AKSB, ADUN tangani masalah bekalan air

Tangki statik disediakan di DUN Apam Putra Rantau Panjang bagi mengatasi masalah air bersih.

TUMPAT: Memandangkan kemarau agak panjang di Kelantan sekarang menyebabkan beberapa tempat berlaku gangguan bekalan air yang dibekalkan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Bagi mengatasi masalah itu AKSB mengambil inisiatif menyediakan tangki statik di kawasan yang terjejas.

ADUN Pengkalan Kubor Ustaz Wan Roslan Wan Hamat berkata, tangki statik disediakan AKSB di Kampung Pulau Ular, Kampung Simpangan dan Kubang Sawa bagi membolehkan penduduk mendapat bekalan air bersih.

Advertisement

Katanya, AKSB menyediakan perkhidmatan lori air kontrak bagi penghantaran air ke lokasi yang bermasalah.

“Langkah jangka pendek itu dapat membantu menyelesaikan masalah bekalan air di tempat yang terputus bekalan air bersih,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya juga perkhidmatan lori tangki akan ditambah mengikut keperluan dari semasa ke semasa.

Kata beliau juga penduduk yang menghadapi masalah gangguan bekalan air boleh memlaporkan kepada penghulu, AKSB atau pihak Majlis Tindakan Air Jajahan.

Di Rantau Panjang ADUN Apam Putra Abdul Rasul Mohamed berkata, Pusat Khidmat DUN (PKD) terpaksa membekal air bersih ke beberapa kampung yang menghadapi masalah gangguan bekalan air.

Penyediaan tangki tambahan di Mukim Lubok Gong DUN Gual Periok.
ADUN Pengkalan Kubor Ustaz Wan Roslan Wan Hamat (berjubah) memantau kerja-kerja memasang tangki statik.

Katanya, perkhidmatan itu disediakan bagi meringankan bebanan penduduk di musim Covid-19 dan Ramadan sekarang.

“Beberapa sukarelawan Dewan Pemuda PAS DUN mengambil tanggungjawab melaksanakan tugas tersebut.

“Kita juga difahamkan menjelang tahun 2025 Kelantan dijangka akan dapat membekal air bersih sehingga kepada 85 peratus pengguna di seluruh negeri.

“Kerja-kerja ke arah itu sudah bermula dan kita jangka dapat mengurangkan kehilangan air terawat sehingga tahap minima setelah pertukaran paip-paip lama,” ujarnya.

Di Pasir Puteh ADUN Semerak Wan Hassan Wan Ibrahim berkata, PKD Semerak turut menyediakan kemudahan penghantaran air di mana-mana kawasan yang mengalami gangguan bekalan air sepanjang musim perayaan.

Katanya, tangki statik diletak di kawasan yang dikesan bermasalah.
Oleh itu beliau berharap penduduk yang menghadapi masalah bekalan air menghubungi penghulu atau lapor kepada AKSB.

Manakala AKSB turut memaklumkan sebahagian penduduk di Kampung Jembal yang berada di penghujung paip bekalan air dari tangki bandar Bachok baru-baru ini menghadapi gangguan bekalan air.

Unit Komunikasi Korporat AKSB berkata, sebanyak 300 rumah di Kampung Jembal mempunyai akaun AKSB.

“AKSB melalui Jabatan Air Negeri Kelantan menyiapkan sistem rawatan air sementara di Taman Teluk Mesira dengan kapasiti 2 juta liter sehari.

“Pengagihan air terawat melalui sistem tersebut bermula secara berperingkat pada 18 Mei lepas. Penduduk di Kampung Jembal menerima air terawat dari sistem di Taman Teluk Mesira bermula petang Selasa lepas,” ujarnya.- HARAKAHDAILY 21/5/2020