Usah beribadah sambil menipu Allah

PERINTAH pertama diturunkan al-Quran ialah membaca, yang difahami antaranya sebagai simbolik ilmu.

Perbezaan keutamaan dan kelebihan ahli ilmu berbanding ahli ibadah diumpamakan Nabi S.A.W seperti kelebihan bulan purnama berbanding seluruh isi cakerawala yang lain.

Advertisement

Baginda bersabda;

فضل العالم على العابد كفضل القمر ليلة البدر على سائر الكواكب

“Kelebihan seorang alim berbanding seorang abid umpama kelebihan bulan purnama mengambang penuh dibandingkan seluruh cakerawala.”

Apakah yang merisaukan Nabi?

Ingatkah lagi kita akan Hadis Nabi yang masyhur dan menyentuh emosi kita? Bagaimana kita sensitif membayangkan betapa tingginya kasih Baginda terhadap umatnya. Ya, Hadis yang itulah. Umatku…

Diriwayatkan ketika Baginda berdoa kepada Allah, tidak jarang Baginda mengulang-ulang doa buat umat Baginda.

Hingga pernah suatu ketika selepas membaca ayat al-Quran terkait dengan doa Nabi Ibrahim dan Nabi Isa mengenai umat mereka, Nabi S.A.W lalu menadah tangan berdoa;

“Allahumma ummati, ummati.” Kemudian menangis.

Imam an-Nawawi ketika mensyarahkan potongan Hadis ini menyebutkan, maksud doa Baginda itu ialah;

“Ya Allah, rahmatilah umatku. Berlaku lembutlah terhadap mereka.”

Kegusaran Nabi akan ibadah umat Baginda

Menurut Abu Said al-Khudri, suatu ketika Rasulullah S.A.W bertanya;

ألا أخبركم بما هو أخوف عليكم عندي من الدجال؟ قلنا: بلى، فقال: الشرك الخفي ، أن يقوم الرجل يصلي فيزين صلاته لما يدرك من نظر رجل”

“Sukakah kalian jika aku beritahu, apakah yang aku lebih khuatirkan menimpa kalian selain fitnah Dajal?” Kami menjawab, “Ya, wahai Rasulullah.” Baginda bersabda, “(Apa yang lebih aku takutkan) Syirik yang tersembunyi. Iaitu ketika seseorang lelaki bangkit untuk bersolat, kemudian dia memperindahkan solatnya kerana solatnya diperhatikan orang.”

(Hadis Riwayat Ahmad dan Ibn Majah)

Pada Hadis yang lain pula, diriwayatkan bahawa Baginda bersabda;

إن أخوف ما أخاف عليكم الشرك الأصغر قالوا: وما الشرك الأصغر يا رسول الله؟ قال الرياء.

“Sesungguhnya apa yang paling aku takutkan menimpa kalian ialah syirik yang kecil.” Mereka berkata, “Apakah yang dikatakan syirik kecil itu wahai Rasulullah?” Baginda bersabda, “(Syirik kecil) Itulah riyak.”

(Hadis Riwayat Ahmad)

Tuntutlah pahalamu dari mereka

Riyak berasal dari kalimah ru’yah. Iaitu amal yang dilakukan untuk mendapatkan perhatian dan agar ditonton manusia.

Allah S.W.T berfirman dalam sebuah Hadis Qudsi ketika Allah memberi balasan atas amalan manusia;

يَقولُ اللهُ عزَّ وجلَّ إذا جَزَى النَّاسَ بأعمالِهِم: اذهَبوا إلى الَّذين كنتُم تُراؤُون في الدُّنيا، فانظُروا هل تَجِدون عندَهُم جَزاءً؟

“Pergilah engkau kepada orang yang engkau tonjolkan ibadah kepada mereka di dunia dahulu. (Pergi) Lihat jika mereka akan memberi engkau pahala.”

(Hadis Riwayat Ahmad)

Munafik beribadah sambil menipu Allah

Tidak pelik apabila Nabi S.A.W menyatakan kebimbangan Baginda andai umat ini ditimpa riyak dalam beribadat. Hal ini kerana Allah S.W.T telah menggambarkan dalam al-Quran akan sifat-sifat munafik. Sebahagian tabiat mereka ialah mereka solat untuk dilihat orang ramai.

Allah S.W.T berfirman;

إِنَّ ٱلْمُنَٰفِقِينَ يُخَٰدِعُونَ ٱللَّهَ وَهُوَ خَٰدِعُهُمْ وَإِذَا قَامُوٓا۟ إِلَى ٱلصَّلَوٰةِ قَامُوا۟ كُسَالَىٰ يُرَآءُونَ ٱلنَّاسَ وَلَا يَذْكُرُونَ ٱللَّهَ إِلَّا قَلِيلًا

“Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas penipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk solat, mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riyak (dengan solat) di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sedikit sekali.”


(an-Nisa’: 142)

Kesalahan solat dengan riyak tidak syak lagi merupakan kesalahan yang besar. Mereka didoakan kecelakaan oleh para pembaca al-Quran.

Allah S.W.T berfirman;

فَوَيْلٌ لِلْمُصَلِّينَ (4) الَّذِينَ هُمْ عَنْ صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ (5) الَّذِينَ هُمْ يُرَاءُونَ (6) وَيَمْنَعُونَ الْمَاعُونَ (7)

“Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat; (iaitu) orang-orang yang lalai dari (waktu) solatnya, orang-orang yang berbuat riyak, dan enggan (menolong dengan) sesuatu yang berguna.”

(al-Ma’un: 4-7)

Menghina Allah ketika solat

Sehubungan ayat 142 dari surah an-Nisa’, Imam Ibn Katsir menukilkan sebuah Hadis Rasulullah S.A.W;

مَنْ أحْسَنَ الصَّلَاةَ حَيْثُ يَرَاهُ النَّاسُ وَأَسَاءَهَا حَيْثُ يَخْلُو، فَتِلْكَ اسْتِهَانَةٌ. اسْتَهَانَ بِهَا رَبَّهُ عز وجل.

“Barang siapa yang melakukan solatnya dengan baik kerana dilihat oleh manusia dan melakukannya dengan jelek bila sendirian, maka hal itu merupakan penghinaan yang ia tujukan kepada Allah S.W.T.”

Jika ragu, rujuk orang berilmu

Liciknya syaitan meniupkan riyak, digabungkan pula dengan kejahilan manusia. Hasilnya, si abid sangat mudah tersungkur ke lembah kesesatan.

Bagi menyelesaikan konflik tersebut, Islam mendidik umatnya agar mengembalikan rujukan permasalahan kepada orang berilmu.

Allah berfirman;

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

“Maka bertanyalah kepada ahlu dzikri jika kalian tidak mengetahui.”

(an-Nahl: 43)

Seperti yang dijelaskan dalam Hadis pada awal penulisan, terdapat perbezaan yang ketara antara seorang ahli ibadah dan seorang ahli ilmu.

Ibn Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda;

فقيه واحد أشد على الشيطان من ألف عابد

“Seorang yang faqih lebih sukar ditewaskan syaitan berbanding seribu abid.”

(Hadis Riwayat Ibn Majah)

Oleh itu, masyarakat perlu mengenali siapakah guru berilmu yang boleh dijadikan rujukan, dan siapa pula pentazkirah yang memadai tugasnya menyampaikan peringatan, namun tidak boleh dijadikan rujukan.

Bagi menegaskan perkara ini, Rasulullah S.A.W ketika diajukan pertanyaan mengenai dua orang lelaki, salah satunya alim dan yang satu lagi abid, Baginda lantas bersabda:

فضل العالم على العابد كفضلي على أدناكم

“Kelebihan sang alim berbanding si abid samalah seperti kelebihanku (Nabi S.A.W) ke atas orang yang paling rendah kedudukannya dalam kalangan kalian (para Sahabat Nabi S.A.W).”

(Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

SOFIA ALWANI ALI
20 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 20/5/2020