Perluas penggunaan B20, lonjak industri sawit

KEMENTERIAN Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah melaksanakan Program Biodiesel B20 (adunan 20% metil ester sawit (PME) dan 80% diesel petroleum) di sektor pengangkutan secara berfasa pada Januari 2020 bermula dengan Langkawi pada 1 Jan 2020 dan Labuan 15 Jan 2020. 

Advertisement

Pelaksanaan Program Biodisesel B20 adalah merupakan inisiatif Kerajaan di bawah KPPK bagi menggalakkan penggunaan minyak sawit domestik. Adalah dianggarkan sebanyak 534,000 tan setahun penggunaan minyak sawit dapat ditingkatkan.   

Dengan mengambil kira pelaksanaan Program Biodiesel B20 sektor pengangkutan dan Program Biodiesel B7 untuk sektor industri sedia ada, dijangkakan kira-kira 1.3 juta tan minyak sawit setahun akan digunakan dalam negara dan menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG) sebanyak 3.8 juta tan CO2 setara setahun. 

Ini juga menunjukkan komitmen Kerajaan terhadap pengurangan pelepasan GHG dan penjagaan alam sekitar.   Berikutan penularan wabak COVID-19 yang melanda negara, telah menyebabkan Kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Langkah ini telah memberi pelbagai kekangan dan cabaran, khususnya dalam melaksanakan projek naik taraf 35 depoh adunan yang diperlukan bagi pembekalan adunan diesel B20. 

Oleh itu pada hari ini, KPPK telah mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat petroleum untuk membincangkan Program Biodiesel B20 di sektor pengangkutan terutama berkaitan cadangan tarikh baharu pelaksanaan bagi Sarawak, Sabah dan Semenanjung. 

Antara pegawai dan wakil syarikat yang hadir ke mesyuarat pada 19 Mei bersama Menteri KPPK

Mesyuarat telah bersetuju akan perubahan tarikh yang telah dirancang bagi pelaksanaan untuk diperluaskan secara berfasa iaitu ke Sarawak pada 1 September 2020, Sabah pada 1 Januari 2021 dan mengekalkan tarikh asal pelaksanaannya iaitu 15 Jun 2021 bagi Semenanjung Malaysia. 

Adalah diharapkan dengan tarikh baharu yang dipersetujui oleh semua pihak bagi meluaskan penggunaan B20 dengan mengambil isu semasa yang dihadapi dapat melonjakkan industri sawit negara ke tahap yang lebih baik pada masa akan datang. 

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI —HARAKAHDAILY 20/5/2020