Tindakan tangkap PATI adalah tepat

KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan menangkap Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan-kawasan majoriti pendatang asing tamat adalah tepat.

Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) Shahir Adnan berkata pihaknya menyokong tindakan kerajaan itu kerana telah menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia daripada terdedah risiko penularan wabak Covid-19.

“Bayangkan jika kerajaan mengikut gesaan NGO-NGO (badan bukan kerajaan) tertentu, maka puluhan atau ratusan PATI yang positif Covid-19 bergerak dengan bebas di negara kita.

Advertisement

“Keadaan pastinya bertambah buruk jika mereka dibenarkan bebas. Seperti kelaziman setiap tahun perayaan Aidilfitri, pendatang asing selalunya menghabiskan masa di pasaraya seperti KLCC dan taman-taman di ibu kota.

“Kita bernasib baik kerana mereka dikuarantin di depot tahanan. Malapetaka gelombang Covid-19 yang baru dapat dihindari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, berhubung isu kemanusiaan, kerajaan Malaysia sebenarnya sangat baik hati dan menjunjung prinsip kemanusiaan sejagat.

Ini katanya jelas, sewaktu PKPD, semua warga asing, dengan permit sah atau tanpa izin, diberikan makanan secukupnya secara percuma serta cukup nutrisi.

Malahan, di depoh tahanan, mereka diberikan kemudahan asas yang baik.

“Jika penjarakan sosial menjadi isu di depoh, maka kerajaan perlu melihat kepada aspek mengurangkan jumlah tahanan PATI pada sesuatu masa.

“Cara paling cepat adalah dengan menghantar pulang mereka yang negatif Covid-19 ke negara asal secepat mungkin. Kementerian Luar Negara perlu bertindak cepat,” ujarnya.

Shahir berkata, peningkatan mendadak jumlah kes Covid-19 beberapa hari lepas adalah berkaitan PATI di depoh tahanan.

Justeru, beliau berharap rakyat Malaysia tidak panik, tetapi perlu sentiasa waspada dan tingkatkan disiplin kendiri.

Semalam, Kementerian Kesihatan mengumumkan 172 lagi kes Covid-19, dengan 164 daripadanya melibatkan warga asing terutama yang ditahan di pusat tahanan Imigresen.- HARAKAHDAILY 26/5/2020