Bantuan Ramadan: PASRelief cakna mustad’afin

KUALA LUMPUR: Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) telah menyempurnakan Misi Ramadan 1441 yang menyediakan pakej makanan untuk iftar khususnya buat Muslim Rohingya di Arakan, Myanmar.

Advertisement

Pek mengandungi keperluan harian dapur seperti beras, minyak masak, bawang, gula, garam, cili, susu dan lain-lain lagi itu telah memberi manfaat untuk 250 keluarga di Kampung Hlamashay dan Kampung Thae Chaung.

Ketika sama PASRelief turut menyalurkan bantuan seumpama untuk 50 keluarga di Wilayah Rathidong yang semua urusan penghantaran barangan berkenaan diuruskan oleh wakil tempatan di sana dengan pembiayaan keseluruhan RM25,000.

Menurut Pengarah PASRelief, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah, program tersebut merupakan rutin dan komitmen PAS ke atas etnik tersebut yang kekal menetap di sana mempertahankan tanah asal mereka disebalik diskriminasi terhadap Rohingya.

Katanya, pemberian tersebut hanyalah sumbangan kecil dengan turut sama didukungi oleh para dermawan dalam kalangan rakyat Malaysia atas cinta mereka terhadap sesama saudara Muslim yang menjadi mustad’afin di bumi mereka.

Maklum beliau, usaha panjang PASRelief juga adalah untuk pembangunan masa depan etnik tersebut dengan usaha memberdayakan mereka menerusi pembinaan sekolah-sekolah bagi tujuan pendidikan.

PASRelief sepanjang waktu turut menyalurkan bantuan terutama melibatkan prasarana penempatan dan pendidikan etnik Rohingya yang menghuni di banyak kem pelarian di Bangladesh, selain perkampungan di Myanmar.

Ketika sama juga, PASRelief giat membantu mangsa perang di Syria, Yaman, Palestin dan umat Islam ditimpa bencana di rantau ASEAN sepanjang tahun, termasuk para pelarian yang berada di negara ini sebagai pelarian.

Para dermawan diseru terus menyokong usaha dilaksanakan ini dengan sumbangan ke akaun Maybank Islamik 5640 7061 1352 (Tabung Kemanusiaan Antarabangsa) atau 5640 7061 2333 (PASRelief).

Sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi 019-450 0660 (Ustaz Yusni), 019-989 4125 (Ustaz Wan Sukairi), 018-385 4483 (Puan Norhafiza) atau 011-2077 5802 (Haji Yunus). – HARAKAHDAILY 20/5/2020