Isnin mendebarkan sudah berlalu

ISNIN yang mendebarkan berlalu begitu sahaja. Usul tidak percaya dan usul percaya pun tidak ke mana-mana. Sedangkan menjelang 18 Mei lepas Pakatan Harapan (PH) riuh sekampung.

Seakan-akan mahu kembali semula menguasai kerajaan. Gertakan politik bertalu-talu. Lebih-lebih lagi era media sosial sekarang. Muncul ramai penganalisis politik separuh masak.

Ia diriuhkan seumpama ayam betina. Entah bertelur atau tidak, belum tentu. Apabila impian politik gagal, lalu dipersalahkan orang lain. Perikatan Nasional penakut, langgar perlembagaan dan macam-macam lagi. Itu skill biasa yang kita saksikan.

Paling vokal cabarannya Tun Dr Mahathir Mohamad. Ramai tidak jangka dengan usia emas menghampiri 95 tahun, impian politiknya masih menggunung. Tun seakan tidak mempercayai orang lain. Mungkin juga anaknya sendiri.

Advertisement

Masa yang ada begitu singkat. Sedangkan bekas perdana menteri dua kali itu pernah menyebut berhenti makan sebelum kenyang.

Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat memimpin Kelantan selama 23 tahun. Dr Mahathir juga 23 tahun. Pusingan pertama 22 tahun dan pusingan kedua 22 bulan.

Namun ketika Tok Guru mengadap Ilahi puluhan ribu rakyat mengiringinya. Bolehkah bekas pemimpin negara menarik ribuan pengikut begitu.

Tok Guru selepas tidak bergelar menteri besar didatangi rakyat dari seluruh negara. Bas rombongan sering muncul di kediamannya di Pulau Melaka. Tok Guru tidak pernah bermimpi menduduki menteri besar kali kedua. Maka ketiadaannya dikenangi sehingga sekarang. Pusaranya tetap diziarahi.

Namun rakyat bimbang dengan bekas perdana menteri kita. Selepas tidak lagi bergelar pemimpin negara rakyat seperti dibelah dua.

Lebih malang lagi pengikut setianya juga ramai yang angkat kaki. Itu belum lagi diambil kira pengesahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS). Agensi itu menjelaskan Dr Mahathir bukan lagi pengerusi Bersatu. Beliau meletak jawatan 24 Februari lepas.

Tarikh yang sama beliau berundur sebagai perdana menteri. Titah Yang di-Pertuan Agong Isnin lepas turut menjelaskan lagi situasi itu.
Istana berusaha memujuk Dr Mahathir, namun beliau tetap mahu berundur. Kesannya seluruh kabinet Pakatan Harapan gugur. Detik bersejarah itu sudah dicatat. Ia tidak mampu dirombak kembali.

Sokongan berlalu

Malah Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Wan Saiful Wan Jan juga berani berterus terang. Katanya masa untuk sokong Dr Mahathir sudah berlalu.

Dia mahu sokongan sepenuhnya diberikan kepada Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri. Luahan serupa disuarakan Bersatu Kepong.

Kata Ketua Bahagian Kepong Norizan Ali “mengundur ke belakang bersama Tun Mahathir dan pembangkang jalan yang kelam dan tiada penentuan,” seperti dilapor laman berita.

Wan Saiful yang pernah dilihat akrab dengan Dr Mahathir memberi kata dua. Baginya ahli Parlimen Bersatu yang duduk di kerusi pembangkang di Dewan Rakyat Isnin lepas perlu dilucutkan keahlian serta-merta.

Malang sungguh nasib Dr Mahathir. Begitu juga anaknya Mukhriz. Sudah jatuh ditimpa tangga. Perkembangan yang berlaku itu tentunya mengecilkan lagi pengikut Dr Mahathir.

Belum tentunya Syed Saddiq dan Dr Maszlee Malik setia sehingga ke hujung senja. Mungkin hanya tinggal Amiruddin Hamzah kerana dia juga orang Kedah.

Perkembangan yang berlaku itu tentunya membuahkan PH makin mundur. Sifirnya mudah, apabila PH merosot tentunya PN pula mara. Bukan lagi sekadar nombor 114 atau 115 seperti disebut laman-laman berita. Jumlahnya dipercayai semakin bertambah.

Jejaki Kedah

Agenda di Kedah minggu lepas menjadi dalil terbaharu. Enam Adun PH keluar parti. Empat daripada Bersatu dan 2 PKR. Adegan serupa juga boleh berulang di Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah.

Telahan awal diluah Setiausaha Agung BN. Annuar Musa seperti yakin ada dua lagi negeri menjejaki Kedah. Ia tidak mampu ditolak.

Ilmu Sains Politik memperlihatkan segala kemungkinan. Aristotle sudah lama mencatat, ilmu politik adalah segala ilmu. Bagi Marx pula politik sebagai pertentangan berterusan antara dua kelas dalam masyarakat.

Segmen itulah yang berulang sekarang. Begitu juga khabarnya lebih 20 ADUN Sabah tidak hadir pada majlis menyatakan sokongan kepada Shafie Apdal. Ternyata isyaratnya semakin jelas.

Ketua Pemuda Umno Sabah Abdul Aziz Julkarnain dilapor berkata, perkembangan itu sebagai isyarat apa yang bakal berlaku di Sabah. Warisan dipimpin Shafie dan sekutunya seperti menghitung hari.

Menurut Abdul Aziz, 24 ADUN tidak hadir majlis yang diadakan pada 15 Mei lepas. “Hanya 19 daripada 43 ADUN Sabah yang bersekutu dengan Warisan hadir,” ujarnya.

Begitu juga Selangor. Sudah kedengaran ada calon menteri besar baharu. Impian pemimpin veteran PKR seperti tiada penghujung.

Mungkinkah pilihan raya kecil sekali lagi diadakan di Selangor. Segalanya boleh berlaku. Sejarahnya sudah banyak kali berulang. Bermula di Permatang Pauh, Kajang dan Port Dickson.

M. FAQIH- HARAKAHDAILY 21/5/2020