Zakat: Dari asnaf menjadi dermawan

BERAKHIR terawih malam ke-30 menandakan Ramadan pada tahun ini bakal berakhir dan berterusan kita berdoa kepada Allah S.W.T agar ibadah puasa dan segala amal kebaikan diterima oleh-Nya.

Sedar tak sedar sebenarnya kita telah berjaya melalui suatu fasa kehidupan normal baharu termasuk Ramadan tanpa aktiviti kebiasaan termasuklah solat berjamaah, bazar Ramadan, tadarus al-Quran dan sebagainya.

Namun atas keprihatinan masyarakat secara keseluruhannya, usaha kebajikan dalam membantu meringankan beban yang ditanggung, pelbagai pihak individu, organisasi mahupun institusi tetap tampil menghulurkan sumbangan.

Advertisement

Firman Allah S.W.T dalam surah At-Taubah, ayat 103 yang bermaksud;

“Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Zakat menjadi sedekah wajib dan waktunya bagi zakat fitrah adalah ketika memasuki 1 Syawal dan hendaklah ditunaikan sebelum Solat Sunat ‘Idul Fitri, namun disunatkan membayarnya bermula 1 Ramadan.

Manakala zakat-zakat lainnya diwajibkan setelah cukup nisab dan haulnya bagi diagihkan kepada lapan golongan asnaf yang berkelayakan termasuklah amil yang dilantik.

Perkaitan dan persamaan penting antara zakat fitrah dan puasa di bulan Ramadan adalah kedua-duanya rukun Islam yang telah difardhukan bermula pada tahun kedua Hijrah.

Mengambil kira situasi pandemik COVID-19 dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, pelbagai mekanisme disediakan bagi memudahkan pembayar termasuklah secara dalam talian.

Perintah mengeluarkan zakat disebut berulang-ulang kali dalam al-Quran pada 23 tempat menunjukkan betapa pentingnya ibadah ini kepada ummah malah menjadi perangsang kepada ekonomi Islam.

Sementara itu, Rasulullah S.A.W telah bersabda kepada Mu’az R.A ketika Baginda mengutusnya ke Yaman yang bermaksud;

“Jika mereka mematuhi perkara itu, beritahulah mereka bahawa Allah mewajibkan solat ke atas mereka lima waktu sehari semalam. Jika mereka mematuhi perkara itu zakat ke atas mereka yang diambil daripada orang kaya lalu diagihkan-agihkan kepada orang fakir di kalangan mereka.”

(Riwayat Muslim)

Dalam pada itu, setiap daripada kita sudah pasti mempunyai pelbagai tanggungjawab terhadap kehidupan bermasyarakat yang mana bantuan dihulur mengikut kemampuan diri kita.

Bagi mereka yang diuji dengan kesusahan hidup atau kesulitan ketika ini hendaklah juga bersyukur dengan apa yang dimiliki dan tidak sesekali mengeluh akan nasibnya atau mengaibkan diri sendiri.

Pemberian zakat juga memerlukan keikhlasan pemberi dan penerimanya (asnaf) dalam memastikan kita mendapat keredhaan Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Baiyyinah, ayat 5 yang bermaksud;

“Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Ugama yang benar.”

Marilah sama-sama kita bermuhasabah bahawasanya rezeki yang kita perolehi dalam kehidupan ketika ini adalah milik Allah S.W.T dan sebahagiannya adalah menjadi hak orang lain sebenarnya.

Daripada mereka hari ini merupakan penerima bantuan zakat (asnaf) seharusnya juga berazam suatu hari nanti akan menjadi seorang dermawan atau pembayar zakat untuk memanfaatkan orang lain pula.

Itulah yang dikatakan sebagai ekosistem ekonomi Islam yang mampan apabila dibuktikan yang dibantu tetap berusaha untuk berubah menjadi lebih baik dan kemudiannya turut membantu orang lain pula, InsyaAllah.

Ayuh di akhir Ramadan Al-Mubarak ini, kita terus bertekad dan beristiqamah untuk sentiasa melakukan kebaikan kerana Allah S.W.T demi memajukan lagi Islam dan Ummah keseluruhannya:

“Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan.”

(al-Baqarah: 110)

ZULFAHMI RAMLI – HARAKAHDAILY 23/5/2020