Xavier biadab, hina YDPA dan Dewan Rakyat

KENYATAAN yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Kuala Langat, YB Xavier Jayakumar menerusi satu video selepas Sidang Parlimen 18 Mei 2020 merupakan satu kenyataan biadab yang tidak wajar kerana disifatkan menghina YDP Agong dan Dewan Rakyat.

Video yang berdurasi selama hampir 3 minit itu menyatakan persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei adalah ‘sampah’ dan tidak berguna kerana semata-mata hanya duduk mendengar titah YDP Agong tanpa ada sebarang perbahasan dan agenda mesyuarat yang lain.

Beliau yang juga merupakan bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli sewajarnya menghormati persidangan yang berlangsung selama sehari tersebut dan menghayati isi kandungan titah YDP Agong yang dibentangkan semalam.

Advertisement

Jangan kerana kehilangan kuasa, beliau sudah tidak lagi bertindak secara waras sehingga semua perkara ingin dipertikai dan dihina dengan melulu. Adakah beliau masih tidak sedar bahawa sikap sebeginilah yang menjadikan rakyat Malaysia khususnya di kalangan masyarakat Melayu Muslim benci dan meluat kepada mereka serta tidak peduli sensitiviti yang patut dipelihara serta tidak memberikan penghormatan yang sewajarnya kepada Institusi Diraja.

Dalam situasi sekarang, rakyat mahukan Kerajaan dan semua ahli politik bekerja ke arah menangani COVID-19 sama ada dalam prospek keselamatan nyawa serta pembaikpulih ekonomi. Ahli politik perlu beringat agar tidak hanya bermain sentimen politik kebencian dan kebiadaban sedangkan penjawat awam serta rakyat umum sedang dalam bertungkus lumus memastikan kejayaan dalam menangani pandemik COVID-19 ini.

Justeru, Muafakat Nasional Selangor menyelar kenyataan biadab yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Kuala Langat, YB Xavier Jayakumar dan ia mesti dikenakan tindakan tata tertib dan disiplin sebagai satu tindakan tegas dan mendidik agar insiden seperti ini tidak berulang kembali.

Rakyat khususnya di Negeri Selangor wajar mengambil tindakan dengan membuat satu laporan Polis bagi menyiasat tuduhan menghina YDP Agong dan Dewan Rakyat.

Kami juga menyeru kepada seluruh rakyat Negeri Selangor untuk terus bersatu padu dalam mendukung Muafakat Nasional bagi membentuk gelombang agar memastikan PRU yang akan datang, Negeri Selangor tidak lagi berada di bawah pentadbiran PH.

YB DATO DR AHMAD YUNUS HAIRI
Pesuruhjaya PAS Selangor

YB TAN SRI DATUK SERI NOH OMAR
Pengerusi Perhubungan Umno Selangor – HARAKAHDAILY 21/5/2020