Kedah buka kembali konsesi balak? Ini penjelasannya

KECOH seketika hari ini apabila dilaporkan oleh berita bahawa Kerajaan Negeri Kedah mempertimbangkan untuk buka kembali konsesi balak.

Bagi yang membaca tajuk sahaja, sudah tentulah akan melompat tidak ketahuan. Kejian, maki hamun semua ada secukup rasa.

Yang lebih mengejutkan, ada seorang pengamal media terkemuka juga buat benda yang sama, baca tajuk dan terus buat kesimpulan ini sahaja pelan ekonomi yang ada. Agak-agak la, pengamal media yang masyhur kut. Hanya dengan tajuk sahaja terus boleh jadi pelan ekonomi sebuah negeri?

Tetapi mereka yang membaca isi, bertanya untuk dapatkan penjelasan, ini pembaca yang bijak!

Advertisement

Berbalik pada isu yang timbul. Jika diamati laporan berita mengenai isu ini, terdapat lima perkara mudah untuk difahami:

(1) Ada perjanjian konsesi balak yang telah dipersetujui antara Kerajaan Negeri sebelum ini dengan syarikat pembalakan. Difahamkan konsesi itu melibatkan kawasan hutan Ulu Muda.

(2) Namun, pada bulan Mac 2019, Kerajaan Negeri mewartakan kawasan hutan Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air dan hutan simpan.

(3) Maksudnya, hutan di situ tidak boleh diusik untuk aktiviti pembalakan dan lain-lain aktiviti. Semua projek pembalakan dihentikan.

(4) Syarikat-syarikat pembalakan (yang sudah membuat bayaran premium) buat tuntutan kepada Kerajaan Negeri berjumlah hampir RM1 bilion sebagai pampasan, kerana projek mereka dihentikan oleh Kerajaan Negeri.

(5) Semua masalah ini terpaksa dipikul dan diselesaikan oleh Kerajaan Negeri Kedah sekarang yang dipimpin oleh MB YAB Hj Muhammad Sanusi Md Nor.

Cadangan penyelesaian

Apabila disoal secara spontan oleh pihak media yang hadir membuat temu bual di Pejabat MB pagi tadi, YAB MB mengemukakan tiga pilihan cadangan untuk menyelesaikan isu ini:

Pertama, hadapi kes ini di mahkamah;
Kedua, bayar tuntutan pampasan;
Ketiga, ganti kawasan lain untuk pembalakan.

Kawasan lain yang dimaksudkan itu mestilah dalam kawasan hutan pengeluaran yang dibenarkan oleh Jabatan Perhutanan, tertakluk kepada peraturan dan undang-undang sedia ada. (Kawasan hutan ada 2 kategori, hutan simpan dan hutan pengeluaran).

Keutamaan Kerajaan Negeri ialah supaya kehidupan rakyat tidak terganggu, tiada pencemaran alam sekitar dan tiada kesan-kesan negatif kepada ekosistem alam sekitar.

Kesimpulannya, ini bukan cadangan untuk membuka kawasan pembalakan yang baharu. Ini hanya cadangan untuk menyelesaikan masalah berbangkit akibat pemberhentian kelulusan konsesi balak yang diberikan oleh Kerajaan sebelum ini. Jika Kerajaan Negeri bersedia untuk membayar tuntutan berjumlah hampir RM1 bilion tersebut, maka cadangan kawasan pembalakan ganti ini tidak berbangkit.

Ok. Jelas?

“Kedah Sejahtera”

AFNAN HAMIMI
Wisma Darul Aman – HARAKAHDAILY 26/5/2020

Rujuk di sini: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/05/693057/kedah-pertimbang-buka-kembali-konsesi-balak