MB Terengganu ziarah mangsa lemas

HULU TERENGGANU: Penduduk di sepanjang sungai Telemong hingga ke Kuala Terengganu dan sungai-sungai lain seluruh negeri ini, dinasihatkan menjaga keselamatan ahli keluarga masing-masing bagi mengelakkan tragedi lemas berulang.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melahirkan, rasa sedih dan simpati kepada keluarga mangsa lemas tiga beradik di Sungai Telemong, semalam.

Menurutnya, pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPB ‘bersyarat’ ini orang ramai masih tidak dibenarkan bergerak bebas di tempat awam.

Advertisement

Sebab itu, katanya apabila berlaku sesuatu tragedi menjadi kesukaran untuk mendapat pertolongan cemas dari orang ramai.

“Terutama dalam keadaan PKP, bila tidak ada orang di tempat-tempat awam. Ada seorang dua di tempat awam dan membuat perkara di luar kebiasaan dibuat, bila timbul beberapa masalah sama ada apa-apa tragedi pun (menjadi) kesukaran untuk pertolongan itu sampai.

“Saya difahamkan, bukan kawasan tempat orang mandi di sini. TakdirNya, mereka tiga beradik itu turun mandi. Kita amat sedihlah dengan apa yang berlaku ini. Semoga keluarga mereka ini tabah dengan ujian,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas meninjau di lokasi kejadian tiga beradik lemas di Sungai Telemong, Kampung Pasir Tinggi, Hulu Terengganu, hari ini.

Kata Dato’ Seri Dr Samsuri, seluruh masyarakat yang berada di sepanjang sungai seluruh negeri ini dinasihatkan agar dapat menjaga keselamatan ahli keluarga masing-masing.

Beliau tidak mahu tragedi mati lemas yang sama akan berulang pula di tempat-tempat lain terutama pada musim perayaan Aidilfitri ini.

“MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung) dan orang kampung di sepanjang sungai ini sepatutnya dapat mengambil langkah (berhati-hati) mereka, terutama menjaga anak masing-masing.

“Kita pun agak terkejut juga, sebaik sahaja selesai puasa (Ramadan) dan masih dalam ‘mood’ hari raya Aidilfitri.

“Saya minta seluruh masyarakat di sepanjang sungai ini mengambil langkah berjaga-jaga di Sungai Telemong ini hingga ke Kuala Terengganu, dan sungai-sungai yang lain di seluruh negeri Terengganu,” tegasnya ketika berada hampir satu jam di lokasi tersebut.

Hadir sama di lokasi kejadian itu, isterinya To’ Puan Seri Tuan Faezah Tuan Abd Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Muhyiddin Abdul Rashid dan Ketua Polis Terengganu, Dato’ Roslee Chik.

Sehubungan itu, kira-kira jam 9.40 pagi tadi mayat pertama mangsa lemas itu Umar Iskandar Mohd, 21, telah ditemui oleh petugas SAR terbabit.

Allahyarham Umar, penuntut Universiti Malaya (UM), anak ketiga dari sembilan beradik lemas bersama dua lagi adiknya, Khalif Naim, 16, pelajar tingkatan empat Sekolah Imtiaz, Kuala Berang dan Khairil Firdaus, 17, pelajar tingkatan lima Sekolah Agama Mahmudiah, Kuala Berang.

Dalam kejadian itu, tiga beradik berusia antara 16 hingga 21 tahun dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus di muara sungai Kuala Telemong, kira-kira jam 6.30 petang, 27 Mei lalu.

Harakah dimaklumkan, ketiga-tiga remaja berkenaan dipercayai mandi di lokasi Sungai Kuala Telemong dan awalnya disedari oleh empat lelaki yang sedang memancing di tebing Sungai Kampung Mesah, yang terletak di seberang sungai tempat berlakunya kejadian berkenaan.

Seramai 41 anggota pasukan keselamatan termasuk 18 anggota polis, 15 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba), 8 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Malaysia bersama penduduk kampung memulakan usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

Maklumat terkini bahawa mangsa telah dijumpai jam 12.50 tadi.- HARAKAHDAILY 28/5/2020