Tidak buka kawasan pembalakan baharu – MB

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah tidak bercadang untuk membuka kawasan pembalakan yang baharu di negeri itu.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri sebelum ini membatalkan kelulusan konsesi pembalakan kepada syarikat konsesi.

Sedangkan katanya syarikat-syarikat pembalakan terbabit telah membayar premium.

Advertisement

“Berikutan itu implikasi terpaksa dihadapi kerajaan negeri sama ada berhadapan dengan tindakan mahkamah, membayar ganti rugi atau menimbang langkah menggantikan kawasan lain kepada syarikat-syarikat konsesi berkenaan.

“Dalam hal ini kerajaan negeri bertegas kawasan lain yang dicadang akan diganti itu mesti dalam kawasan hutan pengeluaran yang dibenarkan Jabatan Perhutanan berasaskan undang-undang dan peraturan,” katanya di sini semalam.

Kebelakangan ini berlaku kekeliruan dalam kalangan netizen kononnya kerajaan baharu di Kedah sedia menimbang membuka kembali konsesi kawasan pembalakan.

Menteri Besar berkata, langkah itu hanya cadangan untuk menyelesaikan masalah yang berbangkit sekarang.- HARAKAHDAILY 27/5/2020