Norma baharu Aidilfitri demi sebuah kemenangan

ALHAMDULILLAH, syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan rahmat dan izin-Nya kita berpeluang meraikan Aidilfitri sekali lagi pada tahun 2020. Suasana agak berbeza pada lebaran kali ini kerana negara sedang berjuang melawan wabak pandemik COVID-19.

Saya yakin kita semua pasti merindukan suasana Aidilfitri yang meriah dengan menziarahi sanak saudara sambil menikmati kuih-muih dan juadah kegemaran. Begitu juga anak Terengganu di perantauan sudah pasti ingin pulang ke kampung bertemu ibu bapa yang berbulan ditinggalkan demi mengejar cita-cita dan kerjaya di kota.

Namun, kita terpaksa mengorbankan perasaan buat seketika demi keselamatan negara. Kita semua harus mengamalkan norma baharu termasuk di hari yang paling penting bagi umat Islam iaitu Hari Raya Aidilfitri.

Advertisement

Gunakan kecanggihan teknologi pelbagai aplikasi untuk berkomunikasi dan merasai ‘keberadaan’ di samping ibu bapa dan keluarga tercinta.

Sebulan berpuasa di bulan Ramadan sudah pastinya menjadikan kita lebih berdisiplin, lebih patuh, dan lebih bertanggungjawab terhadap suasana sekeliling kita. Buktikan bahawa umat Islam adalah yang terbaik dan menjadi contoh dalam semua aspek kehidupan.

Di peringkat Kerajaan Negeri, kami kadangkala terpaksa mengambil beberapa keputusan sukar antara keselamatan penduduk dengan kelangsungan aktiviti ekonomi yang memberi impak kepada rakyat dan negeri Terengganu.

Namun, kami percaya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diperkenalkan dapat memberikan kelegaan kepada sektor perniagaan dan beberapa sektor lain sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih positif.

Tambahan dengan sedikit bantuan dan pakej rangsangan daripada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dapat meringankan beban rakyat dan sektor yang terjejas.

Di kesempatan ini, sekali lagi saya ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus dan berkorban sepenuh jiwa raga. Terima kasih juga kepada rakyat Terengganu, dan Malaysia amnya kerana sentiasa mematuhi arahan yang ditetapkan.

Dengan sokongan semua pihak, Terengganu berada di kelompok lima negeri terendah dari segi bilangan kes kumulatif COVID-19. Statistik bilangan kes seluruh dunia juga menunjukkan Malaysia makin berada di kedudukan yang semakin baik berbanding negara-negara lain.

Tidak lupa saya juga turut ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa Covid-19 pertama dari Terengganu atas pemergian insan tersayang. Semoga ahli keluarga diberikan ketabahan hadapi kehilangan ini.

Mewakili Kerajaan Negeri Terengganu, saya dan saf kepimpinan ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Terengganu.

Sambutlah Aidilfitri kali ini dengan penuh keinsafan dan kegembiraan. Jangan leka di saat sedang bergembira dan sentiasa patuhi garis panduan yang telah ditetapkan.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

“Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera”

DATO’ SERI DR. AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Menteri Besar Terengganu
24 Mei 2020 / 1 Syawal 1441 Hijrah- HARAKAHDAILY 23/5/2020