Bahasa Jiwa Bangsa

TAHNIAH Datuk Prof Dr Awang Sariyan. Kembali ke Dewan Bahasa Pustaka (DBP) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengelola berkuatkuasa pada 22 Mei 2020 untuk tempoh 3 tahun.

Nama beliau begitu sinonim dengan perjuangan berterusan memartabatkan bahasa dan sastera Melayu di negara kita. Beliau juga mempunyai pengalaman yang luas di dalam pentadbiran.

Pelantikan beliau ini amat dialu-alukan oleh khalayak penggiat dan pejuang bahasa. Semoga pelantikan ini akan membawa DBP ke tahap baru yang lebih dihormati. Bahasa pun kena diperjuangkan.

Advertisement

Namun, perjuangan ahli dan tokoh bahasa ini kurang diberi perhatian oleh masyarakat. Walaupun Bahasa Melayu telah lama diiktiraf sebagai adalah Bahasa Kebangsaan, namun perjuangan memartabatkan Bahasa Melayu tidak pernah mudah. Ramai juga yang telah ‘patah hati’ dan ‘memencil diri’.

Perjuangan mengetengahkan Bahasa Melayu sering disalah-ertikan dengan maksud mengabaikan Bahasa Inggeris dan bahasa ibunda yang lain. Lebih teruk, Bahasa Melayu dianggap tidak mempunyai nilai ekonomi, membantut kemajuan, tidak mampu bersaing dengan bahasa dunia yang lain dan pelbagai persepsi buruk yang lain. Lantas, Bahasa Melayu diasak ke suatu sudut yang paling sempit, sehingga menyukarkan ia untuk bernafas.

Walhal Bahasa Melayu adalah satu-satunya bahasa penyatuan rakyat Malaysia, yang sepatutnya difahami oleh semua. Ia boleh mengelakkan salah faham yang mungkin berlaku dalam masyarakat berbilang kaum. Ia adalah bahasa kasih sayang. Ia juga dapat memastikan setiap rakyat dapat memahami mesej yang hendak disampaikan oleh pihak berwajib dengan mudah.

Ia juga berupaya untuk diperkasakan sebagai bahasa ilmu, bahasa perdagangan, bahasa perundingan, bahasa undang-undang dan bahasa teknologi. Sebagaimana ia pernah berperanan seperti itu sebelum kedatangan penjajah ke alam nusantara.

Manakan tidak? Ia adalah bahasa komunikasi hampir 300 juta penduduk dunia. Ia suatu potensi kemakmuran ekonomi yang sangat besar.

Potensi ini adalah suatu sebab yang kuat untuk memastikan Bahasa Melayu terus diperkasakan di negara kita dan terus gah sebagai salah satu bahasa dunia yang paling utama.

Bahasa Melayu seharusnya gah di negara kita seperti Bahasa Jepun gah di negara matahari terbit itu, Bahasa Perancis dan Jerman gah di negara masing-masing, dan Bahasa Korea gah di negara Korea.

Adalah amat malang jika kita dapati pelancong asing yang boleh berbahasa Melayu merasakan kemahiran mereka dalam Bahasa Melayu tidak banyak memberikan keistimewaan kepada mereka semasa berada di Malaysia. Dek kerana penggunaan Bahasa Inggeris dilihat lebih dihargai dan dihormati dalam kebanyakan urusan harian di negara kita.

Jangan rendahkan kedudukan Bahasa Melayu di negara kita sendiri. Kelak bangsa kita sendiri yang terpaksa bergantung harap kepada bahasa lain untuk menjamin kelangsungan hidup di bumi Malaysia yang tercinta.

Perkasakanlah kembali DBP. Perkasakanlah kembali dasar-dasar Bahasa Kebangsaan. Jadikanlah Bahasa Kebangsaan kebanggaan rakyat Malaysia.

“Bahasa Jiwa Bangsa”

ZAKARIA ISMAIL
Marang, 28 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 28/5/2020