Dari PH itu ada pelajaran

SUKA saya menarik perhatian teman-teman, adik-adik dan anak-anak Abnaaul Harakah semua. Dalam kita bersyukur gembira atas kemenangan yang diberikan Allah jangan pula kita lupa untuk mengambil pelajaran dari setiap qada dan takdir Allah. Sesungguhnya dalam diri PH itu ada pelajaran untuk kita fikirkan dan mohon perlindungan dari Yang Maha Berkuasa. Antara pelajarannya ialah:

Advertisement

(1) Jangan mencari kemenangan melalui fitnah seperti kemenangan PH dalam PRU14 yang lalu. Kerana kemenangan yang diraih melalui jalan yang hina akhirnya akan kecundang penuh hina pula.
(2) Selepas memperolehi kemenangan jangan sombong seperti PH. Jangan lupa diri seperti mereka. Sehingga keangkuhan dan kesombongan itu tidak terlindung lagi keluar dari mulut mereka saban hari. Allah tidak suka orang yang sombong. Kesombongan adalah pakaian Allah.
(3) Jangan cenderung kepada keinginan kehendak orang-orang kafir hingga membelakangkan agama seperti PH. Jangan kerana nak jaga hati DAP, mereka sanggup pula membiarkan Islam diganyang oleh musuh-musuh Allah. Ingat… Orang yang tidak menjaga agama Allah, maka Allah tidak akan memberi pertolongan kepadanya.
(4) Jangan abaikan rakyat seperti yang telah dilakukan oleh PH. Kebajikan rakyat adalah keutamaan. Jangan zalimi rakyat sendiri. Kerana doa orang-orang yang dizalimi itu adalah doa-doa yang tidak dihijab oleh Allah. Sekali rakyat yang dizalimi menadah tangan kepada Allah, maka sekuat mana pun sebuah Kerajaan itu pasti akan runtuh.
(5) Jangan khianati Institusi Raja-raja sebagai Ulil Amri, bangsa dan negara sendiri seperti yang telah dilakukan oleh PH. Kerana tonggak kekuatan ummat ini diperkukuhkan oleh ketiga-tiga elemen tersebut.
(6) Jangan berjanji itu dan ini kepada rakyat sedangkan sudah tahu tidak mampu melaksanakannya seperti yang telah dijanjikan oleh PH dalam manifesto mereka. Sengaja membohongi rakyat adalah jenayah moral yang sangat jijik. Akhirnya menimbulkan kemarahan rakyat.

Ambillah pelajaran dari semua itu. Jangan ulangi apa yang PH lakukan sepanjang usia 22 bulan pemerintahan mereka. Jika kita mengulangi apa yang PH buat maka kita juga akan menerima musibah kekalahan sebagaimana yang telah menimpa PH.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 19/5/2020