PAS Putatan rai ‘frontliners’ sempena Aidil Fitri

PUTATAN: PAS Kawasan Putatan menyemarakkan keraian Aidil Fitri dengan menyantuni para petugas barisan hadapan negara menerusi serahan kuih raya yang diadakan di beberapa lokasi tugas dan agensi berkaitan, di sini semalam.

Advertisement

Inisitif ini selain untuk turut sama merasai sambutan Aidil Fitri, ianya juga sebagai menzahirkan penghargaan dan sokongan kepada para pejuang negara ini atas dedikasi, komitmen dan pengorbanan bertugas untuk kepentingan awam dan negara.

Antara dikunjungi adalah Balai Polis Putatan, Bit Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sekatan Jalan Raya Kepayan, Radio Televisyen Malaysia, Markas 5 Briged Kem Lok Kawi dan Balai Bomba Sembulan, serta Balai Polis Kinarut.

Yang DiPertua PAS Putatan, Ustaz Muhammad Akmal Othman memaklumkan, kunjungan dan pemberian kuih raya pada Aidil Fitri tersebut telah menjadi rutin keraian pihaknya setiap tahun terutama kepada para petugas agensi berkaitan.

“Pada (setiap) 1 Syawal, saya rasa sudah 4, 5 tahun kita akan hantar pada pagi raya. Kalau sebelum musim PKP ini, memang kita hantar. Sebab tentulah ada (frontliners) yang bertugas semasa hari raya, (iaitu) yang polis-polis, abang-abang bomba,” ujar beliau.

Inisiatif dilaksanakan beliau itu disertai sama Ahli-ahli Jawatankuasa PAS Putatan sebagai antara kemeriahan yang dikongsikan sempena Hari Lebaran ini. – HARAKAHDAILY 25/5/2020