Sokong haramkan jualan arak di kedai serbaneka

REACH menyokong sepenuhnya gesaan Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad agar kerajaan segera menggantung pengeluaran dan penjualan arak sehinggalah isu kemalangan melibatkan pemandu mabuk dapat diselesaikan.

Malah REACH menggesa kerajaan mengharamkan terus penjualan arak di kedai serbaneka 24 jam, kedai runcit dan stesyen-stesyen minyak.

Arak bukan suatu keperluan utama rakyat seperti makanan asas atau ubat-ubatan justeru itu tidak perlu dijual di kedai-kedai tersebut 24 jam sehari.

Kedai-kedai tersebut dilanggani oleh semua peringkat umur justeru itu tidak perlu mendedahkan pelajar-pelajar sekolah kepada minuman tersebut.

Advertisement

Isu arak ini bukan isu agama yang melibatkan umat Islam semata-mata namun ia telah mencetuskan masalah sosial yang melibatkan semua kaum dan semua agama. Kerosakan dan kemudratan akibatnya telah dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia.

Sejak akhir-akhir ini, isu ini menjadi-jadi apabila beberapa kemalangan maut telah berlaku yang melibatkan pemandu mabuk dan kerajaan hari ini perlu melakukan sesuatu dengan segera.

Sejak dari kerajaan lepas rakyat dijanjikan hukuman yang lebih berat bagi pemandu mabuk tetapi apa yang kita dapat lihat hanyalah peningkatan kematian akibat pemandu mabuk.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong telah menjanjikan pindaan agar hukuman yang lebih berat untuk pemandu mabuk dan akan mengambil kira pandangan orang ramai dan soal selidik.

Kami berharap beliau mempercepatkan tindakan kerana telah jelas pandangan orang ramai terhadap isu ini justeru itu tidak perlu membazirkan duit kerajaan untuk membuat kajian lagi.

Mungkin ada yang berkata adalah hak rakyat bukan Islam untuk meminum arak. Tetapi mereka lupa adalah hak seluruh rakyat Malaysia untuk tidak menjadi mangsa kepada masalah-masalah yang timbul akibat arak ini. Malah di Singapura terdapat zon larangan bagi arak.

Kerajaan juga mesti merombak semula klasifikasi bagi arak dengan semua minuman mengandungi alkohol serta memabukkan diklasifikasikan sebagai arak tanpa mengira peratus kandungan alkohol.

Apabila isu klasifikasi ini dibangkitkan ada pula yang mempertikaikannya kerana ia melibatkan ubat-ubat yang mengandungi alkohol. Jangan jadikan ini sebagai alasan kerana masalah seperti ini boleh diselesaikan dengan melibatkan pakar-pakar.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan / Resource Centre For The Advancement Of The Community And Housing ( REACH )
3 Syawal 1441 / 26 Mei 2020- HARAKAHDAILY 26/5/2020