YB Razman tinjau prasarana SMK Seri Kurau

BAGAN SERAI: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memiliki peranan dan berfungsi yang sangat penting dalam membantu sekolah dan menjayakan pelbagai aktiviti merangkumi pendidikan, dana dan juga kebajikan para pelajar.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Negeri, Razman Zakaria berkata sedemikian ketika lawatan kerja dan bantuan Aidil Fitri di SMK Seri Kurau, di sini kelmarin.

Beliau turut memuji inisiatif sumbangan Aidil Fitri dilaksanakan SMK Seri Kurau diketuai Rosli Ahmad Shairazi supaya dicontohi sekolah-sekolah lain dan ia bertepatan juga dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi meringankan beban ibu bapa pelajar.

“Saya nasihatkan, biarpun sesi persekolahan tidak berjalan seperti biasa (kini), peranan semua pihak hendaklah dimainkan sebaiknya agar tempoh yang panjang ini tidak berlalu begitu sahaja tanpa proses pembelajaran,” ujar beliau.

Kongsinya, pelbagai inisiatif telah dibincangkan di peringkat negeri untuk menambah baik pendidikan Perak antaranya perlu kesedaran yang tinggi oleh pelbagai pihak seperti guru-guru,  ibu bapa, PIBG dan juga murid itu sendiri.

Di kesempatan itu, Razman diiringi Jawatankuasa SMK Seri Kurau turut berkesempatan meninjau kawasan persekolahan bagi mengumpulkan maklumat yang memerlukan perhatian kerajaan negeri.

Yang DiPertua PIBG SMK Seri Kurau, Che Abdul Rahim ketika ditemui berkata, setakat ini prasarana sekolah berada dalam keadaan baik, namun pihaknya memerlukan bantuan penghawa dingin untuk kegunaan surau utama sekolah.

“Kita perlukan bantuan penghawa dingin (sahaja)lah. Setakat ini yang ada tersebut adalah hasil pemindahan beberapa unit dari bilik guru ke surau. Namun (ia) masih tidak mencukupi bagi memastikan (segala) aktiviti di surau (itu) berjalan (dengan) lancar, ” terangnya. – HARAKAHDAILY 19/5/2020