Terengganu benarkan lapan masjid solat Jumaat

    KUALA TERENGGANU: Selepas sembilan minggu solat Jumaat ‘dihentikan’ bawah arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara sejak 18 Mac lalu, kini lapan buah masjid akan dibenarkan solat tersebut di Terengganu.

    Advertisement

    Kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) telah mengumumkan senarai lapan masjid yang dibenar mengadakan solat Jumaat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 22 Mei ini.

    Jurucakap JHEAT, Mat Azmi Arshad berkata, kebenaran mengadakan solat Jumaat itu setelah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin dan kebenaran yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu.

    Katanya, lapan buah masjid itu adalah masjid di setiap daerah masing-masing termasuk Masjid Negeri, Masjid Abidin bagi daerah Kuala Terengganu.

    “Daerah Kemaman, masjid yang dibenar adalah Masjid Sultan Ahmad di Chukai, Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah (Dungun), Masjid Sultanah Nur Zahirah (Marang), Masjid Sultan Mahmud (Hulu Terengganu).

    “Manakala bagi daerah Kuala Nerus adalah Masjid Wakaf Tembesu, Masjid Permaisuri (Setiu) dan Masjid Sultan Nasiruddin Shah di Besut,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

    Sehubungan itu, kata Mat Azmi, bahawa Pegawai Agama Daerah berkenaan akan bertanggungjawab dalam mengenal pasti jemaah yang akan menghadiri solat Jumaat dan catatan ahli jemaah dicatat dengan teliti.

    Pada 12 Mei 2020 lalu, Majlis Fatwa Terengganu telah bersidang kali ke-4 dan pihak Majlis Agama Islam Dan Adap Melayu (MAIDAM) telah mengambil keputusan berkaitan kebenaran itu.

    Majlis Fatwa Terengganu bersetuju membenarkan untuk diadakan solat Jumaat sepanjang tempoh PKPB bermula 22 Mei 2020 dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

    Harakah dimaklumkan, keputusan itu mengambil kira keperluan mendirikan syiar Islam di kalangan masyarakat ketika penularan wabak Covid-19 yang sudah menjangkau hampir dua bulan, berdasarkan kaedah Feqh.

    Setiap daerah di negeri ini hanya dibenarkan kepada sebuah masjid sahaja dengan syarat bilangan ahli Jemaah tidak melebih 40 orang dalam satu masa.

    Kes penularan wabak Covid-19 ini hingga 18 Mei sejumlah 6,894 kes dengan 5,571 kes telah berjaya dipulihkan dan melibatkan 112 kes kematian di seluruh negara.- HARAKAHDAILY 20/5/2020