Ustaz Abu Bakar al-Baqir merajuk

DALAM bulan April 1999, bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Sabah, Allahyarhamah Ustazah Naqibah No’ma Abu Bakar telah dilantik sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS Perak. Beliau adalah aktivis Dewan Muslimat PAS Melaka sejak 1982, sebelum berhijrah ke Sabah pada 1987. Selepas setahun menjadi Ketua Dewan Muslimat PAS Tawau, beliau dilantik sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS Sabah pada 1988. Pada 1992, beliau balik ke Perak dan mula memimpin Dewan Muslimat PAS Ipoh Timur pada 1993 dan akhirnya diangkat sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS Perak pada 1999. Beliau meninggal dunia pada 26 Januari 2011.

“Ustazah Naqibah yang baru jadi Ketua Muslimat PAS Perak itu anak Arwah Ustaz Abu Bakar al-Baqir,” beritahu Ustaz Hassan kepada saya, ketika kami berborak-borak di bilik Jabatan Pendaftar Pertubuhan, di Pejabat Agung PAS, Taman Melewar. Saudara Zubir Abd Hamid dan Taufik Ramli ada bersama, tetapi mereka tekun membelek fail-fail rekod Cawangan dan Kawasan. Di bilik inilah Ustaz selalu melayan macam-macam kerenah kami, terutama saya yang suka bertanya cerita-cerita lama.

Advertisement

“Ustaz Abu Bakar al-Baqir Gunung Semanggol ke Ustaz? Pengasas Hizbul Muslimin itu?” saya cuba mendapatkan kepastian dari Ustaz.

“Ya lah. Ustaz Abu Bakar itu ipar Ustaz Mustafa Abdul Rahman, (penulis buku) Hadis 40 itu. Isteri Ustaz Abu Bakar itu Kak Fatimah, adik-beradik Ustaz Mustafa. Ayah depa, Tok Guru Haji Abdul Rahman Mahmud yang buka Pondok Rahmaniyah di Gunung Semanggol, sebelum Ustaz Abu Bakar buat Maahad al-Ihya (as-Syariff). Kitab Tafsir al-Quran al-Hakim yang orang duk pakai di pondok-pondok belah Utara itu, kitab dia lah,” panjang pula Ustaz menyebut mengenai silsilah keluarga mereka. Ustaz Abdul Rahman memang terkenal dengan kitab Hadis 40-nya kerana masjid-masjid dan surau masih mengajar kitab ini. Dalam silibus tarbiyah PAS pun, kitab ini turut menjadi teks.

“Ustaz sempat ke jumpa dengan Ustaz Abu Bakar al-Baqir ini,” saya mula berperanan untuk ‘memaksa’ Ustaz membuka memori lamanya.

“Kenal sangatlah. Sebab masa ana di (Madrasah) Yahyawiyah dulu, Ustaz Abu Bakar dah bebas. Dia di Gunung Semanggol, tak jauh sangat,” Ustaz mula membuka kisahnya.

Ustaz Abu Bakar al-Baqir sebenarnya berketurunan Jawa, keluarganya berasal dari Kendal, Jawa. Beliau adalah murid kesayangan Sheikh Abdullah Fahim di Madrasah Daerat al-Maarif al-Wathaniyah, Kepala Batas dan juga di Madrasah Idrisiah, Kuala Kangsar. Pada 1934, beliau membuka Maahad al-Ihya as-Syariff di Gunung Semanggol. Pada 1947, Ulamak Malaya yang bersidang di maahad ini telah menubuhkan Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA), kemudian pada 1948, dalam Persidangan MATA, Hizbul Muslimin ditubuhkan. Ustaz Abu Bakar adalah pemimpin utama kedua-dua badan ini. Pada 29 Julai 1948, beliau ditahan di bawah Ordinan Darurat selama empat tahun kerana kegiatan politiknya. Pada Oktober 1952, beliau dibebaskan.

“Masa dia baru bebas itu,” Ustaz menyambung ceritanya. “Pimpinan PAS ajak dia masuk. Dan dia jadi ahli. Sebab itu masa Kongres PAS di Madrasah at-Tahzib (ad-Diiniah, Parit Buntar, pada 12-14 Ogos 1954), Ahli Jawatankuasa Agung PAS sendiri yang cadang nama beliau untuk jadi AJK. Masa ini (Dato’ Mohd) Asri (Haji Muda) guru di (Maahad) al-Ihya. Tapi beliau tak nak. Boleh jadi sebab baru keluar tahanan politik British dan dia nak tumpu pada maahad kut,” Ustaz membuka cerita yang banyak orang tak tahu. Ramai orang kata, Ustaz Abu Bakar al-Baqir tidak terlibat dengan PAS.

“Kenapa masa Pilihan Raya 1955 itu Ustaz Abu Bakar tak jadi calon PAS. Siap jadi calon Perikan Melayu Perak (PMP) lagi,” saya terus bertanya kepada Ustaz. Saya sendiri tertanya-tanya kenapa Ustaz Abu Bakar al-Baqir tidak menjadi calon PAS, sebaliknya menjadi calon PMP di kawasan Larut-Matang.

“Masa itu beberapa parti termasuk PAS dan Umno tawarkan Ustaz Abu Bakar jadi calon. Dia tak nak juga. Rasanya, masa ini dia nak pulihkan maahad. Jadi kurang sikit politiking. Dengan Sultan Perak pun ok, dengan Pejabat Agama pun ok. Entah macam mana, tiba-tiba Datuk (Panglima) Bukit Gantang (Abdul Wahab) berjaya pujuk dia bertanding. Masa ini Datuk Bukit Gantang dah keluar Umno. Perikatan Melayu itu parti dialah.

“Ana dengar orang cerita, antara sebab Ustaz Abu Bakar tak nak terlibat ini kerana anak-anak murid dia masa lepas Perang (Dunia Kedua) itu berlawan sama sendiri. Haji Sulaiman Palestin, Haji Ahmad Maliki… ini orang kuat Umno, yang lain macam Baharuddin Latif, Asri, Mustafa Abdul Rahman, termasuk Haji Ahmad Fuad itu PAS. Kebetulan pula Haji Sulaiman Palestin jadi calon Umno di Kerian, lawan Tok Guru Haji Ahmad Tuan Hussein.

“Pengaruh Ustaz Abu Bakar itu banyak di sini (Kerian). Sebab ini kampung dia. Maahad pun sini. Gunung Semanggol itu dalam kawasan Kerian masa ini. Sebab dia tak mahu berlawan dengan anak-anak murid dia, dia terima tawaran Datuk Bukit Gantang untuk jadi calon, tapi bukan di Kerian. Dia pilih di Larut-Matang. Ini kawasan Cina. Di kawasan ini lah ana bertugas untuk buka Cawangan-cawangan lepas Pilihan Raya ini,” Ustaz mula bercerita panjang.

“PAS tak buat kerja sama ke dengan Ustaz Abu Bakar?” saya terus bertanya.

“Haaa… Ini lah antara benda orang sekarang tak tahu. Dalam pilihan raya ini, ada pakatan politik berlaku selepas penamaan calon. Mula-mula, pasal simbol ‘Tangan Terbuka’ yang PAS guna. Masa ini ada penceramah Umno kata itu simbol ‘kerat tangan’ (hudud), lepas itu Umno kata, lima jari terbuka itu ertinya lima parti yang tak sebulu dengan Umno bergabung dengan PAS lawan Perikatan,” Ustaz terus bercerita.

“Menarik ini… parti apa yang lima itu,” saya mula panasaran nak tahu lebih lanjut.

“Kalau tak silap… Parti-parti Melayu masa itu yang selain Umno. Perikatan Melayu Datuk Bukit Gantang, Parti Kebangsaan Perak, Parti Negara Dato’ Onn, Parti Melayu Semenanjung (PMS) dan Kongres Pemuda Melayu. Lima parti ini didakwa oleh Umno, bergabung dengan PAS.

“Ada sungguh ke pakatan ini Ustaz?” saya terus mendesak.

“Takde pun. Tapi…” Ustaz mula membuka ‘rahsia’ baru. “Masa ini, ada ulamak Umno, Haji Abdullah Abbas Nasution di Kedah. Di bertanding calon Bebas. Jadi, dia kata Umno ini tidak peduli ulamak dan berjuang untuk dunia je. Lepas itu, dia buat pakatan politik calon-calon ulamak,” Ustaz menyebut perlahan-lahan.

“Ulamak mana yang terlibat? PAS sekali ke Ustaz,” saya dah hilang sabar nak tahu.

“Semua ustaz yang jadi calon PAS terlibat termasuk Ustaz Zabidi (Ali), Prof Zul (Zulkifli Mohamad), Ustaz Othman (Abdullah), Tok Guru Haji Ahmad (Tuan Hussin) dan beberapa orang lagi. Ustaz Abu Bakar al-Baqir pun join sekali. Calon Bebas ada dua, Haji Abdullah Abbas dengan Ustaz Che Mat Kassim. Pakatan mereka ini dipanggil Seruan Bersekutu Ulamak,” Ustaz terus membuka sejarah yang tak disebut dalam buku sejarah di sekolah.

Saya mula fokus kepada Ustaz Abu Bakar al-Baqir semula. Saya dan semua orang tahu, semua calon yang Ustaz sebut itu telah tewas dalam Pilihan Raya 1955 kecuali Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin. “Lepas pilihan raya ini, Ustaz Abu Bakar aktif ke dengan Perikatan Melayu atau PAS?” saya kembali mengorek kisah-kisah pengasas Hizbul Muslimin ini.

“Ustaz Abu Bakar itu menghabiskan masa di maahad dia je. Maklumlah terjejas teruk selepas empat tahun dia ditahan. Jadi, selain maahad itu, Ustaz Bakar tubuhkan Persatuan Pemilik-pemilik Madrasah Agama Perak. Dia yang jadi Yang Dipertua.

“Masa ini, lepas pilihan raya, Tok Guru (Haji Abdul Samad Nuh) dengan (Ustaz) Hassan Adli tubuh Persatuan Guru-guru Madrasah Agama Rakyat (PGMR) Perak. Tok Guru jadi Yang Dipertua, Hassan Adli jadi Setiausaha Agung. Nama PGMR Perak jadi terkenal bila Hassan Adli bagi memorandum kepada Tok Guru Haji Ahmad Tuan Hussin, minta bawa isu sekolah agama rakyat ke Parlimen (ketika ini dipanggil Majlis Undangan Persekutuan). Bila isu ini diangkat, Kerajaan telah beri perhatian, sebuah jawatankuasa penyiasat ditubuh, macam Suruhanjaya Diraja hari ini, untuk kaji pasal sekolah agama rakyat. Hasilnya, Kerajaan bagi geran perkapita. Sinilah mulanya geran perkapita sekolah agama itu,” jauh pula Ustaz berpusing.

“Masa Pilihan Raya 1959, Hassan Adli bertanding di Terengganu. Menang. Jadi dia letak jawatan sebagai Setiausaha Agung PGMR Perak. Tok Guru pula, bila jawatan ini kosong, dia lantik ana jadi Setiausaha Agung PGMR Perak. Ana pegang jawatan ini antara 1960 sampai gi Baghdad pada 1964.

“Sebenarnya masa ini, Tok Guru adalah Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat. Lepas itu dilantik pula sebagai Pesuruhjaya PAS Perak, ganti Hassan Adli.

“Masa ini lah timbul krisis dengan Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Bukan sebab PAS, tetapi sebab sekolah agama. Tok Guru itu YDP PGMR Perak, Ustaz Abu Bakar itu YDP Persatuan Pemilik Madrasah Agama. Kira-kira Ustaz Abu Bakar macam Ketua Persatuan Majikan, Tok Guru pula Ketua Kesatuan Sekerja. Dalam hal ini lah mereka berselisih… Urusan guru-guru dan pentadbiran sekolah-sekolah. Takde kena-mengena dengan PAS.

“Tiba-tiba Ustaz Abu Bakar macam tak suka dengan PAS. Sebabnya… kerana Ketua PAS Perak itu adalah YDP PGMR Perak. Sebab dia tak suka PGMR Perak, PAS pun dia tak suka juga. Merajuklah orang tua itu. Sampai mati (pada 1974), dua tak aktif lagi dengan politik,” Ustaz melahirkan rasa kesalnya kerana PAS menjadi mangsa dalam isu yang tidak berkaitan dengannya.

“Walaupun begitu, anak-cucu Ustaz Abu Bakar aktif dengan PAS. Selain (Ustazah) Naqibah, (Ustaz) Jilbaz Mukhlis, bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Perak itu cucu dia,” kata Ustaz, menyebut anak-cucu beliau yang aktif bersama PAS ketika itu.

Semoga semua pejuang, termasuk Ustaz Hassan diampunkan dosa-dosa mereka oleh Allah.

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 25/5/2020