Beraya dengan 20 orang sahaja

KETUA Pengarah Kesihatan menyebut seelok beraya satu masa di sebuah rumah ia 20 orang. Ia melibatkan anak cucu dan menantu. Bila beberapa yang singggah pada masa itu ia sudah dikira sesak dalam sosial PKP sekarang.

Advertisement

Dato Dr. Noor Hisham sekadar memberi angka sebagai garis panduan berhimpun di sebuah rumah hari Aidilfitri ini.

Kebetulan angka 20 disebutnya adalah angka yang tepat bagi keluarga yang sekaliannya tinggal di sekitar Kuala Lumpur. Tahun sudah bilangan keluarga termasuk anak cucu itu 18 orang. Beberapa hari selepas kuat kuasa PKP bertambah dua orang lagi menjadi 20 orang.

Seorang lahir di klinik dekat rumah. Hingga masuk Ramadan baharu balik ke rumahnya. Tetapi yang kedua, dua tiga hari kemudian bersalin di hospital dekat rumahnya. Di tengah PKP berkuasa ini, saya tidak boleh pergi melihat cucu yang terbaharu itu, dan tiada cara cucu itu dapat dibawa ke rumah saya.

Biasanya setiap Ahad membawa anak-anaknya ke rumah. Sepanjang petang sekalian cucu itu dapat berpeluk cium dengan saya dan sekalian anak cucu yang datang ke situ dari Lembah Kelang. Sekalian cucu yang sekolah menengahnya dua orang dan sekolah rendah seorang, bergaul rapat sama sepupu mereka setiap minggu.

Tiada jarak sosial masing-masing berada dalam rumah itu. Peluk cium, berdakap dan berdukung amat acap sekali sekaliannya ada di rumah.

Anak menantu tiada beraya di kampung kerana mematuhi SOP PKP. Patutnya semua berkumpul di rumah malam hari raya.

Nasihat Kementerian Kesihatan, jangan peluk cium seperti biadara dengan anak cucu itu bagi mengelakkan hantu Covid tersesat di rumah itu. Bolehlah anak cucu itu basuh tangan dan bertopeng. Dan saya terpaksa ingat bila hendak menyentuh mereka, basuh tangan dengan cecair khas.

Tapi macam mana hendak cucu itu bila-bila masa datang memeluk dan memanjat kita kerana itulah kebiasaan bila mereka berkumpul. Yang dua orang yang meniarap itu sahaja yang mudah dijarakkan.

Dan bagaimana hendak mengekang diri dari mengambil meriba dan mencium dua bayi itu?

Sudah masuk dekat dua bulan cucu yang belum meniarap itu terutama yang tidak dapat dipeluk dan diriba. Macam mana sanggup ditengok dan dibiarkan sahaja depan mata diusik pipinya. Dan masing-masing menangis dibiarkan sahaja?

Mana datuk nenek sanggup membiarkan cucunya tidak dijamah dan biarkan sahaja. Kita sudah mengekang sekitar sebulan tidak dapat melihatnya.

Sekarang dengan kelonggaran yang ada, anak cucu itu sudah datang di depan mata. Tetapi tidak boleh dekat jarak satu meter.

Ujian PKP dan wabak Covid memang mencabar. Raya inilah kesempatan kelonggaran anak cucu dapat datang dan dikumpulkan. Inilah peluang untuk melihat cucu baharu itu setelah dekat sebulan tidak dapat dilihatnya.

Bagaimana hendak menjarakkan saya dan anak cucu saya. Tetapi itulah pantang larang yang petugas kesihatan beri bagi menyelamatkan kita semua.

Sedih bagaimana anak cucu tidak dapat berkumpul. Tetap bila sudah boleh berkumpul, banyak pula risikonya. Patutkah mereka datang sekejap, kemudian balik ke rumah masing-masing?