Pemabuk umpama virus bahaya

DEWAN Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Sabah menyokong penuh sebarang usaha untuk meningkatkan hukuman kepada pemandu mabuk.

Saya mengumpamakan pemabuk lebih kurang sama dengan virus penyakit. Yang paling kita takuti dengan virus ialah kerana ia boleh membunuh.

Sama juga dengan pemabuk. Ia juga boleh membunuh dan kesan kematian kadangkala adalah lebih kejam terutama apabila berlaku kemalangan jalan raya.

Advertisement

Walaupun sesetengah kaum di Malaysia khususnya di Sabah menjadikan meminum minuman keras sebagai salah satu budaya mereka, tetapi saya kira perkara ini mesti ditangani dengan sebaiknya apabila melibatkan orang awam.

Saya juga ingin mencadangkan supaya penjualan arak tidak dilakukan secara bebas. Keadaan sekarang sangat menakutkan. Arak boleh didapati secara mudah termasuklah di kedai-kedai serbaneka. Saya rasa keadaan ini sangat tidak sihat khususnya kepada anak-anak muda.

Saya juga menyarankan kepada para ibu bapa supaya didik anak-anak mereka supaya menjauhi minuman yang memabukkan ini. Saya yakin perkara seumpama ini hanya akan mendatangkan mudharat yang lebih besar sama ada kepada peminum arak ataupun kepada orang awam.

SATAIL MAJUNGKAT
Pengerusi
Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Sabah – HARAKAHDAILY 28/5/2020