Khalid isytihar wajib jatuhkan PN

KHALID Samad mewakili PAN semalam isytihar yang Pakatan Harapan (PH) sedang berusaha untuk ambil alih kembali Kerajaan Persekutuan dari tangan Perikatan Nasional (PN). Beliau dakwa kononnya PN telah rampas Kerajaan PH melalui tindakan khianat.

Lalu menegaskan wajib atas PH untuk bertindak dengan menjadikan Kerajaan PN sebagai ‘shortest government in Malaysian history’ kerana kata Khalid PH tidak sanggup menjadi pembangkang lebih lama.

Memang itulah kerja pembangkang pun, mencuri peluang jika boleh merampas kuasa dari Kerajaan mengikut kaedah demokrasi.

Advertisement

Tetapi PN tidak sebagaimana dakwa Khalid. Kerana Kerajaan PH roboh sejurus PM ke-7 yang didukung Khalid dan PH letak jawatan.

PN masuk membentuk Kerajaan baru dalam suasana Malaysia tidak ada parti pemerintah. Jadi siapakah yang khianat?

Atas rekod Kerajaan PH lah yang pegang gelaran ‘shortest government in Malaysian history’ setakat ini iaitu 22 bulan hingga hilang kelayakan Khalid dan rakannya untuk tuntut pencen Menteri.

InsyaAllah PN walau memerintah dengan majoriti cuma 2 kerusi namun ia sedang bina kekuatan. Yang penting rakyat tidak memberontak atau protes ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin naik jadi PM ke-8 melalui PN kecuali puak-puak Khalid yang hilang kuasa dan kedudukan (termasuk kelayakan pencen).

Masuk 3 bulan pemerintahan PN rakyat cukup selesa dan negara terus stabil dan tenang tidak sebagaimana ketika PH dahulu walaupun berhadapan pandemik COVID-19.

Kita yakin rakyat terus mendukung PM ke-8 dan PN tambahan pemerintahan ini tidak ekstrem, rasis, mungkir janji dan mengganggu status quo serta kontrak sosial sebagaimana yang dahulu.

Silalah Khalid dan sekutu PH-nya menjalankan apa usaha sekalipun. Rakyat kita yakin sudah kenal mana kaca dan mana permata. Mereka muak dan tidak sanggup kembali bawah PH yang didominasi DAP. Teruslah memegang rekod yang ada itu, malu apa bos ku.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 28/5/2020