Jangan apikan isu pemandu mabuk dengan perkauman

MASYARAKAT diingatkan supaya tidak mengapi-apikan isu pemandu mabuk menjadi sentimen perkauman. Rakyat perlu celik maklumat masa kini bahawa perbahasan isu ini adalah soal kepentingan keharmonian dan keselamatan.

Lebih parah, ada dalam kalangan ahli politik yang turut membakar sentimen kebencian demi kepentingan politik mereka. Politikus yang kemaruk menangguk sokongan mewujudkan salah sangka berbaur hasutan tidak menyenangkan dan menyebabkan kegelisahan rakyat yang berbilang kaum.

Advertisement

Dalang-dalang politikus yang bersuara radikal seperti ini mahu menggambarkan pihak lain sebagai pelampau. Sebenarnya mereka ini bukan lagi mabuk, tetapi telah menghidap barah kronik yang mahu memporak perandakan kaum dan agama.

PAS melalui Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) khususnya sentiasa mengalukan pintu perbahasan dibuka supaya isu ini dapat diselesaikan dengan tuntas.

Namun setiap forum, wacana atau debat mesti menatijahkan kepada penyelesaian. Kini, apabila arak begitu berleluasa yang menjadi punca maut akibat kemalangan oleh pemandu mabuk, maka pencegahan dan kawalan wajib diadakan.

Dalam masa yang sama, DMPM menentang keras sebarang usaha pihak yang tidak bertanggung jawab yang mengapikan isu perkauman dengan pemandu mabuk.

‘Islam Memimpin, Wanita Sejahtera’

DR. NAJIHATUSSALLEHAH AHMAD
Ketua Penerangan
Dewan Muslimat PAS Malaysia
28 Mei 2020 | 5 Syawal 2020- HARAKAHDAILY 28/5/2020