Manfaat roh Ramadan, laksana puasa sunat enam

TAMBUN: Umat Islam hendaklah memanfaatkan ruang, rezeki dan masa diberikan oleh Allah S.W.T dengan melaksanakan puasa sunat enam hari di bulan Syawal ini, demikian seru Ketua Urusan Ulamak PAS Kawasan Tambun, Ustaz Rusdi Saad.

Advertisement

”Enam hari berpuasa sunat di bulan Syawal pahalanya ibarat setahun kita berpuasa, oleh itu, ambillah peluang ini. Allah S.W.T nak bagi kepada kita dengan rahmat dan kasih sayang-Nya. Setiap perkara yang difardukan mesti akan diikuti dengan sesuatu yang sunat iaitu dengan amalan tersebut.

“Marilah sama-sama kita pakat berpuasa, manfaatkan dan ambil ‘roh’ Ramadan yang masih ada. Terdapat banyak teknik berpuasa sunat enam ini yang oleh diamalkan, sama ada mahu di lakukan secara berturut-turut enam hari ataupun di selang selikan,” terang beliau.

Mengulas keraian Aidil Fitri yang terhad susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Ustaz Rusdi berkata ia bukan sekadar hari yang diwarnai dengan kegembiraan dan juadah pelbagai sebagaimana difahami oleh sebahagian umat Islam.

Sebaliknya terang beliau, matlamat perayaan dalam Islam adalah jelas iaitu mengajak umat Islam agar kembali kepada Allah S.W.T, seterusnya menjamin kebahagiaan hidup yang bahagia di dunia dan di akhirat.

“Ibadat dan perayaan sangat berkait rapat kerana kemuliaan hubungannya dengan Allah dan keakraban hubungannya dalam konteks manusiawi. Titik persamaan antara ibadat dan perayaan dalam Islam ialah meletakkan matlamat hidup yang jelas dalam kehidupan manusia yang dicipta untuk menyembah Allah S.W.T,” jelasnya lanjut.

Walaubagaimanapun, beliau menyeru seluruh umat Islam agar menjauhi maksiat dengan sebarant cara, serta istiqamah menghidupkan ibadah harian seperti membaca al-Quran, bersedekah, menghubungkan silaturahim meskipun tidak dapat bersua muka.

“Semua amalan itu akan mengundang rahmat Allah S.W.T kepada kita yang bersifat hamba ini. Mudah-mudahan segala amal kita semua dari semasa ke semasa menjadi asbab segala musibah diangkat dan kehidupan kita mendapat keberkatan-Nya,” ujar Ustaz Rusdi. – HARAKAHDAILY 29/5/2020