2,677 penerima sumbangan Ramadan, Aidilfitri

KUALA LUMPUR: Seramai 2,677 orang penerima sumbangan Ramadan dan Aidilfitri melibatkan kakitangan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan mualaf Wilayah Persekutuan.

Sumbangan tersebut berjumlah RM723,100 disumbangkan kepada mualaf dan kakitangan JAWI yang bergaji di bawah RM2,500 dan RM2,200 sebulan.

Advertisement

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Ahmad Marzuk Shaary berkata, sumbangan ini bagi meringankan beban perbelanjaan semasa menjalani ibadah puasa dan persediaan untuk menyambut ketibaan Aidilfitri.

Beliau menyampaikan mock cheque kepada JAWI sebagai simbolik agihan sumbangan sempena Musaadahcovid19.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Ahmad Marzuk Shaary menyampaikan mock cheque kepada JAWI sebagai simbolik agihan sumbangan bantuan kecemasan bernilai RM376,800.

Sumbangan bantuan kecemasan sempena Covid-19 berjumlah RM300 seorang diberikan kepada warga JAWI yang berpendapatan RM2,500 ke bawah dengan nilai keseluruhan berjumlah RM376,800 yang memanfaatkan seramai 1,256 orang penerima.

Manakala sumbangan bantuan Aidilfitri berjumlah RM 200 seorang turut diberikan kepada warga JAWI berpendapatan RM2,200 ke bawah dengan nilai keseluruhan berjumlah RM224,000 yang memanfaatkan 1,120 orang penerima.

Beliau turut menyampaikan 14 kotak yang mengandungi 30,000 unit penutup mulut dan hidung kepada Pegawai Tadbir Agama Zon, Bahagian Pengurusan Masjid JAWI untuk diagihkan kepada masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan.

Pada majlis di Kompleks Darul Hidayah pula, beliau menyampaikan sumbangan berjumlah RM300 untuk satu keluarga kepada 141 orang penerima.

Manakala sumbangan Aidilfitri berjumlah RM500 sekeluarga melibatkan 160 orang penerima.

Katanya, jumlah keseluruhan RM122,300 melibatkan 301 mualaf ini diperuntukkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Menurut beliau, JAWI Food Bank turut menyumbangkan 145 pek barangan keperluan asas kepada para mualaf dan petugas KDH yang memerlukan.

Turut hadir Pengarah JAWI, Haji Mohd Ajib Ismail. Majlis sumbangan kepada kakitangan JAWI diadakan di lobi JAWI Food Bank, Kompleks Pusat Islam, Jalan Perdana, Kuala Lumpur, 9 pagi tadi.

Manakala penyampaian sumbangan Ramadan dan Aidilfitri kepada muallaf diadakan di Kompleks Darul Hidayah (KDH), Sentol.- HARAKAHDAILY 20/5/2020