RUU langkah sementara kurangkan kesan COVID-19 digubal

SELARAS dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 April 2020 dan 20 Mei 2020 untuk menggubal satu Akta khusus bagi menangani kesan COVID-19, maka pada hari ini telah diadakan Mesyuarat Penggubalan Rang Undang-undang Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan COVID-19 melibatkan Menteri-menteri serta wakil-wakil seluruh Kementerian dan agensi berkaitan bersama dengan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara Malaysia, dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-undang).

Mesyuarat pada hari ini antara lainnya telah membincangkan isu-isu dasar berkaitan cadangan penggubalan Akta tersebut, yang meliputi skop dan parameter Akta yang dicadangkan, perkaitan dengan Akta-akta sedia ada yang perlu dipinda, tempoh yang ditetapkan (prescribed period) dan kuasa semakan (review) serta keperluan penguatkuasaan secara ke belakang (retrospective).

Advertisement

Bagi menyempurnakan penggubalan Akta ini, Kerajaan akan mengadakan sesi libat urus bersama semua pemegang taruh yang berkaitan, siri-siri mesyuarat lanjutan dengan pelbagai Kementerian dan agensi-agensi berkenaan untuk dibentangkan ke Mesyuarat Jemaah Menteri akan datang.

Hingga kini, Kerajaan telah mewartakan Perundangan Subsidiri (Subsidiary Legislation) bagi merealisasikan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat dan Perundangan Subsidiri yang lain ekoran penularan Wabak COVID-19.

Antaranya adalah Peraturan-peraturan Keselamatan Sosial Pekerja (Peraturan-peraturan (Am) Keselamatan Sosial Pekerja 1971 di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, Peraturan-peraturan Sistem Insurans Pekerjaan (Peraturan-peraturan Sistem Insurans Pekerjaan (Pendaftaran dan Caruman) 2017) di bawah Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017, Perintah Pembangunan Sumber Manusia (Pengecualian Levi) 2020 dan Kaedah-kaedah Kumpulan Wang Pekerja (Pindaan) 2020.

Kerajaan juga berharap, semua pemegang taruh termasuk CSO dan NGO serta individu-individu yang terkesan atau berkepentingan untuk turut sama menyumbang saranan dan cadangan dalam sesi libat urus melalui platform dalam talian (online) yang akan dimaklum serta selaras oleh BHEUU.

Kerajaan berharap cadangan Akta ini akan dapat dibentang dan diluluskan dalam sesi Dewan Rakyat yang dijangka mula bersidang pada 13 Julai 2020.

Sekian, terima kasih.

DATO’ TAKIYUDDIN HAJI HASSAN
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Parlimen dan Undang-undang)
28 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 28/5/2020