Tun Razak call

PADA hujung Mac 1998, saya bersama Saudara Kamaruzaman Mohamad (sekarang Ketua Penerangan PAS Pusat), Saudara Mahayuddin Hussein dan dua orang yang lain berkereta ke Pulau Pinang. Malam itu kami bermalam di rumah sahabat di Gelugur, setelah siangnya kami menziarahi Saudara Hishamuddin, pemimpin HI USM dan Saudara Sanusi Mohd Nor (sekarang Menteri Besar Kedah), pemimpin kanan PMIUSM.

Tujuan kami ke sana adalah untuk melihat sendiri perbalahan kaum di Kampung Rawa, Jelutung kerana penganut Hindu dikatakan mendirikan kuil-kuil mereka di atas tanah wakaf Masjid Kampung Rawa itu. Tiga tahun kemudian, dalam bulan Mac juga, berlaku pula pergaduhan kaum di Kampung Medan, Petaling Jaya. Tragedi tahun 2001 ini membawa saya menziarahi sendiri mangsa-mangsa tragedi di Hospital Universiti di Petaling Jaya.

Dalam suasana tegang akibat sentimen perkauman itu, suatu hari, (Dato’) Haji Mahfuz Omar meminta saya menghantarnya ke Greenwood kerana hendak memangkas rambut. Kedai gunting itu terletak berhadapan dengan stesen bas Intrakota, Greenwood. Di situ kami selalu makan nasi Minang. Amat, Budin, E aka Ibnu Mustafa, Pija Karatelipan aka Yusapiza Yaacob, Abang Kamarul selalu pekena sambal hijau di warung Takana Juo ini. Kami memang sangat biasa di situ, tetapi kami tidak pernah memangkas rambut di kedai gunting tersebut. Entah kenapa, kedai itu memang menjadi favourite Haji Mahfuz. “Mungkin sebab dia suka kari kut,” terfikir di benak saya.

Advertisement

“Dari mana?” Ustaz menyapa saya.

“Kedai gunting Greenwood. Bawa Haji Mahfuz,” jawab saya ringkas.

“Kedai gunting mana?”

“Kedai Hindu sebelah Seven E itu, Ustaz. Haji Mahfuz suka betul kedai itu. Saya seriau nak bergunting di situ. Pisau duk main tepi leher kita,” saya merungut pada Ustaz kerana risau. Maklumlah, ketika ini hubungan orang Melayu sangat tegang dengan orang India. Ada beberapa isu. Bermula dengan kes rusuhan Kampung Rawa, kemudian isu pemurtadan Hartina Kamarudin yang dibawa ke mahkamah di Perak dan diikuti oleh isu rusuhan Kampung Medan.

“Isu kaum ini, kalau Kerajaan biar, boleh berulang 13 Mei,” kata Ustaz. “Dulu gaduh ngan Cina, bertahun ia berlarutan. Tiada tindakan tegas. Dari ceramah-ceramah (Tan Sri Jaafar) Albar di Singapura, sampai gaduh di Pangkor. Orang Melayu marah, orang Cina menuntut macam-macam, akhirnya bertumpah darah,” Ustaz memberi komentar panjang mengenai krisis kaum yang tidak ditangani dengan baik itu, telah memberikan kesan buruk kepada sosio-politik negara.

“Masa 13 Mei itu, Ustaz ada mana?” saya bertanya Ustaz.

“13 Mei ini berlaku lepas pilihan raya. Ana jadi calon di Sabak Bernam. Yang gaduh ini di Kuala Lumpur. Yang ada di Kampung Baru masa ini Haji Subky (Latif). Ana duk di Sabak. Pilihan raya itu 10 Mei… 11 Mei dapat tahu dah, di Selangor Dato’ Harun (Idris) tak dapat bentuk Kerajaan. Penyokong dia berkumpul di Kampung Baru.

“Masa sebelum pilihan raya itu, ada dua orang terbunuh sebab politik samseng ini. Seorang di Pulau Pinang, seorang di Kuala Lumpur. Yang di Kuala Lumpur ini Cina. Bila Cina DAP dan Gerakan menang besar di Selangor, Pulau Pinang dan Perak, 12 Mei itu, dia orang buat perarakan merayakan kemenangan di Kuala Lumpur. Selain kerana menang pilihan raya, mereka nak tuntut bela Cina yang terbunuh itu. Mereka berarak sambil mencaci-maki orang Melayu.

“Kita tak tahu siapa yang mula, atau ada konspirasi ke tidak. Boleh jadi kerana provokasi. Tapi bila orang Melayu berhimpun di Kampung Baru, bertembung pula dengan Cina yang berarak sambil maki orang Melayu itu, maka bertempurlah. Di situlah mula Tragedi 13 Mei itu,” Ustaz memberikan gambaran umum bagaimana kronologi Peristiwa 13 Mei 1969.

“Di belah Sabak tak berlaku ke, Ustaz?” saya menggali lagi. Saya tahu, di sebelah Tanjung Karang, Bagan Pasir, Sekinchan sampai BNO, hingga pekan Sabak, banyak juga orang Cina yang jadi nelayan dan bersawah padi.

“Kamu kena ingat. Sabak ini kampung orang Banjar. Rumah ayah ana itu di Kampung Sepintas. Cina memang takut dengan orang Banjar. Semua orang tahu. Dulu masa Jepun kalah, tahun ’45, puak-puak Bintang Tiga, Cina Komunis telah mengganas.

“Kampung orang Banjar yang terkenal ini di Sungai Manik. Berlaku perang sabil di Sungai Manik, habis Cina Komunis itu kena parang terbang. Sebab itu Cina tak berani angkat muka dengan pahlawan Banjar,” Ustaz bercerita bangga dengan keberanian orang Banjar dalam mempertahankan hak mereka.

“Jadi, di belah Sabak ini, semua Cina tak buat kecoh lah, Ustaz?” saya mencari kepastian.

“Cina sini dah jadi Cina Kampung. Dia orang dah lama berkawan dengan orang Melayu. Ramai yang boleh cakap Jawa dan Banjar. Jadi, isu ini kurang panas. Tapi…, ” cerita Ustaz terhenti.

“Tapi apa Ustaz?” saya bertanya lagi bila Ustaz terdiam. Seperti berfikir sesuatu atau cuba mengingati semula tragedi itu.

“Yang jadi masalah ini, bila dengar saja cerita rusuhan dengan Cina di Kuala Lumpur dan beberapa bandar lain, orang Banjar di Sungai Manik naik darah. Dia orang tahu, jalan raya dari Sungai Manik ke Kuala Lumpur ada banyak road block. Jadi, mereka guna jalan sungai. Dari Sungai Manik mereka lalu Sungai Perak ke Teluk Anson, terus ke kuala. Lepas itu, mereka menyusur pantai sampai jeti Kuala Selangor. Ana ingat mereka nak masuk ikut Sungai Kelang ke Kuala Lumpur.

“Kerajaan tahu pergerakan mereka. Tapi bukan senang nak kawal. Ini orang Banjar. Pahlawan-pahlawan dan pendekar Banjar. Yang boleh sekat mereka orang Banjar juga. Kalau tak disekat, habis jadi merah Sungai Kelang itu.

“Pengarah Mageran, Tun Razak (Hussein) call ana. Dia tahu, ana Banjar. Lama duk di Perak. Orang Banjar ini hormat ustaz-ustaz dan tok-tok guru. Tun Razak minta tolong ana halang pahlawan-pahlawan Banjar itu, jangan bagi sampai Kuala Lumpur. Setiap hari Tun Razak call ana. Kadang-kadang dua kali sehari. Dia tahu sangat, jika orang Banjar Sungai Manik itu lolos ke Kuala Lumpur, perang besar akan meletus.

“Ana terus pergi ke Kuala Selangor dari Sabak. Masa orang Sungai Manik itu sampai di jeti Kuala Selangor, ana seorang sahaja tercegat di jeti untuk halang mereka. Orang lain tak berani. Ana tanya mereka…

“Kalau kita nak perang, berapa banyak ada senjata, golok parang, lembing keris ada berapa? Cukup ke untuk bertempur banyak hari dengan Cina itu?

“Kat Sungai Manik, bekalan makanan ada berapa banyak untuk anak bini. Beras ada berapa guni? Sardin berapa tin? Roti berapa buku? Cukup ke untuk mereka makan kalau perang ini lama.

“Orang kita ada berapa orang? Ini kita nak serang kampung Cina, dulu Cina masuk kampung kita?” bertalu-talu soalan Ustaz kepada para pahlawan Banjar. Tak terjawab mereka.

“Apa tindakan mereka lepas itu, Ustaz?” saya ingin tahu lebih mendalam.

“Apa lagi… Ana suruh dia orang balik semula ke Sungai Manik. Tak payah perang. Dia orang pun baliklah,” Ustaz menjelaskan kejayaannya menyekat para pahlawan Banjar daripada menyerang orang-orang Cina di Kuala Lumpur. Jika tidak disekat, mungkin tragedi yang lebih besar akan berlaku, kerana orang-orang Sungai Manik terkenal dengan parang terbang dan selempang mereka.

“Fuhhh… Nasib baik,” saya mengeluh panjang. Tapi tak ramai orang menghargai peranan Ustaz dalam mewujudkan keamanan pada saat yang sangat genting ini.

Semoga Allah menerima amalan Ustaz…

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 25/5/2020