Langgar PKPB denda RM1,000 – Dato’ Roslee

KUALA TERENGGANU: Orang ramai diingatkan agar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan sehingga Jun ini, dengan tidak berkumpul bagi tujuan berbuka puasa atau melepak di tempat awam di negeri Terengganu.

Advertisement

Ketua Polis Terengganu, Dato’ Roslee Chik berkata, amaran tegas boleh dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 kepada yang ingkar berkumpul di tempat awam seluruh negeri ini.

Menurutnya, antara tempat yang menjadi tumpuan orang ramai ketika arahan PKPB ini dikuatkuasa seperti Pantai Batu Burok, Dataran Syahbandar, Pesisir Payang dan kawasan lapang berhampiran Jambatan Angkat atau Drawbrige.

“Peringkat awal ini kita (polis) akan kenakan kompaun terlebih dahulu seperti yang kita kenakan semasa PKP fasa kedua. Kalau ada yang masih berdegil kita akan tangkap, reman dan dakwa di mahkamah,” tegasnya semalam.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Shahidan Embok menjelaskan, pihaknya menerima aduan mengenai orang ramai yang keluar bersantai di kawasan rekreasi seperti Taman Awam Batu Burok, Kuala Terengganu pada waktu malam.

Berikutan itu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah mengambil beberapa langkah memantau dan menutup kawasan berkenaan selepas tamat waktu operasi kios dan kedai jualan pada jam 10.00 malam.

Beberapa hari lalu, tular di media sosial foto yang menunjukkan sampah dan sisa makanan ditinggalkan oleh pengunjung yang tidak bertanggungjawab di kawasan lapang sebelah muara utara Jambatan Angkat tersebut. – HARAKAHDAILY 20/5/2020