Gambar dan propaganda (2)

FARM Security Administration

(1) Dalam tulisan sebelum ini, saya ada menghuraikan mengenai penipuan dunia. Rata-rata penipuan dunia berkaitan dengan deria. Iaitu apabila deria ditipu oleh kenikmatan dunia, menjadikan seseorang itu terjangkit Materialism

Antara yang menjadi bentuk-bentuk penipuan deria mata ialah gambar. Gambar-gambar boleh jadi sebagai salah satu senjata yang di’weaponized’kan untuk melaksanakan sesuatu agenda atau propaganda.

(2) Antara yang masyhur dengan propaganda gambar ialah FSA (Farm Security Administration) yang diasaskan pada September 1937. Ia dilihat mencetuskan fenomena yang besar mengenai propaganda gambar.

Iaitu gambar-gambar kemiskinan dan kehancuran di luar bandar Amerika untuk mendapatkan sokongan terhadap rancangan pemulihan ekonomi Franklin Roosevelt yang dilihat menguntungkan.

Advertisement

(3) Kathleen menulis di dalam kajiannya yang bertajuk Photography In Propaganda mengatakan bahawa ‘Fotografi adalah alat yang ampuh dalam masyarakat mana pun – sama ada diktator yang korup seperti di Jerman, atau demokrasi seperti di Amerika’.

Contohnya gambar-gambar Farm Security Administration (FSA) yang dilihat bertujuan untuk memperbaiki kehidupan orang Amerika di luar bandar, bermotivasi politik dan berniat mengawal orang ramai.

(4) Walaupun jurugambar FSA diberi arahan untuk tidak memaparkan subjek mereka dan tidak memanipulasi gambar mereka dengan cara apa pun, tetapi kewujudan kamera itu sendiri merupakan manipulasi.

Kajian Kathleen terhadap FSA dan ‘serangan gambarnya’ beliau menyatakan subjek cenderung mengubah tingkah laku mereka di hadapan kamera. Bahasa mudahnya, depan kamera buat muka kesian.

Propaganda FSA

(1) Subjek dalam gambar FSA dilihat cenderung berperilaku dengan cara tertentu di depan kamera, kerana mengetahui bahawa gambar-gambar tersebut dapat menarik sumbangan Kerajaan.

Cara lain jurugambar FSA dapat memanipulasi gambar dan penonton mereka dengan mudah adalah dengan hanya memotret pemandangan negatif dan tidak menarik, membiarkan penonton meneka sendiri seperti apa yang kelihatan di kawasan luar bandar Amerika.

(2) Antara gambar FSA yang cetuskan fenomena ialah ‘Migrant Mother’ [gambar] oleh Dorothea Lange yang menggambarkan seorang ibu dan dua anaknya kelihatan keletihan dan kecewa, dan ini mendorong rasa simpati pada penonton.

Setelah mengambil gambar ini, Lange berkata, dalam satu temu bual dengan Popular Photography “Si ibu nampaknya tahu bahawa gambar saya ini mungkin dapat membantunya, sebab itulah dia beri kerjasama kepada saya.”

(3) Lange berkata secara terang-terangan menunjukkan bahawa kehadiran kameranya sememangnya mengubah tingkah laku wanita itu yang dijadikan ‘subjek’ gambar Lange. Namanya Florence Owens Thompson.

Beberapa tahun kemudian, anak Florence mempertikaikan gambar tersebut kerana gambar itu tidak menunjukkan watak sebenarnya. Sebaliknya, ia menggambarkan seorang watak wanita ‘yang dibina’ oleh Lange dengan kameranya.

(4) Pada tahun 1930-an Roy Stryker, Ketua Bahagian Maklumat FSA, mula mengubah garis panduan untuk menangkap gambar bagi semua jurugambar FSA dengan kamera mereka sebagai usaha kawalan.

Walaupun asal tujuan FSA untuk membangunkan kebajikan luar bandar melalui gambar-gambar mereka, namun hasilnya ialah satu propaganda yang mempunyai agenda-agenda tertentu yang lebih sudu dari kuahnya.

Kathleen Collins dan Susan Sontag

(1) Antara yang disebut oleh Kathleen Collins dalam kajiannya yang bertajuk Photography In Propaganda ialah;

“Amerika Syarikat dan Jerman mempunyai dua pemerintahan yang berbeza pada tahun 1930-an. Iaitu AS dengan demokrasinya dan Jerman dengan kediktatorannya. Walaupun begitu, kedua-dua negara menguasai rakyatnya menggunakan fotografi sebagai kaedah manipulasi.”

“Walaupun gambar-gambar dalam satu pemerintahan bertujuan untuk tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah orang itu (subjek), gambar-gambar di pemerintahan yang lain pula bertujuan untuk memperlihatkan rasa ngeri yang dihadapi oleh sekumpulan orang.”

“Tujuan kedua-dua kumpulan gambar itu jelas berbeza, dengan satu bermaksud untuk menolong dan satu yang bermaksud untuk mencederakan. Namun, keduanya berorientasikan politik dan bertujuan untuk mempengaruhi masyarakat ke arah agenda tertentu.”

Kathlene menyimpulkan;

“Kedua-dua Jerman yang autoritarian dan Amerika yang demokratik menggunakan cara yang korup untuk mencapai matlamat tertinggi mereka.”

(2) Sepertimana yang saya nyatakan dalam artikel lalu, antara karya yang menghuraikan mengenai propaganda gambar ialah On Photography karangan Susan Sontag pada 1977 dalam keadaan teknologi kamera agak moden berbanding 30-an oleh FSA.

Bukunya ini hasil himpunan artikel-artikel yang disiarkan di dalam New York Review Of Books antara 1973 hingga 1977. Beliau menghuraikan dari sudut realiti zamannya yang dibanjiri dengan budaya Kapitalis.

(3) Susan Sontag mengkaji sejarah susur galur sejak zaman Walt Whitman (1819-1892) seorang Humanism, dan menggabungkan antara Transendentalisme dan Realisme, dan terkenal dengan karyanya Leaves Of Grass.

Beliau mengaitkan perkembangan dunia fotografi dari era Walt Whitman hinggalah zamannya, khususnya dari sudut perkembangan minda manusia yang pastinya berkait dengan dimensi kamera.

In Plato’s Cave

(1) Karya Susan Sontag tadi dimuqaddimahkan dengan tajuk ‘In Plato’s Cave’, beliau menyatakan dengan bahasa sasteranya;

“Manusia terus hidup di gua Plato, masih bersenang-senang, kebiasaan kuno, hanya dalam gambaran kebenaran. Tetapi dididik oleh gambar, tidak seperti dididik oleh gambar yang lebih tua dan lebih artisanal. Untuk satu perkara, terdapat banyak lagi gambar yang menarik perhatian kita. Persediaan bermula pada tahun 1839 dan sejak itu hampir semuanya difoto, atau sepertinya. Ketidakpuasan mata memotret ini mengubah syarat pengurungan di gua, dunia kita. Dalam mengajar kita kod visual baru, gambar mengubah dan memperbesar tanggapan kita mengenai apa yang patut dilihat dan apa yang berhak kita perhatikan. Mereka adalah tatabahasa dan, lebih penting lagi, etika melihat.”

(2) Antara yang dinyatakan olehnya;

“Gambar benar-benar dirakam oleh pengalaman, dan kamera adalah kekuatan kesedaran yang ideal dalam suasana penghasilannya. Memotret adalah sesuai dengan perkara yang difoto. Ini bermaksud meletakkan diri ke dalam hubungan tertentu dengan dunia yang terasa seperti pengetahuan, oleh itu, ia seperti kuasa.”

(3) Di sini kita dapat faham bahawa dunia gambar sangat terkait dengan cetusan gabungan antara Transendentalisme dan Realisme. Sebab itulah Susan memulakan karyanya dengan sejarah Whitman.

Dari sini berkembangnya pemikiran manusia. Bahkan, di era 70-an beliau mengatakan bahawa penggambaran itu menjadi sesuatu yang menyeronokkan, seperti menari dan melakukan hubungan seksual.

Ketagihan bergambar

(1) Hakikatnya banyak lagi yang diceritakan mengikut ‘falsafah’ Susan. Menggambarkan bahawa kamera itu semakin menguasai minda manusia melalui deria penglihatan sejak zaman berzaman.

Sebab itulah di awal artikel lepas saya menukilkan firman Allah S.W.T Surah al-Hadid ayat 20 yang menceritakan bagaimana dunia itu adalah permainan dan hiburan yang melalaikan hati-hati manusia yang cintakannya.

(2) Realiti ini kita boleh lihat apabila gambar dan fotografi dijadikan medan untuk propaganda sepertimana yang dihuraikan oleh Kathleena Collins di awal tadi. Lebih kepada di’weaponized’kan untuk kepentingan.

Sejak 1930-an lagi ia digunakan untuk propaganda atau saraf. Apatah lagi pada hari ini apabila dunia gambar semakin meluas dengan adanya aplikasi facebook dan instagram. Menjadikan manusia itu lebih mudah ‘cair’ dengan ‘poligam’.

(3) Dunia digital hari ini menyaksikan bagaimana dimensi gambar lebih mudah dipropagandakan. Seseorang itu boleh dikenali dengan watak ‘suci’ sekiranya kerap menyiarkan gambar-gambar ‘suci’.

Antara yang dikatakan oleh Susan menggambarkan realiti kamera yang diumpakan dengan senjata;

“Seperti kereta, kamera dijual sebagai senjata pemangsa – yang seautomatik mungkin, siap untuk musim bunga. Rasa popular mengharapkan teknologi yang mudah dan tidak kelihatan. Pengilang meyakinkan pelanggan mereka bahawa mengambil gambar tidak memerlukan keahlian atau pengetahuan pakar, bahawa mesin itu sangat mengetahui, dan bertindak balas terhadap tekanan kehendak sedikit pun. Semudah menghidupkan kunci pencucuhan atau menarik pencetus. Seperti senjata dan kereta, kamera adalah mesin fantasi yang penggunaannya ketagihan.”

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 19/5/2020