Mengukuh tali perkahwinan, mengerat kekeluargaan

MACAM semua orang, saya send ucapan raya saya pada semua sahabat dan client kami.

“Tuan, bantu saya, saya nak minta nasihat. Isteri saya minta cerai!”

Allah, tiba-tiba mesej ini masuk.

Sebelum ini kes terlanjur. Alhamdulillah selesai dengan kedua ibu ayah belah kedua keluarga dah bertemu. Saya yang ada sekali dalam pertemuan itu jatuh jugalah air mata.

Ini pula kes cerai, dan melibatkan peserta yang pernah saya kendalikan dalam kelas latihan kami.

Apa saja yang boleh saya bantu, melainkan minta dia berdoa. Daripada gaya bahasa tulisan mesej dia kepada saya, saya yakin dia orang sangat baik, Allah sayang dia, sebab itu dia cuba nak menyelamatkan keadaan. Sungguh-sungguh dia kata dia nak doa, supaya isteri dia kembali bertaut hati dengan dia. Nak pula dah punya anak yang agak ramai.

Advertisement

Saya ini, tidaklah pandai nak jaga isteri dan anak macam orang lain, apatah lagi usia perkahwinan baru jejak 8 tahun. Banyak cacat-cela sana sini bila sebut soal hubungan dalam perkahwinan.

Tapi, ada beberapa perkara yang saya rasa saya cuba pegang kuat-kuat, walaupun kadang-kadang terlepas:

(1) Saya selalu ajar diri, kalau pasangan buat silap, ingatlah ada banyak sangat kebaikan yang isteri kita buat berbanding dengan kesilapan yang dia buat. Carilah apa juga alasan agar kesilapan itu tidak dipanjang-panjangkan. Ini asas yang paling besar dalam rumah tangga.

(2) Urusan rumah, bukan urusan isteri semata-mata. Kita kata kita penat cari rezeki kat luar, tapi percayalah, itu bohong semata kalau kita cuba melaksanakan rutin rumah 24 jam. Jadi, libatkanlah semaksimanya urusan rumah seperti kemas, masak, jaga anak dan lain-lain secara bersama. Cuma, kadang-kadang kalau malas itu datang, bagi tahu saja yang kita tengah malas. Tapi usah dipanjangkan malas itu. Ambil masa, dan kalau ready, jangan tangguh nak membantu.

(3) Dalam hubungan suami isteri, jagalah 3 anggota luaran ini untuk tatapan sesama anda. Dan benda ini janganlah sesuka hati berkongsi benda ini dengan orang luar hidup kita:

(i) Muka (wajah).
(ii) Perut (kenyang atau tak).
(iii) Kemaluan (hubungan kelamin).

Yang last itu, nampak macam lucah kan? Tapi inilah kegagalan ramai pasangan melihat perkara ini dengan mendalam. Semasa saya berkursus membina modul dengan salah sebuah Jabatan Agama di sebuah negeri, pegawai agama tersebut pernah memaklumkan, 80 peratus pelanggan kepada Mak Nyah yang mendapatkan servis seks, datang daripada suami orang. Kerana mereka tak dapat kepuasan yang sama yang diberikan isteri, kerana Mak Nyah ini tahu ‘selok-belok’ nak memuaskan lelaki sebab mereka ‘pernah’ menjadi lelaki.

(4) Beli jiwa. Saya suka dengar cita-cita dan keinginan isteri dan anak-anak. Dan saya akan cuba sehabis baik untuk tunaikan walaupun susah dan lambat. Dengan perangai inilah, saya selalu doa, dan alhamdulillah banyak tercapai, antaranya nak keliling dunia sama-sama tengok dunia orang luar dan sasaran saya nak pusing at least 30 buah negara. (Sekarang ini baru 22)

(5) Jaga privasi. Jangan sesekali suka nak menyiasat kehidupan peribadi masing-masing seperti, hari-hari curi nak tengok mesej di Instagram, Facebook, sms dan lain-lain. Sangka ini yang kebanyakannya menyebabkan pasangan kita rasa tak selamat. Tapi kalau kita ada sangsi, sebagai suami perlu ada hak untuk merasa cemburu lagi-lagi melibatkan perbualan berlainan jantina. Kena tanya elok-elok, nasihat elok-elok, sebab kalau salah tegur, akan jadi sangat bahaya.

Tapi, kalau tak boleh check mesej bagai, macam mana nak detect pasangan kita curang atau tak? Maka kat sinilah persoalan kepada kita, bagaimana kita serah benda ini kepada Allah. Percayalah, hubungan yang ikhlas, buat jahatlah macam mana pun, pasti akan kantoi. Cuma, bila kantoi itu, apa nak dibuat? Itu next perkongsian.

*Tapi, saya selalu curi-curi tengok chart Shoppe atau Lazada isteri saya, nak tengok apa yang dia teringin nak beli. Kalau mampu, saya transfer ke chart saya. Kalau tak mampu, aku biarkan saja, biar dia beli sendiri. Hehe.

(6) Yang ini yang paling saya kenang, apabila kesemua anak saya, saya lihat sendiri betapa payahnya isteri saya nak keluarkan dia orang semua ini daripada rahimnya. Separuh mati! Lagi-lagi masa kembar kami dilahirkan. Sebab kembar kami kembar tak seiras dan dua uri. Kelahiran mereka ibarat melahirkan anak dua kali. Pecah ketuban dua kali, meneran dua kali, dan alhamdulillah tiada sebarang komplikasi dalam tempoh kelahiran. Bila ada rasa tak senang saja dengan pasangan, saya akan kenang benda ini. Sakit hati kita tak dapat nak menyamai dengan sakitnya mereka semua ini melahirkan zuriat kita.

Ada banyak lagi yang saya nak share, tapi inilah yang saya cuba pegang kuat-kuat. Ya, ingat! Kita ini manusia, tak sempurna, dan ada banyak salah dan kesilapan. Tapi kesilapan kita dalam hubungan rumah tangga ini janganlah bagi sampai syaitan yang gembira yang memang tugas makhluk jahat ini nak tengok rumah tangga kita ini berpecah dan huru-hara.

Kenapa syaitan buat gitu? Sebab memang kerja dia cari geng untuk teman di neraka. So, nak hubungan kita ini bawa ke neraka, atau sebaliknya? Pilihan, kita sendiri yang putuskan. Kan?

KHAIRUL NADZIR
Yang berusaha untuk sayang keluarga – HARAKAHDAILY 26/5/2020