Konsesi balak: Sanusi jawab kepuraan Mukhriz

KUALA LUMPUR: Kontroversi cuba dipanaskan pihak-pihak tertentu dengan memberi gambaran salah kononnya kerajaan negeri mahu membuka konsesi baharu pembalakan dijelaskan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Advertisement

Terangnya, kerajaan negeri ketika ini berdepan tuntutan terbaru dalam konsesi yang dibatalkan oleh pentadbiran sebelum ini di mana bukan lagi berjumlah RM1 bilion, tetapi sudah meningkat kepada RM1.5 bilion.

Menurutnya, tuntutan tersebut telah berlaku sebelum daripada ini lagi dan ketika itu beliau adalah Ketua Pembangkang DUN Kedah di mana didatangi persatuan dengan lebih kurang 40 pemegang konsesi yang telah diluluskan tapi dibatalkan.

Katanya, tuntutan mereka itu adalah sebanyak RM40,000 per hektar melibatkan jumlah keseluruhan itu 2,000 hektar lebih, dengan cadangan dibuat untuk menggantikan kawasan lain bagi menghadapi kemelut tersebut.

“Ada satu contoh saya sebutkan kerajaan, sebuah kerajaan negeri yang menghadapi masalah yang sama, dan mahkamah memutuskan dia bayar ganti rugi RM60 juta kepada pemegang konsesi yang dibatalkan.

“Apa yang dibuat oleh kerajaan negeri tersebut ialah, walaupun dia kena RM60 juta, tapi dia bagi balik baru ini dengan pemegang konsesi dan diganti tempat lain. RM60 juta pun tak layar bayarlah. Inikan pula RM1 bilion.

“Walaupun itu tuntutan, belum diperincikan, belum diperhalusi jumlah yang sepatutnya, kerugian yang ditanggung oleh pemegang konsesi. Tapi RM60 juta pun terlalu tinggi untuk sebuah kerajaan negeri.

“Jadi cadangan untuk penggantian di kawasan luar kawasan tadahan itu satu yang munasabah yang telah dilakukan oleh banyak kerajaan sebelum ini,” jawabnya dalam sidang media di Wisma Darul Aman, Alor Setar, tengahari tadi.

Beliau juga membalas bidasan bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir dengan mengingatkan fakta pembentangan Jabatan Perhutanan kepada Jawatankuasa Hasil Bumi Negeri Kedah pada 5 Mei lalu.

Demikian itu bidasnya, Mukhriz maklum mengenai semua hal tersebut tetapi bersikap berpura-pura, namun Sanusi menegaskan, beliau memimpin kerajaan dengan kesediaan menghadapi semua cabaran dan masalah bersama seluruh EXCO dan pegawainya.

“Saya tidak akan mengambil sikap menyapu masalah masuk bawah karpet, seolah-olah kerajaan saya ini tidak menghadapi apa-apa masalah dan diberi gambaran yang baik-baik sahaja oleh siapa-siapa punlah, media, netizen, seolah-olah tak ada apa. Sebab saya sapu semua masuk bawah karpet ataupun saya pergi tepi saja, di depan saya semua benda-benda yang elok saja.

“Tapi bila kata jadi kerajaan, bila kita hadapi masalah, kita kena hadapi masalah itu, bukan kita ketepikan supaya orang belakang kita yang menanggung beban dan akibat daripada sikap kita yang melepas diri daripada menghadapi masalah. Saya rasa bukanlah seorang pemimpin yang baik bagi sebuah negeri bila mengenepikan masalah untuk ditanggung oleh generasi akan datang.

“Kitalah yang akan menentukan apakah akan berlaku pada masa depan, dan semua masalah halangan, rintangan yang ada pada masa ini mestilah dihadapi pada masa ini dengan semua kaedah yang adalah dalam pentadbiran kerajaan,” ujarnya menzahirkan keyakinan dan kesungguhan.

Demikian itu jelasnya, pada waktu ini cadangan kerajaan negeri ialah untuk mempertimbangkan pemegang konsesi yang telah dibatalkan kawasan mereka itu memandangkan ia berada dalam kawasan tadahan tambahan menerusi kelulusan pentadbiran Mukhriz.

Pun begitu terangnya, ia bukanlah kawasan hutan dara, tetapi makluman oleh Jabatan Perhutanan adalah Kawasan Sudah Kerja (KSK) lebih 30 tahun dilakukan pembalakan di kawasan tersebut di mana permohonan konsesi telah diluluskan kerajaan terdahulu.

“Bukan (diluluskan) kerajaan dua minggu ini. Ada orang menggambarkan seolah-olah kawasan-kawasan itu diluluskan oleh Kerajaan Perikatan Nasional, no (tidakl. Kawasan-kawasan itu telah lulus, ada yang telah lulus lebih 10 tahun dulu, kawasan itu, ada 10 tahun, ada 5 tahun, ada 6 tahun, ada 2 tahun. Jadi banyaklah kawasan itu.

“Jadi nak ketepikan, nak sapu bahawa karpet, nak seolah-olah tak ada masalah apa. Macam orang memotong (getah)kan? Orang motong ini, ada orang malas motong, dia tebas tang lorong dia lalu saja. Dia nak lalu nak memotong, nak kutip skrap, dia tebas tang itu. Dia rasa kebun dia cerah saja, sebab dia tebas lorong saja.

“Penoreh yang baik, ataupun pekebun kecik yang baik, yang rajinlah, dia tebas seluruh kebun itu, baru baja dia tak hilang, dia tabur baja senang, ular tedung tak ada Jadi saya rasa kena tebas satu kebun itu. Bukan jenis tebas lorong itu, orang malas.

“Ataupun dia rajin berulang pergi kedai kopi, kan. Pergi kedai kopi sana, kedai kopi sini, kebun tak tebas. Bila kebun tak tebas, semak. Semak orang habaq (beritahu) kata ada ular, ada lipan, ada babi duduk sembunyi dalam kebun. Dia kata tak ada, sebab dia lalu tempat cerah saja. Saya kata ini bukan sejenis penoreh yang baiklah.

“Itu contoh analogi untuk penoreh. Kalau Menteri Besar, saya tak tahulah. Kalau duduk berulang balik Kuala Lumpur kerap sangat, tak dan baca surat kan? Orang hantar surat tuntutan, tapi tak dan baca, pasal flight nak terbang, tak dan baca, naik kapal terbang pergi mai, pergi mai, tak dan tengok,” sindirnya.

Menurutnya, jika isu tersebut menyebabkan kerajaan terpaksa menghadapi kes mahkamah, maka bayaran ganti atau saman boleh dikenakan memandangkan pihak pemegang konsesi telah membayar premium lebih RM200 juta.

Oleh itu katanya, kawasan ganti tersebut adalah cadangan yang dipertimbangkan, namun kerajaan menerusi Jabatan Perhutanan akan memastikan tidak mendatangkan kesan kepada alam sekitar, hakisan, penggondolan atau pembotakan hutan.

“Jadi Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia Negeri Kedah yang bertanggungjawab sebagai pegawai pengawal hutan di negeri ini akan mengambil langkah-langkah yang bersesuaian dengan undang-undang dan SOP yang berkuat-kuasa.

“Mereka ada macam-macam kaedah, macam-macam cadangan. Jabatan Hutan ini pun bukan jabatan yang diwujudkan tahun lepas ataupun kelmarin. Mereka sudah berusia puluh-puluh tahun. Macam-macam proses yang mereka ada untuk memastikan pembalakan tidak mendatangkan kesan negatif kepada kehidupan manusia, flora-fauna dan pemuliharaan alam.

“Saya rasa kena beri kepercayaan kepada Jabatan Perhutanan. Janganlah kita kenal Facebook tiga hari, lebih pandai daripada Jabatan Hutan dah. Mu (kamu) duduk tulis Facebook tiga hari saja, hentam macam-macam kan. Walaupun tujuannya tujuan politik, tapi seolah-olah negeri ini tak ada peraturan.

“Perhutanan pun tak ada peraturan. No (tidak), dia ada peraturan, ada undang-undang yang sedang berkuatkuasa, ada beribu-ribu staf Jabatan Hutan yang mengawal hutan di negara kita ini. Jangan bimbang, jangan takut insya-Allah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 27/5/2020