Lawatan Razman ke Lumut suntik semangat

LUMUT: Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria telah meluangkan kesempatan mengadakan kunjungan sulungnya ke kawasan ini sejak dilantik selaku EXCO Kerajaan Perak hasil perubahan majoriti baru-baru ini.

Advertisement

Beliau yang menerajui portfolio Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil telah disambut Yang DiPertua dan Timbalan Yang DiPertua PAS Lumut, Rosli Abd Rahman dan Zainal Abidin Saad, kelmarin.

Dalam lawatan ini, beliau sempat singgah menziarahi Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Lumut, Raja Kamarudin Raja Baharin yang sakit di kediamannya di Sungai Wangi, di sini.

Razman juga turut bertemu sahabat lama beliau iaitu mantan Yang DiPertua PAS Lumut, Noh Ahmad yang merupakan rakan seperjuangan dalam kepimpinan PAS Perak beberapa tahun dahulu di Seri Manjung.

Turut diberi perhatian oleh beliau adalah operasi kedai runcit Taqwa Green Mart yang merupakan usaha penjanaan ekonomi PAS Lumut di mana kian berkembang dengan jayanya sejak ditubuhkan.

“Kedai runcit seumpama ini berjaya dan berharap ianya menjadi aspirasi kepada PAS Kawasan lain untuk mewujudkan kedai runcit seumpama ini,” ujarnya.

Hadir sama Setiausaha dan Ketua Muslimat PAS Lumut, Hamidun Ahmad dan Rohawati Abidin serta Pengerusi Lajnah Ekonomi PAS Lumut, Ahmad Kamarulnizam Majid. – HARAKAHDAILY 20/5/2020