Pakatan musuh yang menggemparkan (Ahzab)

SEBAB berlaku

Yahudi Bani Nadhir yang dihalau ke Khaibar bertindak sebagai batu api untuk menggalakkan orang Musyrikin yang sememangnya telah memusuhi Nabi supaya bergabung menyerang Kota Madinah. Huyai bin Akhtab dan Salam bin Abi Al Haqiq mengepalai 20 orang pemuka Bani Nadhir bergegas menuju ke Makkah untuk menghasut pemuka Quraisy melalui pakatan Yahudi-Quraisy. Jumhur Ulamak bersetuju menyatakan Peperangan Ahzab berlaku pada bulan Syawal tahun kelima Hijriah dengan ketumbukan melebihi 10,000 orang tentera.

Agama menjadi taruhan


Dendam membara dan kehilangan bumi berteduh yang nodanya datang dari tangan mereka sendiri, tetapi tetap membutakan mata dan akal mereka untuk menuntut bela dan membalas dendam terhadap Muhammad. Ketika ditanya oleh pemuka Quraisy, agama siapakah yang lebih baik? Tuntas mereka menjawab agama kalian (penyembah berhala) itu lebih baik dari agama Muhammad! Lalu Allah taala menurunkan surah an-Nisa` ayat 51 hingga 53 menempelak mereka.

Advertisement

Idea baru yang praktikal

Tatkala sampai sahaja berita serangan tersebut ke Madinah, Rasulullah S.A.W mengadakan mesyuarat tergempar lalu Salman Al-Farisi mengemukakan cadangannya:

“Wahai Rasulullah, kami di Parsi apabila kami bimbang menghadapi serangan tentera berkuda, kami bertahan dengan menggali parit.”

Lantas keputusan dibuat untuk bertahan di dalam Madinah dengan mengguna pakai idea Salman.

Idea penggalian parit amat praktikal disebabkan jumlah tentera musuh yang terlalu besar, dan keadaan bumi Madinah yang terbuka di bahagian Utara. Parit tersebut akan menjadi penghadang utama untuk musuh menyerang secara terus, dan memberi ruang yang banyak untuk umat Islam bertahan lebih lama walaupun bilangannya lebih kecil.

Kepungan yang menggerunkan

Allah merakamkan di dalam surah Ahzab ayat 10, betapa umat Islam merasai ketakutan yang dahsyat apabila melihat jumlah pasukan musuh yang begitu besar. Ia suatu perasaan yang tidak dapat disembunyikan lagi, kerana inilah kali pertama mereka berhadapan dengan pasukan sebesar ini dan mereka pula bertahan dari dalam kota. Ketakutan tersebut semakin memuncak apabila mendapat pengesahan bahawa Yahudi Bani Quraizah yang berada di bahagian belakang pula telah belot! Persiapan rapi hanya di bahagian hadapan tetapi tidak di bahagian belakan:

“Qoroh wal `Adhol.”

Bahasa isyarat yang disampaikan oleh Saad bin Muaz yang difahami oleh Nabi S.A.W bahawa Quraizah telah khianat.

Tauladan kepimpinan dan kesetiaan pengikut

Ketakutan orang beriman ternyata berbeza dengan penakutnya orang munafiq. Dalam suasana yang mencemaskan, tetaplah orang beriman mentaati perintah Rasul untuk menggali parit mengikut tugasan dan tidak curi tulang, bahkan mereka menahan lapar yang bersangatan demi menyelesaikan tugasan berat tersebut. Sikap ini diteladani melalui Baginda S.A.W yang sejak dari awal membanting tulang dan berlapar demi bersama-sama menyiapkan parit.

Berbeza dengan orang munafiq yang sentiasa curi tulang dan memberi pelbagai alasan untuk tidak terlibat sama dalam misi tersebut. Jiwa pemimpin sebenar adalah mereka yang menjiwai kepayahan orang bawahan secara simpati dan empati, luhur dan tulus tanpa berselindung atau berlakon. Laparnya para Sahabat, ternyata Baginda S.A.W lebih lapar dari mereka yang bukan gimik dan dibuat-buat. Beberapa bantuan Allah juga hadir berbentuk mukjizat melalui Baginda S.A.W dalam kisah Jabir bin Abdullah

Keyakinan atas keimanan, bukan bilangan

Suatu yang perlu diberi perhatian oleh kita hari ini, dalam keadaan umat Islam dikepung luar dan dalam, tetaplah mereka utuh dan bertahan membela Islam. Dari arah Utara Ahzab menyerang, dari arah Selatan Quraizah pula membelot, dari dalam Kota Madinah pula menghadapi kelemahan jiwa orang munafiq, begitu juga dengan ketakutan dalaman jiwa mereka. Allah menyatakan sikap umat Islam di dalam ayat 22 surah Al-Ahzab:

“Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzab, berkatalah mereka:” Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya”. Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah.”

Musuh merasakan mereka kuat apabila berpakat, walhal asas pakatan itu terlalu rapuh. Inilah yang perlu difahami oleh umat Islam, bahawa bilangan yang ramai itu bukanlah suatu jaminan akan diberi pertolongan. Sebaliknya keutuhan dalam membawa imej agama itulah sifirnya.

Pengintip yang cemerlang

Sekali lagi muncul pertolongan Allah melalui keIslaman seorang pemuka Bani Ghatafan iaitu Nu’aim bin Maskud. Beliau bertemu Rasulullah menawarkan bantuan jika diperlukan. Maka akhirnya diarahkan untuk Nu’aim masuk semula ke tempat musuh dan mengkucar kacirkan mereka melalui sabdaan Nabi S.A.W:

“Perang itu adalah tipu daya.”

Nu’aim berjaya memecahkan pakatan Yahudi-Quraisy dengan pengaruh yang ada padanya, dan menghilangkan kepercayaan antara satu sama lain. Barulah selepas beberapa tempoh masa, Baginda S.A.W mengutus Huzaifah Al-Yamani untuk melihat situasi musuh dan memberikan semula laporan tanpa melakukan apa-apa tindakan.

Tidak putus-putus berdoa

Perkara yang dibuat oleh Baginda S.A.W ketika detik mencemaskan dalam Badar, itu jualah yang dibuat oleh Baginda S.A.W ketika Ahzab, iaitu berdoa tanpa henti memohon pertolongan Allah:

“Ya Tuhanku yang menurunkan kitab, yang segera perhitungannya, binasakanlah dan goncangkanlah mereka.”!

Boleh sahaja Allah berikan kemenangan mudah buat umat Islam sejak dari awal, tetapi inilah sunnahnya perjuangan dan pra syarat untuk mendapat nusrahNya. Penat lelah, munajat berpanjangan dan penyerahan bulat kepadaNya. Allah menghantar ribut taufan yang merobohkan khemah musuh-musuh, memadamkan api dan menerbangkan segala peralatan mereka. Akhirnya kesemua mereka pulang dengan perasaan hampa.

Pengajaran dan hikmah

Jika diamati secara keseluruhan, Perang Ahzab sedikit berbeza dengan semua peperangan yang diikuti oleh Nabi S.A.W. Sebagaimana yang disebutkan oleh Ummu Salamah, bahawa Perang Ahzab adalah perang yang paling mencemaskan. Dengan jumlah tentera musuh yang sangat besar, perancangan yang panjang, satu-satunya perang yang menggunakan teknik penggalian parit sebagai benteng dan pengepungan yang cukup lama, tetapi memakan korban perang yang terlalu kecil. Diriwayatkan bahawa korban kedua-dua belah pihak hanya sekitar 10 orang sahaja.

Syeikh Abdul Rahman Hasan Habannakah Al-Maidani, mengemukakan beberapa pelajaran yang baik untuk kita amatinya dalam menghadapi tipu daya musuh.

(1) Waspada dengan tipu helah dan permainan minda musuh.

(a) Jauhi daripada mengikut nafsu musuh terutama Yahudi yang mahir dengan tipu helah sejak berzaman. Bahkan perlu berhati-hati dengan sesiapa sahaja yang memiliki kemampuan yang sama.

(b) Jauhi juga helah kaum munafiq. Ini disebabkan mereka berada dalam kelompok umat Islam yang mengetahui segala kelemahan yang berpotensi untuk dibocorkan kepada musuh di luar.

(c) Berwaspada terhadap mereka juga bermaksud tidak memberikan ruang atau jawatan yang membolehkan mereka berkuasa. Begitu juga tidak melayani kehendak dan tuntutan mereka yang bersifat peribadi.

(2) Waspada dengan pengaruh yang dimiliki oleh mereka dari aspek ekonomi, pertahanan dan kuasa politik yang akan sentiasa digunakan untuk menceroboh benteng umat Islam. Ketiga-tiga elemen ini adalah senjata ampuh untuk mempengaruhi pihak lain supaya bersamanya.

(3) Tidak sekali-kali mengambil bithonah (pembantu) dari kalangan musuh. Ia bagi menghalang usaha penyusupan dan menimbulkan fitnah terhadap umat.

(4) Memperhati dan berinteraksi dengan pelbagai lapangan masyarakat mengikut kesesuaiannya, dan tidak bersifat pukul rata, ataupun kelihatan prejudis. Berhati-hati bukanlah pula sampai tidak pandai menyantuni umat secara kesemuanya.

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
29 Mei 2020 – HARAKAHDAILY 29/5/2020