Rakyat sokong PN untuk perkukuh kembali negara

KUALA LUMPUR: PRK N.23 DUN Chini, Pahang tidak sukar dijangka keputusannya di mana boleh dilihat sebagai mesej jelas sokongan rakyat kepada kerajaan yang memerintah hari ini.

Advertisement

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, beliau percaya rakyat kini mahu menyatakan sokongan ke arah usaha besar kerajaan dalam memperkukuhkan kembali negara.

Juga menurut beliau, untuk merancakkan lagi agenda permuafakatan ummah demi agama, bangsa dan negara dengan situasi sama terlebih dahulu berlaku juga di Johor, Melaka dan Kedah, selain bertiup kencang di Negeri Sembilan.

“Semalam baru selesai istiadat pembukaan penggal ketiga Parlimen ke-14 yang berlangsung di Dewan Rakyat dengan titah pembukaan telah diberikan oleh, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Satu perkara yang menarik adalah titah Baginda yang antara lain menyatakan keprihatinan kepada beberapa isu menyentuh keadaan negara, ekonomi, kesusahan rakyat. Yang mana telah disebut oleh Baginda, betapa kerajaan yang ada perlu dengan segera berusaha untuk membantu rakyat.

“Ini sudah tentu akan diberi penumpuan oleh kerajaan. Dan sepertimana yang telah dilihat melalui dari semasa ke semasa pengumuman yang telah diberi oleh kerajaan melalui MKN betul-betul menunjukkan kerajaan sedang berusaha membantu rakyat,” ujarnya.

Menurutnya, Sidang Parlimen kali ini disebalik pelbagai desas-desus Undi Tak Percaya dan sebagainya, namun telah disambut oleh Ahli-ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional dengan tenang kerana sudah maklum mengenai kedudukan bilangan kerusi.

Tetapi katanya, dakwaan yang telah dibuat kononnya Pakatan Harapan mempunyai majoriti bagaimanapun memperlihatkan kebenaran terserlah di mana bilangan Ahli Parlimen menyokong Kerajaan ada 114.

“Iaitu lebih daripada majoriti yang diperlukan untuk pembentukan sebuah kerajaan. Manakala di pihak Pakatan Harapan cuma dalam 107 dan ada satu Bebas. Jadi ini menunjukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah pun membuat keputusan yang tepat dalam melaksanakan budi bicara pada hemat Baginda.

“Jadi, tertutuplah hari ini dari segi angka yang diperkatakan kononnya kerajaan yang ada sekarang kerajaan minoriti. Ini bukan kerajaan minoriti, kerajaan yang ada sekarang ini adalah kerajaan majoriti,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/5/2020