Ringkasan Syarah Mawaqif (Bab ketuhanan) – Siri 1

BAB Ketuhanan adalah ‘Mauqif kelima’ daripada kitab ini. Di dalam bab ini menceritakan mengenai beberapa dalil membuktikan kewujudan Allah S.W.T, mengikut beberapa pandangan. Antara golongan yang disebutkan di sini ialah:

(1) Salafussoleh

(2) al-Maturidiah

(3) al-Asya’irah

(4) Muktazilah

(5) Hukama’

(6) Sebahagian golongan terkemudian

(7) Syeikh Idhoduddin al-Ijie (pengarang)

Advertisement

Masing-masing mempunyai dalil tersendiri dalam membuktikan kewujudan Allah S.W.T. Maka, huraian saya hanya tertakluk kepada ketujuh-tujuh yang disebutkan di atas.

Pertama: Salafussoleh

Siapakah yang dimaksudkan dengan Salafussoleh? Maka, di sana terdapat beberapa pandangan mengenai maksud Salafussoleh, iaitu:

(a) Pandangan pertama

Mereka yang berdamping dengan Baginda S.A.W, dan dikira mengikut individu.

(b) Pandangan kedua

Mereka yang dikatakan sebagai ‘bukan Khalaf’, kerana berdasarkan bahasa, Salaf adalah golongan sebelum Khalaf.

(c) Pandangan ketiga

Mereka yang hidup pada zaman-zaman berikut:

(i) Pandangan pertama: Mereka yang hidup sebelum 100 Hijrah.
(ii) Pandangan kedua: Mereka yang hidup sebelum 300 Hijrah.
(iii) Pandangan ketiga: Mereka yang hidup sebelum 500 Hijrah.

(d) Pandangan keempat

Mereka yang berpegang dengan al-Quran dan Sunnah, dan mendahulukan kedua-duanya berbanding yang lain dalam mengeluarkan dalil dan dalam kehidupan. Pandangan ini paling rajih. WaLlahua’lam.

Dalil Salafussoleh mengenai kewujudan Allah

(1) Dalil fitrah

Mereka membuktikan kewujudan Allah S.W.T berdasarkan fitrah semulajadi manusia yang mengatakan bahawa Tuhan yang mencipta alam ini pasti wujud. Iaitu, naluri yang meletakkan kemestian bagi alam ini memerlukan Tuhan yang menciptanya.

Manusia yang normal fitrahnya, pasti akan mengatakan bahawa Allah itu wujud. Mereka yang menafikan kewujudan Allah, adalah mereka yang telah tersimpang fitrahnya.

(2) Dalil naqli

وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ ۚ قُلْ أَفَرَأَيْتُم مَّا تَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ إِنْ أَرَادَنِيَ اللَّهُ بِضُرٍّ هَلْ هُنَّ كَاشِفَاتُ ضُرِّهِ أَوْ أَرَادَنِي بِرَحْمَةٍ هَلْ هُنَّ مُمْسِكَاتُ رَحْمَتِهِ ۚ قُلْ حَسْبِيَ اللَّهُ ۖ عَلَيْهِ يَتَوَكَّلُ الْمُتَوَكِّلُونَ

“Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang Musyrik) itu: “Siapakah yang mencipta langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Katakanlah (kepada mereka): “Kalau demikian, bagaimana pula fikiran kamu mengenai yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? Jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayaNya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?” Katakanlah lagi: “Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri.”

(az-Zumar: 38)

(3) Dalil penciptaan

Dalil penciptaan terbahagi kepada dua bentuk yang telah dikemukakan oleh Salafussoleh:

(a) Bukti kewujudan makhluk dalam bentuk material.

Contohnya, manusia yang dilahirkan, jelas menunjukkan bahawa kewujudannya dapat dilihat dengan mata kasar.

(b) Bukti kewujudan sistem zuriat yang mampu mengekalkan keturunan.

Contohnya, semua haiwan mempunyai ‘naluri’ untuk mengekalkan zuriat masing-masing, tanpa perlu diajar oleh sesiapa. Siapakah yang mengajar mereka beranak melainkan Allah?

Maka, berdasarkan kedua-dua perkara ini, terbentangnya firman Allah S.W.T:

“Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa al-Quran adalah benar.”

(al-Fussilat: 53)

Kedua: al-Maturidiah

Al-Maturidiah ialah golongan yang bersandar dengan Imam Abu Mansur al-Maturidi R.A yang bersambung ilmunya kepada Imam Abu Hanifah R.A. Mereka tergolong dalam golongan Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Dalil yang digunakan oleh mereka untuk membuktikan kewujudan Allah ialah dengan 4 dalil, iaitu:

(a) Dalil fitrah.
(b) Dalil penciptaan.
(c) Dalil kemungkinan makhluk.
(d) Dalil baharunya makhluk.

Dua dalil yang pertama telah dijelaskan sebelum ini, iaitu dalil yang digunakan oleh Salafussoleh. Maka penjelasan yang dihuraikan di sini hanya pada item (c) dan (d) sahaja.

Dalil al-Maturidiah mengenai kewujudan Allah

(1) Dalil kemungkinan makhluk.

‘Kemungkinan’ pada makhluk ialah: Kewujudan makhluk disifatkan sebagai mungkin ada dan mungkin tiada. Contohnya, manusia boleh mati bila-bila masa, dan tidak akan wujud sekiranya Allah tidak meniupkan roh kepada janin yang berada di dalam rahim.

Ia terbahagi kepada dua:

(a) Kemungkinan pada Jauhar الجوهر.

Kerana ‘jauhar’ wujud selepas tiada. Contohnya jirim-jirim di langit dan bumi. Ini menunjukkan bahawa jirim-jirim ini ‘berkemungkinan wujud’. Apabila ia sudah pun wujud, ia berkemungkinan hilang bila-bila masa.

(b) Kemungkinan pada ‘Aradh العرض.

Kerana ‘aradh’ wujud dalam keadaan bergabung, atau banyak. Contohnya dalam badan manusia, terdapat berbilang-bilang ‘aradh’, seperti berlari, berwarna coklat, sederhana tinggi, sambil ketawa.

Maka, kewujudan makhluk yang bersifat ‘mungkin’ ini, membuktikan kewujudan Allah S.W.T yang wajib wujud (berbeza dengan mungkin wujud).

(2) Dalil baharunya makhluk.

Yang dimaksudkan dengan ‘baharunya makhluk’ ialah wujudnya makhluk selepas tiada. Iaitu, makhluk ini dimulai dengan tiada, kemudian ada. Maka dinamakan sebagai ‘baharu’. Iaitu ‘baru wujud’ selepas tiada.

Ia terbahagi kepada dua:

(a) Baharunya ‘Ain’ العين.

Baharunya ‘ain’ sesuatu makhluk boleh dilihat melalui pancaindera, kajian dan sebagainya. Contohnya manusia wujud selepas ketiadaannya, dan ini boleh diperhatikan dengan mata.

(b) Baharunya ‘Aradh’ العرض.

Baharunya ‘aradh’ berdasarkan kepada gerakan atau berhenti, bergabung atau berpisah. Maka semua ini menunjukkan ‘aradh’ itu adalah sesuatu yang baharu, iaitu berdasarkan perubahannya.

Maka, baharunya makhluk ini menunjukkan bahawa di sana pastinya ada ‘sesuatu’ yang mewujudkannya daripada tiada. Mana mungkin ia wujud dengan tersendiri, kerana wujudnya bersifat mungkin (sepertimana yang telah dijelaskan sebelum ini).

Maka, yang mewujudkan makhluk daripada tiada kepada ada, pastinya Allah yang tidak bermula dengan tiada, kerana Allah S.W.T bersifat qadim (tiada permulaan bagi kewujudannya).

Karangan: Idhoduddin al-Ijie R.A
Syarah oleh: Dr Muhammad Husaini Musa Mohd al Ghazali

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 24/5/2020