir zaman

Walaupun ayat ini berkait dengan orang kafir atau menurut riwayat beberapa ulamak Salaf berkait dengan golongan Musyrik, Yahudi dan Nasrani di zaman Nabi S.A.W, namun Saidina Ali berpandangan ianya lebih daripada sekadar itu, termasuklah Khawarij di zamannya. Ini kerana ayat ini turun di Makkah, di zaman belum berhadapan dengan Yahudi dan Nasrani.

Terdapat kaedah yang bermaksud;

“Sesuatu pengajaran boleh diambil dari lafaz yang umum bukan sebab yang khusus.”

Kata Mujahid, ayat ini meliputi semua yang buat baik tetapi tidak beriman atau tidak ikhlas. Jelas At-Tabari pula, mereka yang melakukan amal atas sangkaan mereka ianya betul dan mendapat keredhaan Allah. Sedangkan hakikatnya mereka mengundang kemurkaan Allah.

Di sini kita dapat saksikan bahawa golongan yang menyeleweng daripada jalan Islam itu ada dua iaitu sama ada mereka tahu bahawa mereka menyalahi kebenaran, ataupun mereka salah anggap bahawa kesesatan yang mereka anuti itu adalah suatu kebenaran. Allah membezakan dua golongan ini di dalam firmanNya:

غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ

“Bukan (jalan) mereka yang dimurkai atau orang-orang yang sesat.”

[Al-Fatihah: 7]

Para Mufassirin bersetuju bahawa yang dimurkai (الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ) merujuk kepada Yahudi sementara orang yang sesat (الضَّالِّينَ) merupakan orang Kristian. Ini kerana kebanyakan golongan Yahudi mengetahui kebenaran risalah Nabi Muhammad S.A.W, namun mereka tetap tidak mahu beriman. Kristian pula merasakan mereka sudah berada di jalan yang benar.

Dua kumpulan orang kafir inilah yang perlu kita fahami hari ini. Setiap kumpulan berbeza niat dan cara mereka terhadap Islam. Justeru umat Islam juga perlu berbeza dalam menangani mereka (rujuk ayat 57: Kristian Ortodoks Sebagai Sekutu Islam).

Firman Allah S.W.T menceritakan kesengajaan penyelewengan:

وَقَدْ كَانَ فَرِيقٌ مِّنْهُمْ يَسْمَعُونَ كَلَامَ اللَّـهِ ثُمَّ يُحَرِّفُونَهُ مِن بَعْدِ مَا عَقَلُوهُ وَهُمْ يَعْلَمُونَ

“Sesungguhnya satu puak dari mereka (Yahudi) mendengar Kalam Allah kemudian mereka menyelewengkannya sesudah mereka memahaminya, sedang mereka mengetahui (perbuatan itu salah).”

[al-Baqarah: 75]

Allah menjelaskan lagi, merekalah punca kesesatan orang beriman:

وَلَا يَزَالُونَ يُقَاتِلُونَكُمْ حَتَّىٰ يَرُدُّوكُمْ عَن دِينِكُمْ إِنِ اسْتَطَاعُوا ۚ وَمَن يَرْتَدِدْ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُولَـٰئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ۖ وَأُولَـٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

“Dan mereka sentiasa memerangi kamu hingga mereka (dapat) memalingkan kamu dari agama kamu kalau mereka mampu. Sesiapa di antara kamu yang berpaling dari agamanya lalu mati dalam kekufuran, maka rosak binasalah amal (baik) mereka di dunia dan akhirat. Mereka itulah ahli neraka, kekal di dalamnya.”

[al-Baqarah: 217]

Ayat ini menunjukkan musuh sentiasa memiliki konspirasi jahat terhadap umat Islam. Oleh kerana semua kandungan al-Quran adalah benar belaka, maka agenda musuh terhadap Islam di sepanjang zaman adalah sebuah fakta konspirasi, bukan sekadar teori konspirasi. Jangan terlalu paranoid dengan istilah teori konspirasi kerana bukan semuanya ditolak oleh Islam.

Dalam menyesatkan orang Islam, mereka tidak lagi menggunakan cara lama iaitu memurtadkan kita terang-terangan tetapi dengan cara baharu iaitu menyelewengkan ajaran Islam sehingga umat Islam menjadi jauh daripada Islam yang sebenar dalam keadaan mereka sangka, itulah Islam yang sebenar. Sabda Rasulullah S.A.W:

إنَّ الشَّيطانَ قد أيِسَ أن يعبُدَه المصلُّونَ في جزيرةِ العربِ ولَكنْ في التَّحريشِ بينَهم

“Sesungguhnya syaitan telah berputus asa dari membuatkan mereka yang mendirikan solat di Semenanjung Arab menyembah mereka, akan tetapi mereka masih melakukan tipu daya kalangan mereka.”

[Hadis Riwayat Muslim]

Kesesatan akhir zaman ini bukan lagi dalam bentuk agama baharu, tetapi dalam bentuk ideologi yang menyeleweng antara dua kutub ekstrem; terlalu longgar atau terlalu ketat. Pertama, musuh Islam memperbesarkan, menyebarkan dan menaja ideologi terpencil di dalam Islam yang bersifat radikal dan ganas. Golongan yang jahil tetapi mempunyai semangat yang tinggi akan terpengaruh dengan pandangan sebegini. Lalu lahirlah pengikut yang menolak terus pendekatan demokrasi dan membawa pendekatan gerakan bersenjata seperti Islamic State (IS) di seluruh dunia.

Setelah watak pertama muncul, musuh memunculkan pula kumpulan kedua yang membawa ideologi anti-thesis kepada Radikalisme. Mereka disesatkan dengan paranoid terhadap banyak ajaran Islam yang zahirnya bersifat tegas seperti jihad, hudud dan murtad lalu menolak ajaran-ajaran ini. Lalu lahirlah pendukung ajaran Islam-Liberal pula.

Inilah dua kutub ekstrem umat Islam. Untuk mengimbangi antara dua kutub ini, kita mesti memahami bahawa ajaran Islam itu bersifat Wasatiyyah, pertengahan antara tegas dan lembut, antara ketat dan longgar. Sabda Rasulullah S.A.W:

خيرُ الأعمالِ أوسَطُها

“Sebaik-sebaik amalan adalah yang bersifat pertengahan.”

[Hadis Riwayat As-Sakhawi dengan sanad yang dikritik]

Tiada jalan lain untuk memahami Wasatiyyah di dalam Islam melainkan dengan mempelajari ilmu agama mengikut manhaj yang betul daripada bawah. Tetapi ramai yang melangkau (skip) disiplin pengajian Islam dan terus beramal mengikut kefahaman sendiri. Sikap ini hanya memudahkan musuh merosakkan Islam. Itulah sikap yang menjadikan umat Islam sebagai golongan paling rugi. Ibn Roslan bersyair:

وَكُلُّ مَنْ بِغَيْرِ عِلْمٍ يَعْمَلْ * أَعْمَالُهُ مَرْدُودَةٌ لَا تًقْبَلْ

“Semua yang beramal tanpa ilmu, amalnya tertolak tidak diterima.”

Jika terus kekal dalam kejahilan, suatu hari boleh membawa kepada kekufuran dalam keadaan tidak sedar. Pagi beriman, tiba-tiba petang hari menjadi kafir. Sabda Rasulullah S.A.W:

يُصْبِحُ الرَّجُلُ فِيهَا مُؤْمِنًا وَيُمْسِي كَافِرًا حَتَّى يَصِيرَ النَّاسُ إِلَى فُسْطَاطَيْنِ فُسْطَاطِ إِيمَانٍ لَا نِفَاقَ فِيهِ وَفُسْطَاطِ نِفَاقٍ لَا إِيمَانَ فِيهِ فَإِذَا كَانَ ذَاكُمْ فَانْتَظِرُوا الدَّجَّالَ مِنْ يَوْمِهِ أَوْ مِنْ غَدِهِ.

“Akan terjadi seseorang beriman pada waktu pagi, tetapi pada petang hari menjadi kafir. Sampailah terbentuk dua kem; kem iman yang tidak ada unsur munafik dan kem munafik yang tidak ada unsur iman. Jika itu berlaku, maka tunggulah Dajal pada hari itu atau keesokannya.”

[Hadis Riwayat Abu Daud]

ALANG IBN SHUKRIMUN – HARAKAHDAILY 19/5/2020