Ibrah melalui hikmah ibtila’ (Juz 28)

ALLAH S.W.T menganugerahkan akal serta menurunkan panduan wahyu adalah untuk manusia menguruskan hal ehwal masyarakat dan negara dengan harmoni dan aman damai. Sesebuah negara yang berkat lagi sejahtera ialah yang apabila ditadbir oleh pemimpin yang beriman. Mereka akan mentadbir secara adil dan mengikut panduan agama dalam semua agenda pemerintahan. Oleh kerana itu, Allah melarang golongan beriman mengangkat serta tunduk kepada golongan yang kufur kepada Allah apatah lagi yang menolak seruan agama daripada dilaksanakan. Firman Allah S.W.T:

Advertisement

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تَتَوَلَّوۡا۟ قَوۡمًا غَضِبَ ٱللَّهُ عَلَیۡهِمۡ قَدۡ یَىِٕسُوا۟ مِنَ ٱلۡـَٔاخِرَةِ كَمَا یَىِٕسَ ٱلۡكُفَّارُ مِنۡ أَصۡحَـٰبِ ٱلۡقُبُورِ

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu melantik serta menjadikan teman rapat mana-mana kaum yang dimurkai Allah, mereka telah berputus asa daripada mendapat kebaikan akhirat, sebagaimana berputus asasnya orang-orang kafir yang ada di dalam kubur.”

[al-Mumtahanah: 13]

Para Mufassirin menjelaskan bahawa golongan yang dimurkai Allah ialah daripada kalangan Yahudi dan Nasrani yang telah mensyirikkan Allah dan setengah ulamak menegaskan bahawa golongan munafik juga termasuk dalam kelompok mereka kerana sikap mereka yang mempermain-mainkan tuntutan agama. Adalah dilarang sama sekali bagi orang-orang yang beriman memberi sokongan padu termasuk melantik mereka sebagai kepimpinan tertinggi negara.

Walaupun Islam tidak membenarkan pelantikan orang bukan-Islam mengurus hal ehwal kaum Muslimin, namun Islam menegaskan bahawa non-Muslim yang hidup sebagai warganegara dalam masyarakat Islam hendaklah diberi hak keadilan dan kesaksamaan. Mereka hendaklah diberi layanan yang sama dan hidup saling tolong-menolong walaupun berbeza agama dan bangsa selagimana mereka tidak memerangi dan berniat jahat serta menimbulkan kekacauan dalam negara. Sila hayati firman Allah S.W.T:

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ. إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَىٰ إِخْرَاجِكُمْ أَنْ تَوَلَّوْهُمْ ۚ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama, dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama, dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu serta membantu untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”

[Mumtahanah: 8-9]

Menurut para ulamak berdasarkan ayat di atas, Allah S.W.T telah menegaskan bahawa sebab pengharaman menjadikan orang kafir sebagai pemimpin utama dan tempat rujukan adalah disebabkan mereka menzahirkan permusuhan terhadap Islam dan menghalau kaum Muslimin daripada tanah air mereka. Sekiranya mereka tidak bersifat sedemikian, maka terkecuali daripada pengharaman ini. Bahkan dalam Kitab-kitab Siasah Syar’iyyah, ada dinyatakan bahawa golongan bukan-Islam juga mempunyai hak untuk menjawat jawatan-jawatan negara yang bersifat Tanfiz atau di peringkat pelaksanaan sahaja. Mereka tidak boleh memegang jawatan di peringkat Tafwidh termasuk jawatan-jawatan yang lebih dominan seperti ketua negara, panglima tentera, penghakiman antara orang Islam dan pengurusan zakat.

Asas pelantikan seseorang pemimpin selain dikira daripada sudut kepakaran, sifat bertanggungjawab dan tidak khianat menjadi ukuran utama. Golongan non-Muslim yang benci dan menaruh dendam kepada Islam akan menyebabkan porak-peranda dalam masyarakat begitu juga orang Islam tetapi khianat kepada agamanya sendiri dan sanggup menjadikan musuh sebagai teman paling dipercayai, tidak boleh diangkat sebagai pemimpin utama masyarakat. Pelbagai musibah dan bala boleh berlaku dalam negara apabila sesebuah negara ditadbir oleh kumpulan yang rakus kuasa dan tidak mahu tunduk kepada tuntutan agama.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
28 Ramadan 1441 / 21 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 21/5/2020