Cabaran pendidikan pasca PKP

pendidikan

SEMALAM, Ketua Pengarah Kesihatan memaklumkan bahawa pembukaan operasi di sektor sosial dan pendidikan masih ditangguh sehingga suasana benar-benar selamat.

Beliau juga memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan akan terus memantau dalam tempoh sekurang-kurangnya antara dua hingga empat minggu sebelum mencadangkan supaya sektor berkenaan dibuka semula.

Pengumuman demi pengumuman yang disiarkan dari semasa ke semasa mengenai wabak COVID-19 menunjukkan keprihatinan serta kewaspadaan yang tinggi oleh pihak Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam mengawal jangkitan ini daripada terus menjarah jiwa rakyat.

Penyakit ini berjangkit tanpa mengira status pangkat, warna kulit atau pun kerakyatan mana-mana negara dan bukan lagi bersifat domestik, tetapi berubah rupa menjadi pandemik yang memberi kesan kepada semua sektor serta meruntun setiap negara.

Advertisement

Sektor pendidikan negara juga tidak terlepas daripada cengkaman pandemik ini. Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac hingga kini, sektor pendidikan seperti kelas pembelajaran, luar kelas serta perhimpunan tidak dibenarkan berfungsi.

Keseriusan Kerajaan menangani wabak ini adalah dengan mengeluarkan pekeliling mengenai SOP di sekolah-sekolah menerusi KPM pada 13 Mac lalu.

Tanpa disedari, inilah kejayaan awal pihak Kerajaan mengawal penularan di kalangan kanak-kanak kerana sekolah merupakan premis yang paling berisiko tertularnya penyakit berjangkit ini.

Namun begitu, cabaran utama sektor pendidikan adalah bagaimana Kerajaan menguruskan kaedah pengajaran dan pembelajaran semasa dan pasca PKP dengan lebih berkesan dan efektif.

Antara cabaran yang harus ditempuhi oleh pihak Kerajaan PN adalah mengemukakan satu pelan tindakan jangka pendek dan panjang bagi memenuhi keperluan pendidikan negara.

Pelan berkenaan merangkumi SOP persekitaran sekolah, takwim pembelajaran dan peperiksaan di peringkat Kementerian atau sekolah, penyediaan khidmat kaunseling dan nasihat kesihatan mental serta pengurusan sosial seperti kaedah hubungan kemasyarakatan antara pihak sekolah dan ibu bapa.

Selain itu, Kerajaan juga berhadapan dengan cabaran meneroka dimensi baru dalam bidang pendidikan atas talian.

Di negara China, pihak Kementerian Pendidikan telah membina laman web pendidikan yang diberi nama Educloud. Program ini mengandungi suntingan video pendek mengenai pengajaran dan pembelajaran sesuatu mata pelajaran, rancangan pengajaran khusus untuk guru dan hal-hal yang berkaitan dengan pembelajaran atas talian.

Di samping itu, KPM juga perlu menubuhkan satu pasukan bertindak bagi mengkaji fasa-fasa tertentu pembukaan sekolah yang meliputi pemantauan proses pembukaan semula serta mengemukakan cadangan-cadangan tertentu bagi meningkatkan kualiti sistem penyampaian pasca PKP.

Sebagai perbandingan, negara China telah menetapkan bahawa pengajian atas talian mula diajar secara rasmi pada 13 April khusus kepada murid-murid sekolah rendah dan pelajar peringkat menengah rendah, manakala pelajar tingkat 9 dan tingkat 12 pula mula mengikuti sesi pembelajaran pada 27 April.

Meskipun negara itu telah membuka pintu sekolah untuk kehadiran anak-anak murid dan para pelajarnya seperti yang dilaporkan oleh agensi berita Xinhua, namun Kerajaan PN tidak perlu tergesa-gesa mengambil risiko untuk berbuat demikian. Memadai dengan membenarkan para pelajar Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 mengikuti kelas pengajian di sekolah dahulu.

Jadikan sesi pengajian mereka sebagai bahan kajian pemerhatian sebelum membuka seluas-luasnya kepada semua para penuntut. China cara China. Malaysia cara Malaysia. Kita ikut cara Malaysia.

DR AHMAD FAKHRUDDIN FAKHRURAZI
Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat
29 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 29/5/2020