Saling bertahniah di hari raya

DALAM risalah Mukhtashar Ahkam Eid Al-Fitri tulisan Dr. imaduddin Khîti menyatakan bahawa hari raya adalah hari kegembiraan dan digalakkan umat Islam meraikannya serta saling bertahniah antara satu sama lain:

Advertisement

التوسعة على النفس والأهل بأنواع ما يحصل لهم بسط النفس وترويح البدن من تعب العبادة، فإظهار السرور في الأعياد من شعائر الدين. وتبادل التهنئة مع بقية المسلمين، وقد كان الصحابة رضي الله عنهم إذا التقوا يوم العيد يقول بعضهم لبعض: تَقَبَّل الله منا ومنك، والأمر في عبارات التهنئة واسع، فلو قال: عيد مبارك، أو تقبل الله طاعتكم وصيامكم، أو كل عام وأنتم بخير، ونحو ذلك فكلها حسنة

“Menggembirakan diri juga keluarga dengan mengadakan keraian yang pelbagai sehingga boleh menceriakan diri serta merehatkan badan daripada lelah beribadah (sepanjang Ramadan), termasuklah memperlihatkan kegembiraan di hari raya adalah merupakan syiar agama. Dan begitu juga hendaklah saling bertukar ucapan tahniah sesama umat Islam, (kerana) adalah para Sahabat R.A ketika mereka bertemu antara satu sama lain pada hari raya, mereka akan mengucapkan: Semoga Allah terima daripada kami dan kalian (amal soleh). Bentuk ucapan tahniah ini sangat luas, sekiranya dia menyebut: Hari raya yang mulia atau semoga Allah menerima ketaatan dan puasa kamu atau semoga kamu sentiasa berkeadaan baik sepanjang tahun dan seumpamanya, semua itu adalah ucapan yang baik”.

Apabila masuk 1 Syawal, umat Islam seluruh dunia menzahirkan kegembiraan mereka melalui ucapan tahniah antara satu sama lain. Para ulamak menyebut, sebaik-baik ucapan tahniah ialah mendoakan agar segala amalan sepanjang Ramadan diterima Allah selain mengucapkan selamat berhari raya. Kegembiraan pada hari raya boleh diterjemahkan juga melalui hidangan pelbagai juadah makanan, saling berhibur yang patuh syariah, menyantuni kanak-kanak serta menziarahi ibu bapa dan kerabat terdekat.

Walau bagaimanapun, dalam tempoh PKPB ini, ziarah tidak dibenarkan kecuali keluarga terdekat dan tidak melebihi 20 orang sepanjang satu hari. Bertakbirlah serta laksanakan solat sunat hari raya di rumah masing-masing bersama keluarga. Manfaatkanlah teknologi canggih untuk berhubung antara satu sama lain sama ada melalui Zoom, Skype, Webex Meet, Google Meet, Microsoft Team dan lain-lain aplikasi. Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua yang mengenali diri ini.

تقبل الله منا ومنكم صالح الأعمال، وكل عام وأنتم بخير

ASRI ED-DIWANIE – HARAKAHDAILY 24/5/2020