Polis keluar 728 kompaun ingkar PKPB

KUALA LUMPUR: Sebanyak 728 kompaun telah dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam kepada individu yang ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sejumlah 473 kompaun yang dikeluarkan di balai polis dengan 64 kompaun dikeluarkan atas kesalahan ziarah Aidilfitri.

“Ziarah Aidilfitri hanya dibenarkan pada hari raya pertama sahaja, selainnya tidak dibenarkan lagi. Jika dilakukan, maka pihak polis boleh mengeluarkan kompaun.

Advertisement

“Sebanyak 244 kompaun dikeluarkan di lapangan dengan 203 di sekatan jalan raya. Selain diarah berpatah balik, pihak polis turut mengenakan kompaun,” katanya dalam sidang media hari ini.

Justeru, beliau mengingatkan supaya semua rakyat mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan supaya tindakan tidak dikenakan keatas mereka

Dalam masa yang sama katanya, sebanyak 842 kenderaan yang cuba merentas negeri untuk pulang ke kampung diarah berpatah balik.

“Terdapat peningkatan sedikit berbanding hari sebelumnya sebanyak 824 kenderaan,” katanya lagi.

Jelasnya, antara negeri yang mencatatkan jumlah rentas negeri tertinggi ialah Selangor sebanyak 514 kenderaan, manakala Negeri Sembilan (54) dan Melaka (51) kenderaan.- HARAKAHDAILY 28/5/2020