Pemandu mabuk wajar dikenakan hukuman lebih tegas

MEMANDU di bawah pengaruh alkohol adalah satu sikap yang cukup tidak bertanggungjawab. Bukan sahaja ianya membahayakan diri pemandu tersebut tetapi ia turut juga membahayakan nyawa orang lain dan mampu mendatangkan maut.

Advertisement

Cukup banyak kita dihidangkan dengan berita pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol. Terbaru, kes yang berlaku di Kuantan, Pahang hingga mengakibatkan kematian kepada kakitangan Alam Flora,

Sebelum daripada itu, seorang anggota PDRM terkorban dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kajang, Selangor akibat pemandunya memandu di bawah pengaruh alkohol. Malah terdapat banyak kes sebegini yang dilaporkan di seluruh negara yang dilihat kekerapannya semakin meningkat.

Islam melarang umatnya meminum minuman keras kerana akibat buruknya terlampau banyak dan begitu juga undang-undang Mahkamah Syariah negara. Namun bagi orang bukan Islam, ianya tidak menjadi kesalahan namun perlu mengikut peraturan dan undang-undang.

Apabila meminum minuman keras dalam keadaan terlalu banyak dan kemudiannya memandu, ianya cukup membahayakan kepada pengguna jalanraya yang lain termasuk pemandu itu sendiri. Ia juga mampu menjejaskan kemampuan memandu dan berfikir secara waras.

Maka tidak hairanlah kita kerap melihat di media sosial pemandu sebegini memandu melawan arus, memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalanraya yang lain serta hilang pertimbangan dan kewarasan ketika memandu.

Yang menanggung akibatnya ialah pengguna jalanraya yang lain. Anak kehilangan ibu atau bapa, isteri kehilangan suami malah keluarga hilang tempat bergantung dan mata pencarian. Sudah cukup banyak kita dengar berita sebegini, sampai masanya Kerajaan perlu bertindak lebih tegas.

Hukuman yang lebih tegas perlu dikenakan ke atas pemandu sebegini, maka kerajaan perlu mengkaji semula hukuman yang sedia ada. Disamping itu juga kerajaan perlu menyemak kembali kaedah penjualan minuman keras terutamanya di kedai-kedai serbaneka 24 jam.

Pemberian lesen jualan minuman keras perlu diperketatkan agar tidak berlaku penyalahgunaan. Adalah penting untuk disemak semula segala peruntukan dan undang-undang sedia ada agar menepati keperluan semasa dalam menangani permasalahan ini.

Apa yang kita mahukan adalah tidak lagi berlaku perkara sebegini namun dalam masa sama kita mahu setiap rakyat bertanggungjawab dan mematuhi lunas undang-undang. Usah kerana keseronokan dan keghairahan diri sendiri, kita mengorbankan nyawa dan masa depan orang lain.

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
AJK PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 28/5/2020