Polis jejaki perantau lolos sekatan di sempadan

KOTA BHARU:Polis Kelantan akan menyemak nombor pendaftaran kenderaan luar Kelantan sekiranya terdapat banyak diparkir di sekitar kawasan rumah semasa Aidilfitri.

Advertisement

Ketua Polis Kelantan Dato’ Hasanuddin Hassan berkata, polis akan menjalankan pemeriksaan di kawasan perumahan atau kampung sekiranya terdapat keadaan yang mencurigakan bagi menjejaki mereka yang melakukan rentas negeri tanpa kebenaran.

“Tindakan itu diambil bagi memastikan tiada perantau yang berjaya meloloskan diri di sekatan jalan raya di sempadan negeri,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri di Bilik Gerakan Negeri Kota Darul Naim hari ini.

Katanya, mereka tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan tegas pihak keselamatan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kalau tengok sebuah rumah ada banyak kereta kita akan periksa satu persatu. Kalau tiada dokumen (kelulusan perjalanan)rentas negeri kita akan tarik kereta ke balai polis,” ujarnya.

Hasanuddin juga berkata, pihaknya akan membuat rondaan di laluan tikus yang dipercayai digunakan perantau untuk masuk ke Kelantan bagi mengelakkan sekatan jalan raya di sempadan negeri.

Katanya beliau bimbang kes Covid-19 akan berlaku semula di Kelantan sekiranya keadaan berkenaan tidak dikawal selepas 33 hari berada di zon hijau.

Beliau juga berkata, terdapat lebih 4,500 pelajar pulang ke negeri itu secara berperingkat  selepas dibenarkan kerajaan sejak awal bulan ini.

“Andai kata ada seorang yang positif Covid-19 berpuluh-puluh orang lain pula akan dijangkiti,” ujarnya.

Beliau turut memohon maaf kepada orang ramai sekiranya mereka diarahkan berpatah balik oleh polis yang berkawal di kawasan sempadan.

Hasanuddin berkata, tahap pematuhan terhadap PKPB di Kelantan masih 95 peratus, di mana kebanyakan premis mengikut arahan kerajaan.

Bagaimanapun katanya, aktiviti penjarakan sosial masih kurang diamalkan.- HARAKAHDAILY 19/5/2020