‘Rahmat Ramadan’ raikan bukan Muslim

GEORGE TOWN: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Negeri Pulau Pinang telah mengadakan kunjungan dari rumah ke rumah dan menyerahkan sumbangan kepada 20 keluarga penduduk dalam kalangan bukan Islam.

Advertisement

Sumbangan berupa beras, telur dan makanan asas ini telah diserahkan kepada mereka oleh Pengerusi Dewan Himpunan Pendukung PAS Pulau Pinang, K Jayaraman sekitar Timur Laut dan Barat Daya, di sini, kelmarin.

Menurut Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pulau Pinang, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah, walaupun Ramadan bulan istimewa untuk umat Islam, namun pihaknya tidak melupakan keluarga bukan Islam yang juga memerlukan.

“Semoga sumbangan kita pada hari ini dapat merapatkan hubungan antara sesama penduduk setempat yang berbilang kaum dan bangsa, di samping membuktikan bahawa ‘Islam rahmat untuk semua’,” jelas Mohd Yusni yang juga ADUN Penaga.

Turut hadir bersama adalah Presiden Pertubuhan Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan bersama beberapa ahli jawatankuasa beliau yang merupakan antara NGO penyumbang bagi program ini. – HARAKAHDAILY 22/5/2020