Patuhi SOP raya musim PKPB

KUALA NERUS: Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengingatkan rakyat agar dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikenakan mengikut Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Katanya, antara peraturan mengikut SOP itu seperti mengamalkan penjarakan sosial, elakkan berada di tempat sesak yang tertutup, cuci tangan dan memakai penutup muka.

“Suka saya mengambil kesempatan ini juga untuk memperingatkan kepada semua (rakyat) supaya sentiasa mematuhi SOP, yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Advertisement

“Antara SOPnya, amalkan penjarakan sosial, elakkan tempat yang sesak atau tertutup, sentiasa cuci tangan dengan sabun atau ‘hand sanitizer’ dan pakai pelitup muka,” tegasnya dalam satu kenyataan medianya sempena Hari Raya Aidilfitri, pada Ahad lalu.

Beliau yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, turut merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam di negara ini.

Khususnya, kata beliau kepada sebahagian besar daripada 977,206 orang pekebun kecil dalam sektor agrikomoditi serta penduduk dalam kawasan Parlimen Kuala Nerus.

“Takbir yang dilafazkan adalah untuk memanifestasikan kesyukuran atas nikmat petunjuk yang telah diberikan oleh Allah SWT kepada kita.

“Mudah-mudahan sambutan hari raya pada tahun ini walaupun dalam keadaaan terbatas dan berbeza daripada kebiasaan, diharapkan ia tidak menghalangkan kita untuk menghubungkan dan memperbaik silaturrahim dan persaudaraan antara sesama kita, ahli keluarga, saudara mara dan jiran tetangga,” jelasnya.

Pada 9 Mac lalu, Dato’ Dr Khairuddin yang juga Ahli Majlis Syura Ulamak PAS dilantik menganggotai barisan kabinet oleh Perdana Menteri Malaysia ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di bawah kerajaan baharu Perikatan Nasional (PN).- HARAKAHDAILY 26/5/2020