Al-Kahfi: Imuniti fitnah Dajal akhir zaman (60)

FIRMAN Allah S.W.T:

Advertisement

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ كَانَتْ لَهُمْ جَنَّاتُ الْفِرْدَوْسِ نُزُلًا

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka Syurga-syurga Firdaus, sebagai tempat tetamu (yang serba mewah).”

خَالِدِينَ فِيهَا لَا يَبْغُونَ عَنْهَا حِوَلًا

“Mereka kekal di dalamnya (dan) tidak ingin berpindah daripadanya.”

Ibrah akhir zaman

Sabda Rasulullah S.A.W:

مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَبِرَسُولِهِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَصَامَ رَمَضَانَ كَانَ حَقًّا عَلَى اللَّهِ أَنْ يُدْخِلَهُ الْجَنَّةَ جَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَوْ جَلَسَ فِي أَرْضِهِ الَّتِي وُلِدَ فِيهَا )قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَلَا نُبَشِّرَ النَّاسَ؟ قَالَ: (إِنَّ فِي الْجَنَّةِ مِائَةَ دَرَجَةٍ أَعَدَّهَا اللَّهُ لِلْمُجَاهِدِينَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ مَا بَيْنَ الدَّرَجَتَيْنِ كَمَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ فَإِذَا سَأَلْتُمُ اللَّهَ تَعَالَى فَاسْأَلُوهُ الْفِرْدَوْسَ

“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta menunaikan solat, berpuasa Ramadan maka Allah berhak memasukkan mereka ke dalam syurga sama ada mereka berjuang di jalan Allah ataupun tidak. (Sahabat bertanya wahai Rasulullah kenapa kita tidak sampaikan berita gembira ini kepada semua manusia? Jawab Baginda:) Syurga memiliki 100 tingkat dengan jarak antara setiap tingkat seperti langit dan bumi. Allah sediakan bagi pejuang di jalan Allah. Jika kamu memohon daripada Allah, maka pohonlah syurga Firdaus.”

[Hadis Riwayat Bukhari]

Syurga Firdaus asasnya disediakan untuk pejuang di jalan Allah S.W.T. Ibn Hajar dalam menghuraikan saranan Nabi supaya meminta syurga Firdaus dari tuhan, menyatakan orang lain yang bukan menjadi pejuang juga boleh meminta kelebihan tersebut.

Kaab bin Ubai pula menyatakan, syurga Firdaus untuk mereka yang menyeru kepada kemaarufan dan mencegah kemungkaran. Sebenarnya ia tidak berbeza dengan maksud jihad atau berjuang kerana dari segi istilah, jihad bermaksud memerah kesungguhan bagi meninggikan kalimah Allah. Ia boleh dilakukan bukan dengan hanya di medan perang. (rujuk buku Nadi Perjuangan)

Kerana kelebihan menjadi pejuang Allah adalah paling tinggi, maka ramai orang Islam berlumba-lumba untuk menjadi sebahagian daripada tentera Allah. Namun semangat semata-mata tanpa didasari dengan ilmu yang betul, kejahilan telah mengheret mereka menjadi tentera syaitan.

Musuh Islam telah mengambil peluang daripada kejahilan umat untuk mewujudkan doktrin jihad yang bercanggah dengan Islam. Malah mereka mempermudahkan jalan tersebut sama ada dengan membiayai kumpulan pejuang sedia ada seperti al-Qaeda dan Taliban, ataupun mereka mewujudkan sendiri kumpulan pejuang seperti ISIS dan Kurdis.

Kumpulan-kumpulan ini ditaja untuk menjayakan matlamat berangkai mereka. Selain dari mengucar-kacirkan dunia Islam yang dianggap sebagai ancaman utama tamadun Barat, mereka juga beragenda untuk menguasai dunia melalui strategi pecah dan perintah. Mengikut peta terkini yang dilakar oleh Ralph Peters, bekas penyelidik ketenteraan US yang juga telah dibentangkan oleh Condoleeza Rice di Knesset Israel pada tahun 2006, mereka sedang berusaha bagi mewujudkan beberapa peta baharu di Asia Barat. Tujuannya adalah bagi memporak-perandakan lagi rantau tersebut bagi membolehkan Barat meneruskan hegemoni mereka ke atas dunia.

Dengan bantuan pejuang Kurdis dan IS, negara Kurdistan akan muncul di atas peta Turki, Syria, Iraq, dan Iran. Balochistan juga akan muncul di atas peta Iran, Pakistan dan Afghanistan. Iraq hilang daripada peta dunia, negara Arab Syiah dan negara Arab Sunni akan terbentuk di atasnya selain dari Kurdistan.

Keadaan ini amat menyedihkan. Umat Islam berperang sesama sendiri atas nama jihad. Di Syria, al-Qaeda, Free Syrian Army dan IS berperang sesama mereka. Di Yaman pula, proksi UAE dan Saudi berbunuhan. Di Libya, proksi Turki, UAE dan Qatar terlibat. Kini IS dan Kurdis berperang sesama mereka di perbatasan Turki-Syria-Iraq. Walhal kedua-keduanya daripada tuan yang sama.

Mungkin inilah keadaan yang Nabi gambarkan, pembunuh dan dibunuh tidak tahu kenapa mereka berbunuhan. Akhirnya kedua-dua pihak masuk neraka (rujuk ayat 74-76: Fitnah Pembunuhan).

ALANG IBN SHUKRIMUN
27 Ramadan 1441
20 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 20/5/2020