Sambut Aidilfitri gaya norma baharu

AIDILFITRI merupakan anugerah Allah S.W.T kepada umat Islam sebagai ganjaran atas kesabaran menjalani ibadah puasa dan bersyukur menunaikan zakat fitrah. Aidilfitri juga merupakan salah satu daripada dua perayaan yang disambut oleh umat Islam. Semestinya perayaan ini disambut dengan penuh kegembiraan dan ikatan ukhuwwah sesama umat Islam mengikut batas dan amalan yang ditetapkan oleh Islam.

Walau bagaimanapun, tahun ini kita beraya dalam suasana yang agak berbeza. Ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk mengekang penularan virus COVID-19, beberapa amalan Aidilfitri tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya. Namun, roh Aidilfitri boleh disambut dengan norma baharu sepertimana kita menghidupkan malam-malam terakhir di bulan Ramadan.

Advertisement

Kenapa perlu beraya?

Perkara pertama yang perlu difahami ialah mengapa kita menyambut Aidilfitri? Asasnya setiap kaum dan agama mempunyai perayaan masing-masing, begitu juga dengan Islam. Ini sebagaimana disebut oleh Nabi S.A.W kepada Saidina Abu Bakar As-Siddiq menerusi sabdanya:

يَا أَبَا بَكْرٍ، إنَّ لِكُلِّ قَوْمٍ عِيدًا، وَهَذَا عِيدُنَا

“Wahai Abu Bakar, sesungguhnya bagi setiap kaum itu ada perayaan, dan inilah perayaan kita.”

(Riwayat al-Bukhari)

Bahkan dalam Hadis yang lain menggambarkan bahawa perayaan Aidilfitri dan Aidil Adha merupakan salah satu daripada syiar Islam:

عَنْ أَنَسٍ رضي الله عنه قَالَ قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ وَلَهُمْ يَوْمَانِ يَلْعَبُونَ فِيهِمَا فَقَالَ مَا هَذَانِ الْيَوْمَانِ قَالُوا كُنَّا نَلْعَبُ فِيهِمَا فِي الْجَاهِلِيَّةِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الْأَضْحَى وَيَوْمَ الْفِطْرِ

“Daripada Saidina Anas R.A berkata, sewaktu Rasulullah S.A.W tiba di Madinah, masyarakat Madinah mempunyai dua hari yang mereka rayakan dengan permainan. Lalu Nabi S.A.W bertanya: Sambutan apakah dua hari ini? Mereka menjawab: Kami bermain (menyambut) pada dua hari itu (Hari Nairuz dan Mahrajan) pada zaman Jahiliyyah. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda, sesungguhnya Allah S.W.T telah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik untuk dirayakan iaitu Hari al Adha dan Hari al Fitri.”

(Riwayat Abu Daud)

Di sini kita boleh fahami bahawa masyarakat Madinah sudah ada perayaan yang mereka sambut secara adat sebelum penghijrahan Baginda S.A.W. Namun, setelah Nabi S.A.W berhijrah, Nabi S.A.W memperkenalkan perayaan Aidil Adha dan Aidil Fitri.

Di sini mengajar kita supaya perayaan agama Islam tak boleh disamakan dengan perayaan agama lain. Umat Islam sentiasa diajar supaya mempunyai jati diri, hatta dalam sambutan perayaan sekalipun. Tidak wajar Hari Raya kita dicemarkan dengan perkara-perkara yang bercanggah dengan syarak.

Bagaimana cara beraya?

Perayaan dalam Islam yang utama ialah Aidil Fitri dan Aidil Adha. Kedua-dua perayaan ini diajar oleh Islam dengan ciri-ciri yang khusus, berbeza dengan agama lain. Antara ibadah khusus yang bermula dari malam raya ialah:

(a) Bertakbir

Takbir raya merupakan salah satu Sunnah Nabi S.A.W yang melambangkan syiar Islam dalam menyambut perayaan. Allah S.W.T berfirman di dalam al-Quran;

وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

“Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.”

(al-Baqarah: 185)

Antara Hadis yang digunakan untuk beramal, sepertimana Sabda Nabi S.A.W;

زَيِّنُوا أَعْيَادَكُمْ بِالتَّكْبِيرِ

“Hiasilah perayaan kamu dengan takbir.”

(Riwayat at-Thobroni)

Takbir Hari Raya Aidil Fitri mula dilakukan selepas disahkan masuknya bulan Syawal.

(b) Menghidupkan malam raya

Di sebelah malam, digalakkan untuk menghidupkannya dengan berqiamullail, sama ada secara sendirian atau bersama sama keluarga;

مَنْ قَامَ لَيْلَتَيِ الْعِيدَيْنِ لِلَّهِ مُحْتَسِبًا لَمْ يَمُتْ قَلْبُهُ يَوْمَ تَمُوتُ الْقُلُوب

“Sesiapa yang menghidupkan malam dua hari raya kerana Allah S.W.T dengan penuh pengharapan, hatinya tidak mati pada hari matinya hati-hati.”

(Riwayat Ibn Majah)

Bagi mereka yang berkemampuan, disyorkan untuk mendirikan Solat Sunat Tasbih 4 rakaat seperti biasa, dan fadhilat yang disediakan cukup besar. Antaranya Hadis yang wajar dijadikan amalan mengenai Solat Sunat Tasbih ialah dalam satu Hadis yang panjang.

Di penghujung Hadis itu, Nabi S.A.W bersabda;

إِنْ اسْتَطَعْتَ أَنْ تُصَلِّيهَا فِي كُلِّ يَوْمٍ مَرَّةً فَافْعَلْ، فَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَفِي كُلِّ جُمعَةٍ مَرَّةً، فَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَفِي كُلِّ شَهْرٍ مَرَّةً، فَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَفِي كُلِّ سَنَةٍ مَرَّةً، فَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَفِي عُمُرِكَ مَرَّةً

“(Solat Sunat Tasbih ini) jika ada kemampuan untuk dilakukan setiap hari, lakukanlah. Jika kamu tak lakukannya (setiap hari), lakukanlah setiap Jumaat (mingguan). Jika kami tak lakukannya, lakukanlah di setiap bulan. Jika tak lakukannya, lakukanlah ia setahun sekali. Jika tidak juga, lakukanlah sekali seumur hidup.”

(Riwayat Ibn Majah)

Justeru, boleh dicadangkan supaya lakukannya setahun sekali iaitu pada malam hari raya, sekiranya berkemampuan.

(c) Persiapan diri

Pagi hari raya dimulakan dengan mendirikan solat Subuh berjamaah bersama keluarga di rumah, kemudian bertakbir raya dengan dicadangkan 3 kali pusingan.

Selepas itu bolehlah melakukan persiapan diri seperti dengan bermandi. Sepertimana seseorang lelaki bertanya kepada Saidina Ali R.A mengenai mandi yang disunatkan:

اغْتَسِلْ كُلَّ يَوْمٍ إِنْ شِئْتَ. فَقَالَ : لاَ الْغُسْلُ الَّذِى هُوَ الْغُسْلُ قَالَ : يَوْمَ الْجُمُعَةِ ، وَيَوْمَ عَرَفَةَ ، وَيَوْمَ النَّحْرِ ، وَيَوْمَ الْفِطْرِ.

“Mandilah setiap hari jika kamu menghendakinya”. Lalu orang itu berkata: “Bukan, mandi yang dimaksudkan adalah mandi yang disunnahkan”. Saidina Ali menjawab: “Mandi hari Jum’at, hari Arafah, hari Aidil Adha dan hari Aidilfitri.”


(Riwayat al-Baihaqi)

أمرنا رسول الله صلى الله عليه و سلم في العيدين أن نَلْبَسَ أَجْوَدَ مَا نَجِدُ، وَأَنْ نَتَطَيَّبَ بِأَجْوَدَ مَا نَجِدُ، وَأَنْ نُضَحِّيَ بِأَسْمَنِ مَا نَجِدُ

“Rasulullah S.A.W memerintahkan kami pada dua hari raya untuk memakai pakaian terbaik yang kami miliki, dan memakai wangi-wangian yang terbaik yang kami miliki, serta berkorban dengan haiwan yang paling mahal yang kami miliki.”

(Riwayat al-Hakim)

Bahkan amalan ini turut dilakukan para Sahabat R.A. Abul Hasan As-Sindi menukilkan di dalam Hasyiah As-Sindi ala An-Nasai:

مِنْهُ عُلِمَ أَنَّ التَّجَمُّلَ يَوْم الْعِيد كَانَ عَادَةً مُتَقَرِّرَةً بَيْنهمْ وَلَمْ يُنْكِرْهَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّه تَعَالَى عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Daripada Hadis ini diketahui, bahawa berhias di hari raya termasuk kebiasaan yang sudah ada di kalangan para Sahabat, dan Nabi S.A.W juga tidak mengingkarinya.

Walau bagaimanapun, tidak semestinya mengenakan pakaian terbaru. Cukup bagi mereka yang tidak berkemampuan untuk mengenakan pakaian terbaik yang sedia ada tanpa perlu membazir. Tambahan lagi di musim COVID-19 ini, aktiviti membeli baju raya agak terbatas.

(d) Makan sebelum solat

Selepas bersiap, disunatkan untuk menjamah sedikit sebelum didirikan Solat Sunat Hari Raya, berdasarkan Hadis Nabi S.A.W:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لا يَغْدُو يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَأْكُلَ تَمَرَاتٍ ، وَيَأْكُلُهُنَّ وِتْرًا

“Rasulullah S.A.W tidak keluar untuk mengerjakan Solat Sunat Aidil Fitri melainkan menjamah dahulu beberapa biji kurma, Baginda S.A.W memakannya dengan bilangan ganjil.”

(Riwayat al Bukhari)

Imam Malik R.A menukilkan daripada Sa’id bin Musayyab di dalam kitab Muwatto’ (الموطأ):

النَّاسُ كَانُوا يُؤمَرُون بِالأَكْلِ قَبْلَ الغُدُوّ يَومَ الفِطْرِ

“Manusia disuruh untuk makan sebelum keluar mendirikan Solat Raya Aidil Fitri.”

Justeru, digalakkan bersarapan ringan bersama keluarga terlebih dahulu, sebelum sama-sama mendirikan Solat Sunat Hari Raya.

(e) Membayar zakat

Nabi S.A.W bersabda;

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ أَمَرَ بِزَكَاةِ الْفِطْرِ أَنْ تُؤَدَّى قَبْلَ خُرُوجِ النَّاسِ إلَى الصَّلَاةِ

“Bahawa Rasulullah S.A.W menyuruh untuk membayar zakat fitrah supaya melangsaikannya sebelum manusia keluar untuk mendirikan solat.”

(Riwayat Imam Muslim)

Bagi mereka yang belum membayar zakat, waktu inilah yang paling sesuai untuk membayar zakat. Beberapa perselisihan mazhab dalam menentukan waktu pembayaran zakat. Secara kesimpulannya, kesemua mazhab berpendapat bahawa waktu yang paling afdhal ialah pada Hari Raya sebelum didirikan solat kecuali mazhab Maliki.

Justeru, sempena PKPB ini Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) telah menyediakan saluran pembayaran zakat secara online. Boleh dilakukan di rumah melalui handphone dengan kadar yang telah ditetapkan.

Iaitu zakat minima RM7.00. Mereka yang menggunakan beras wangi, beras putih import, beras perang, beras pulut, herba poni dan seumpamanya, zakatnya dengan nilai RM14. Manakala mereka yang menggunakan basmathi, beras jepun, beras merah dan seumpanya, zakatnya dengan nilai RM21.

(f) Solat Sunat Aidilfitri

Antara yang menjadi syiar dalam menyambut perayaan Islam ialah dengan mendirikan Solat Sunat Hari Raya. Hal ini sudah menjadi adat kebiasaan masyarakat Melayu Islam sejak zaman berzaman. Cumanya ketika musim COVID-19 ini, ia agak terikat dengan ketetapan:

مَنْ سَمِعَ الْمُنَادِيَ فَلَمْ يَمْنَعْهُ مِنَ اتِّبَاعِهِ عُذْرٌ ‏”‏ ‏.‏ قَالُوا وَمَا الْعُذْرُ قَالَ خَوْفٌ أَوْ مَرَضٌ ‏”‏ لَمْ تُقْبَلْ مِنْهُ الصَّلاَةُ الَّتِي صَلَّى

“Sesiapa yang mendengar azan dan tidak memenuhinya tanpa ada uzur yang menghalanginya, maka solat yang dikerjakannya tidak akan diterima. Para Sahabat bertanya: “apakah uzurnya ?” . Beliau menjawab :”takut atau sakit.”

(Riwayat Imam Abu Daud)

Hukum mendirikan Solat Sunat Aidil Fitri dibahaskan oleh para ulamak, bahkan berbeza beza setiap mazhab. Menurut Mazhab Syafie, hukum mendirikannya ialah Sunat Mu’kkad. Tetapi tidaklah diwajibkan untuk mesti didirikan di masjid. Mendirikan Solat Sunat Hari Raya di masjid atau kawasan lapang adalah sunnah.

Nabi S.A..W bersabda;

كَانَ أَنَسٌ إِذَا فَاتَتْهُ صَلاَةُ العِيدِ مَعَ الإِمَامِ جَمَعَ أَهْلَهُ فَصَلَّى بِهِمْ مِثْلَ صَلاَةِ الإِمَامِ فِي العِيدِ

“Saidina Anas R.A apabila terlepas mendirikan Solat Sunat Hari Raya bersama Imam, beliau akan menghimpunkan ahli keluarganya dan solat bersama mereka sepertimana solatnya imam pada Hari Raya.”

(Riwayat al-Baihaqi)

(g) Khutbah raya

Adapun selepas mendirikan Solat Sunat Hari Raya bersama keluarga di rumah, boleh diteruskan dengan khutbah sepertimana khutbah biasa bagi mereka yang berkemampuan, dan bagi mereka yang tiada kemampuan tidak perlu khutbah.

Pihak Jabatan Agama Islam Perak juga telah menyediakan teks khutbah yang boleh dimuat turun daripada web rasmi jabatan ini.

Apakah norma baharu raya ini?

Perayaan musim COVID-19 ini juga, ada beberapa perkara tambahan bagi menghidupkan suasana raya selaras dengan cara Islam.

(1) Takbir dipasang melalui speaker masjid.

Untuk menghidupkan suasana Hari Raya, disyorkan bagi masjid-masjid untuk bertakbir raya menggunakan pembesar suara, dalam keadaan mematuhi SOP yang telah ditetapkan dalam pelaksanaan ibadah di masjid atau surau.

(2) Takbir bersama keluarga dari rumah.

Tidak diisyaratkan takbir hanya di masjid sahaja. Bahkan lebih baik diadakan di rumah masing-masing agar kalam kebesaran tuhan bergema di seluruh ufuk.

(3) Solat raya di rumah.

Berbeza dengan solat Jumaat, solat raya boleh didirikan di mana sahaja oleh sesiapa sahaja. Maka para ketua keluarga ambillah peluang untuk belajar berkhutbah. Baca teks yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Perak sepertimana yang dinyatakan tadi.

(4) Bergilir mengunjungi jiran tetangga.

Oleh kerana Kerajaan Malaysia menetapkan tidak melebihi 20 orang berada di sesebuah premis pada satu-satu masa, maka berpakatlah dengan tuan rumah dahulu untuk mengatur masa yang sesuai supaya tidak melebihi had ditetapkan.

(5) Berkomunikasi di alam maya.

PKPB tidak menghalang kita untuk terus bersama. Manfaatkan media baharu atas niat mengeratkan silaturahim. Antara saranan Nabi S.A.W;

مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، أَوْ يُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

“Sesiapa yang suka untuk diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hubungkanlah sillaturahim.”

(Shahih Bukhari)

(6) Tiada rumah terbuka.

Kita lihat perkara ini dari sisi yang positif. Setidaknya kita boleh meluangkan masa yang lebih dengan sanak saudara dan jiran tetangga. Kembalikan adat lama, berkunjung tanpa menunggu dijemput dahulu!

(7) Beraya hari pertama sahaja.

PKPB ini mendidik kita beraya seadanya. Sememangnya Aidilfitri hanyalah pada hari raya pertama.

(8) Berjimat cermat.

Kita akan melalui fasa-fasa ekonomi yang mencabar untuk beberapa bulan mendatang. Justeru seeloknya kita bersederhana sahaja dalam menyambut raya tahun ini.

(9) Jaga penampilan walau di alam maya.

Di dalam menyambut Hari Raya Norma Baru ini, mungkin akan wujudnya kebanjiran alam maya dengan gambar-gambar keluarga. Sebagai seorang Islam, kehormatan diri perlu dijaga. Jangan mendedahkan aurat atau bersolek berlebihan.

Kita perlu sedar bahawa gambar itu akan dilihat secara terbuka, risiko disebarkan secara meluas, dan dosa yang ditanggung juga semakin berat. Kelak, apabila kita sudah mati, gambar itu mungkin masih berlegar-legar di alam maya, dan ditonton oleh generasi ke generasi. Janganlah jadikan Hari Raya kita kali ini sebagai medan untuk memanjangkan dosa.

Kesimpulan

Jadikan Aidilfitri sebagai langkah untuk terus beristiqomah dengan amalan-amalan yang dilakukan sewaktu di bulan Ramadan seperti membaca al-Quran, solat berjamaah dan Solat Witr. Kita adalah hamba Allah bukannya hamba Ramadan;

قال الحافظ ابن رجـب: لَيْسَ العِيدُ لِمَنْ لَبِسَ الجَدِيد إِنَّمَا العِيْدُ لِمَنْ طَاعَاتُهُ تَزِيدُ لَيْسَ العِيْدُ لِمَنْ تَجَمَّلَ بِاللبَاسِ وَالرّكُوبِ، إِنَّمَا العِـيدُ لِمَنْ غُفِرَتْ له الذُّنُوبُ، فِي لَيْلَةِ العِيدِ تُفَرَّقُ خَلْقُ العتق وَالمَغْفِرَةِ عَلَى العَبِيدِ فَمَنْ نَالَهُ مِنْهَا شَيْءٌ فَلَهُ عِيد وَإِلاّ فَہُوَ مَطْرُودٌ بَعِـيدٌ

“Berkata Al-Hafiz ibn Rejab, “Bukanlah raya itu siapa yang memakai pakaian baru, tetapi raya itu ialah siapa yang ketaatannya bertambah. Bukanlah raya itu siapa yang berhias dengan pakaian dan kenderaan, tetapi raya itu ialah siapa yang diampunkan dosanya. Pada malam raya dibahagikan pembebasan (dari api neraka) dan keampunan ke atas hamba. Siapa yang mendapatkannya maka baginya hari raya. Jika tidak, maka dia orang yang terbuang jauh.”

YB USTAZ MOHD AKMAL KAMARUDIN
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Dan Penerangan,
Negeri Perak Darul Ridzuan – HARAKAHDAILY 22/5/2020