Kelebihan malam al-Qadar

ANTARA kelebihan malam al-Qadar ialah banyaknya malaikat yang turun ke bumi termasuk Malaikat Jibril A.S..

Ada riwayat yang menyatakan bahawa bilangan malaikat yang turun ke bumi pada malam al-Qadar ini lebih banyak dari batu-batu yang ada.

Advertisement

Hadis dari Abu Hurairah menyebutkan:

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ((ليلةُ القدْرِ ليلةٌ سابعةٌ ، أو تاسِعةٌ وعِشرِينَ ، إنَّ الملائِكةَ تلْكَ الليلةَ في الأرْضِ أكثَرُ من عدَدِ الحَصَى ))

أخرجه أحمد (10734)، والطيالسي في ((المسند)) (2668)، والبزار (9447)، وحسنه الألباني.

“Daripada Abu Hurairah berkata: Sabda Rasulullah S.A.W: Malam al-Qadar adalah malam 27 atau 29, dan malaikat yang ada di bumi ketika malam itu lebih banyak daripada bilangan batu-batu.”

[Hadis Hasan]

Malam ini juga merupakan malam yang ditulis takdir yang tetap dan tidak berubah untuk sepanjang setahun ini. Sepertimana firman Allah:

فِیهَا یُفۡرَقُ كُلُّ أَمۡرٍ حَكِیمٍ

[ad-Dukhan: 4]

Yang mana menurut tafsir pada malam al-Qadar, akan diputuskan dari Loh Mahfuz kepada malaikat yang menulis segala urusan manusia berkaitan ajal dan rezeki dan apa yang berlaku sepanjang setahun ini.

YB USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 20/5/2020