COVID-19: Kisah suka dan duka dari Qatar

KETIKA seluruh dunia cemas menghadapi situasi serangan wabak COVID-19, Qatar ialah salah sebuah negara terkecil dan terkaya dunia, turut merasa bahangnya. Dengan kes positif keseluruhan berjumlah hampir 50,000 dan menokok dengan kiraan seribu kes lebih sehari, menjadikannya sebagai antara negara tertinggi menurut peratusan kes positif berbanding penduduk.

Advertisement

Mujurlah angka kematian tidak meningkat dengan begitu besar iaitu kira-kira 30 kematian sahaja sehingga kini. Alhamdulillah keadaan terkawal. Dengan kepadatan penduduk seramai kira-kira 2.5 juta orang, Qatar menghimpunkan lebih kurang 2 juta warga asing yang menumpang rezeki di negaranya. Daripada jumlah itu, termasuklah lebih kurang 5,000 rakyat Malaysia bersama keluarga mereka.

Beberapa orang yang ditemubual melahirkan perasaan bercampur-campur. Ahmad Hasnan bersama isteri, Noridayu Jamil yang baharu sahaja menyambut kelahiran anak keempatnya, tidak merasakan tekanan yang melampau walaupun dengan masalah COVID-19 ini. Terpaksa mengambil peranan sebagai bapa, ibu dan juga pembantu rumah, memberikan pengalaman baharu yang bermakna kepada beliau.

“Jiran-jiran sangat membantu. Kami seperti bersaudara di sini. Semua perkara akan cuba dibantu. Inilah rahmat yang Allah kurniakan apabila silaturahim dijaga semua pihak. Cumanya pada kebiasaannya, kita mahukan orang tua ada bersama kita kerana pengalaman mereka sangat berharga. Tetapi saya mengambil positif dengan ujian Allah ini, saya dapat belajar banyak perkara. Raya tetap meriah,” jelas Hasnan.

Ibu beliau sekarang berada di Kuala Lumpur bersama abangnya. Mujurlah sebelum PKP dahulu, abangnya telah membawa ibunya dari Terengganu, tinggal bersamanya. Sekali gus melenyapkan kebimbangan beliau dengan keadaan ibunya yang tinggal berseorangan. Ketika situasi normal dahulu, ibu dan ibu mertuanya selalu juga datang ke Qatar menziarahi anak cucu.

Pasangan dari Perlis, Yusmizar Yob dan Hazuanie Zulkiflee pula lain perasaan mereka. Ketiga-tiga anak mereka, sepasang kembar perempuan dan seorang anak lelaki tidak dapat datang ke Qatar berhari raya. Ibu bapa mana yang tidak sedih kerana halangan seluruh dunia ini, mengakibatkan mereka beraya tanpa anak-anak tercinta.

“Bagi menghilangkan rasa sunyi, saya bersama isteri, bertanam di sini. Kami menanam bermacam-macam jenis tanaman terutamanya bunga dan sayur. Jadi kekosongan itu terisi dengan kami juga sentiasa keluar beriadah. Anak-anak ada di KL, sepatutnya balik ke Perlis, tetapi disebabkan PKP, jadi mereka ke rumah abang saya di sekitar KL. Cadangnya mungkin hari raya haji ini kalau tiada halangan, kami balik Malaysia,” kata Yusmizar.

Mencemaskan

Pengalaman yang mencemaskan pula menimpa Engku Ahmad Nasri Syed Abdullah bersama isteri, Engku Nornadrah Tengku Amri serta tiga anak mereka. Mereka telah lama merancang untuk melancong ke Iran dari Qatar. Setibanya mereka di sana, wabak sudah mula merebak dengan agak serius di China iaitu pada 16 hingga 22 Februari. Iran juga telah mengambil langkah awal kawalan seperti mengambil suhu di lapangan terbang.

Mereka juga telah bersedia dengan menjarakan diri dari kerumunan, kelengkapan seperti sanitizer dan topeng muka yang sentiasa dibawa bersama sepanjang di Iran. Semasa di sana kes kematian hanya dua berlaku di Kota Qom. Setelah dua atau tiga hari pulang ke Qatar, berita melaporkan kes di Iran meningkat secara mendadak dan Kerajaan Qatar menyediakan penerbangan khas, mengambil rakyatnya di sana.

“Ramai orang Iran menyangka kami dari China. Sehinggakan pernah ada pekedai mendakwa saya seorang Cina. Apabila saya bertanya kembali kepada dia pernahkah melihat orang Cina secara berdepan, dia menjawab tidak. Dan saya menjelaskan yang kami dari Malaysia. Malu besar mereka sambil meminta maaf. Terkadang di beberapa tempat, kami terpaksa menunjukkan pasport kami bagi mengesahkan kami dari Malaysia. Apa pun alhamdulillah kerana kami pulang sebelum kejadian lebih buruk berlaku. Bayangkan kami lewat dan terperangkap di sana. Pastinya mencemaskan,” kata Engku Nasri.

Nasib kurang baik menimpa Khairul Anang. Beliau dimasukkan ke hospital dua minggu lalu kerana terkena ‘mild stroke’. Walaupun sudah beransur sembuh, tetapi ia tetap membimbangkan keluarga. Ada sebahagian anak-anak beliau sekarang ini sudah pulang ke Terengganu kerana sudah tamat pengajian. Ketika dihubungi, beliau berkata semuanya alhamdulillah dalam keadaan baik. Beliau mohon didoakan kesembuhan atas ujian yang menimpanya.

Berbeza keadaan dengan beberapa orang rakyat Malaysia yang lain. Sebahagian mereka tinggal di sini tanpa membawa keluarga masing-masing. Ada sesetengah syarikat, memberikan kemudahan tempoh bercuti sama lama tempohnya dengan masa berkerja. Oleh itu mereka sentiasa berulang alik, pulang ke Malaysia, berganti-ganti dengan kakitangan yang lain, mengikut jadual yang disediakan syarikat.

Salah seorang daripada mereka ialah Anuar Husin. Beliau yang berasal dari Cherating, tidak dapat pulang ke Malaysia mengikut jadual bulanannya kerana halangan pergerakan seluruh dunia ini. Tiket kapal terbang dibatalkan dan syarikat meminta beliau serta rakan-rakan yang lain meneruskan jadual berkerja disebalik jadual mereka bercuti. Sehingga kini sudah 15 minggu beliau menyambung kerja yang sepatutnya hanya empat minggu, mengikut jadual asal.

Lebih menyedihkan buat beliau, ibunya meninggal dunia sebelum Ramadan dahulu, dan beliau sepatutnya berada di Malaysia ketika itu. Namun perancangan Allah lebih baik. Beliau reda dengan takdir Allah itu. Kawan-kawan memberikan semangat kepada beliau dalam menghadapi situasi sukar itu. Solat jenazah ghaib dilaksanakan beramai-ramai memohon agar roh bonda beliau ditempatkan bersama roh ahli syurga.

Bagi rakan-rakan ‘bujang’ beliau yang lain, waktu sebegini digunakan bagi mengasah bakat memasak. Tidak menghampakan dengan beberapa resepi istimewa dari Malaysia berjaya dihidangkan, terutama juadah bagi hari raya. Ada juga yang cuba menguruskan badan dengan berlari setiap hari. Hidup tanpa keluarga di sisi dalam masa genting sebegini sememangnya sukar. Maka mengawal tekanan adalah penting bagi mengelakkan diri menjadi hilang arah.

Seramai 30 rakyat Malaysia didapati positif selepas menjalani ujian saringan. Dua di antara mereka sedang dirawat di unit rawatan rapi dengan salah seorang dari mereka mengharungi situasi yang kritikal sekarang. Doakan mereka kesembuhan. Semoga doa-doa anda semua akan mengiringi rakyat Malaysia di Qatar ini supaya kehidupan di sini akan bertambah baik sedikit masa nanti.

MOHD NASIR ABDULLAH
28 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 28/5/2020