Surat terbuka buat Menteri Pengangkutan

Pemandu mabuk sebabkan kemalangan yang membunuh nyawa pihak lain

IZINKAN saya mencadang pindaan undang-undang bagi Kerajaan dalam menangani situasi terkini berkaitan pemandu mabuk sehingga menyebabkan kematian insan tidak bersalah ini.

Nyawa rakyat amatlah bernilai bagi sebuah Kerajaan. Setiap rakyat mempunyai peranan tersendiri bagi membangunkan negara ini. Jika satu nyawa yang hilang sedikit sebanyak memberi kesan kepada sebuah Kerajaan apatah lagi kepada sebuah institusi keluarga yang kecil terutama jika melibatkan ketua keluarga.

Ada cadangan supaya ditingkat kadar denda sehingga RM100,000, penjara puluhan tahun dan sebagainya tetapi pada penilaian saya jumlah tersebut adalah terlalu rendah bagi menilai nyawa seorang manusia.

Sepatutnya nyawa dibalas nyawa. Jika terdapat rayuan dari pihak penjenayah, kuasa pengampunan boleh dilaksanakan dengan syarat pengampunan hanya boleh diberikan oleh ahli waris mangsa yang terlibat. Ini bagi mengelakkan kes dendam di kalangan ahli waris mangsa.

Advertisement

Selain itu, pengampunan haruslah disertakan pampasan kepada pihak waris. 1 nyawa bernilai RM700,000. Jika pemangsa tidak mampu menyelesaikan secara bersendirian, pihak keluarga pemangsa boleh membantu membayar bersama pampasan tersebut sebagai rasa tanggungjawab bersama dengan kemalangan yang berlaku.

Ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesedihan dan membantu pihak waris untuk meneruskan kehidupan mereka. Bagi pihak keluarga penjenayah juga terdapat pengajaran berguna iaitu bersama berusaha mengawal ahli keluarga dari melakukan perkara yang boleh memberi ruang ‘pembunuhan’.

Jika penjenayah ini dipenjara seperti undang-undang sedia ada, Kerajaan terpaksa menanggung mereka sepanjang tempoh hukuman dan pada masa yang sama ahli waris mangsa dan penjenayah terus merana apabila hak mereka dinafikan oleh tembok besi ini.

Sekian. Mohon mencadang. Selamat bertugas YB.

AAFIFFUDDIN IR AZHAR – HARAKAHDAILY 26/5/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.